Halaman

Khamis, Disember 20, 2018

Gemilang empat dekad Jamal, M. Nasir

petikan Kosmo 20 Disember 2018
HARYATI KARIM
20 Disember 2018 3:00 AM

Jamal disifatkan M. Nasir sebagai insan yang memang dilahirkan untuk menjadi penyanyi. Sampai ke hari ini, masih tiada penyanyi lain dalam industri muzik tempatan khususnya penyanyi lelaki Melayu yang dapat menandingi Jamal.

DUA figura ikonik, Datuk M. Nasir dan Datuk Jamal Abdillah pernah mencipta fenomena tersendiri apabila berkongsi pentas dan berduet lagu Ghazal Untuk Rabiah yang telah mengangkat mereka sebagai juara Anugerah Juara Lagu 1997.

Selepas 21 tahun, mereka kembali berkongsi pentas tetapi dalam skala yang lebih besar menerusi Konsert Duo Legenda yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama empat hari bermula malam ini.


Menurut penyanyi dan komposer terkenal, M. Nasir meskipun mereka sering digandingkan dalam persembahan pentas mahupun program televisyen, konsert berkenaan merupakan paduan kali pertama mereka dalam konsert berskala besar.

Menariknya, Konsert Duo Legenda tersebut diadakan pada ulang tahun empat dekad M. Nasir dan Jamal dalam industri seni.

“Sebenarnya kami pernah mengadakan persembahan bersama dalam program dan acara hiburan, tetapi pertama kali untuk skala besar seperti di Istana Budaya. Kami memang teruja selain menghiburkan peminat, konsert berkenaan merupakan tanda 40 tahun kami berada dalam industri,” ujar M. Nasir.

Lebih istimewa, wanita pertama negara, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali turut membuat penampilan khas pada malam persembahan bertarikh 22 Disember ini. Isteri Perdana Menteri itu akan mengiringi persembahan Jamal dan M. Nasir dengan bermain biola.

“Konsert Duo Legenda memang cukup istimewa dan berbeza apabila Tun Dr. Siti Hasmah bersetuju untuk turut serta dalam persembahan kami. Bukan peminat sahaja, tetapi kami berdua juga cukup teruja untuk berkongsi pentas dengan beliau,” tutur Jamal.

Bagi menambah kemeriahan, mereka turut mengundang penyanyi kelahiran Australia, Cassidy Anderson dan anak Jamal, Osama dalam konsert berdurasi dua jam tersebut.

Lebih 30 buah lagu akan dinyanyikan M. Nasir dan Jamal antaranya, Hati Emas, Gerhana, Keroncong Untuk Ana, Penghujung Rindu, Takdir Penentu Segala, Bicara Cinta, Deru dan Di Sudut Kamar Hati.

Buat peminat yang ingin menyaksikan persembahan dua penyanyi legenda ini jangan lupa untuk dapatkan tiket berharga daripada RM158 sehingga RM1,000. Bagi yang membeli tiket berharga RM1,000, mereka berpeluang untuk beramah mesra dengan M. Nasir dan Jamal dalam sesi ramah mesra usai konsert.

Muzik

Beralih bicara tentang muzik, sifu M. Nasir mengakui, peredaran zaman dan kecanggihan teknologi telah mengubah dunia muzik hari ini yang dilihat bergerak cukup pantas.

Pengetua program Akademi Fantasia musim ketiga itu bagaimanapun berkata, sebagai pencipta lagu beliau juga harus bergerak seiring dengan perubahan yang berlaku sekeliling untuk sama-sama bersaing dengan orang muda.

“Jangan sesekali terperangkap dalam zaman kegemilangan pada masa silam dan enggan berubah. Andai perkara itu berlaku ia hanya akan mendatangkan masalah kepada pencipta lagu. Saya bukan orang yang begitu.

“Bukan muzik sahaja, tetapi semua bidang terkesan dengan perubahan zaman. Mahu atau tidak, suka atau tidak, kita semua perlu akur dengan perubahan dan pergerakan pantas tersebut,” kata M. Nasir.

Meskipun begitu, lelaki berusia 61 tahun itu mengakui kecanggihan, teknologi hari ini lebih menguntungkan orang muda daripada penyanyi senior sepertinya. Namun, tegas M. Nasir, beliau masih yakin kualiti sebuah muzik mengatasi segalanya.

“Tidak kira secanggih mana teknologi atau strategi yang diatur untuk popularkan sebuah lagu, akhirnya ia akan berbalik pada kualiti. Saya masih percaya pada perkara tersebut,” tutur maestro muzik yang telah mencipta lebih 2,000 buah lagu sepanjang empat dekad berkarya.

Rahsia bertahan

Biarpun sudah berusia 59 tahun, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali antara penyanyi senior yang berjaya mengekalkan momentum kerjaya seni dalam lambakan penyanyi baharu.

Ditebak apakah rahsianya, sambil tersenyum selain menjaga vokal dan disiplin, beliau amat menjaga penampilan diri.

“Imej amat penting bagi seorang artis tidak kira penyanyi atau pelakon. Sebab itu, setiap kali keluar dari rumah saya pasti akan bersiap. Sebagai penyanyi pada bila-bila masa sahaja orang akan datang mengambil gambar. Jadi, saya sentiasa perlu berada dalam keadaan sedia,” tutur Jamal.

Bukan itu sahaja, Jamal yang juga juara Bintang RTM 1979 memberitahu, beliau mahu mengabdikan diri sebagai anak seni sehingga ke hujung usianya. Justeru, beliau perlu membawa imej yang selari dengan pegangannya itu.

“Sampai mati pun saya tetap akan menjadi artis. Saya mahu Jamal Abdillah diingati sebagai penyanyi sampai bila-bila,” tegasnya menutup bicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan