Nor Akmar Samudin
M Nasir dan Ramli bersama Dr Rohana pada sidang media Homecoming Carnival. |
terhadap keluarga dan insan tersayang.
Lagu itu kemudian sebati dengan diri. Dan, apabila mendengar kembali lagu itu, pasti memori indah 30 tahun lalu yang tidak mungkin berulang terbayang di ruang mata.
Sehubungan itu bagi mengembalikan nostalgia silam yang amat bererti itu, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir bergabung masuk ke Universiti Malaya (UM) bagi menghiburkan alumni pusat pengajian itu.
Persembahan Ramli Sarip & M Nasir Varsity Tour di Dewan Tunku Canselor di universiti itu pada 23 April ini, jam 8.30 malam diadakan sempena acara Homecoming Carnival Universiti Malaya ke-111.
Tiket berharga RM80 terbuka kepada pelajar UM, alumni dan orang ramai.
Sebelum itu, pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari akan berlangsungnya program Wacana Ilmu di Panggung Eksperimen apabila Ramli dan M Nasir selaku panel undangan.
Mengulas mengenai persembahannya, Ramli berkata pusat pengajian tinggi tertua itu terutama Dewan Tunku Canselor meninggalkan kenangan sukar dilupakan kepada graduan dan keluarga yang pernah meraikan kejayaan anak serta saudara mereka.
“Dewan Tunku Canselor adalah lambang kejayaan dan satu bangunan yang sangat ikonik di UM. Dapat berada di dalamnya bersama warga UM adalah satu penghargaan buat saya dan M Nasir.
“Apatah lagi UM berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai dan ada antara mereka menjadi pemimpin negara,” katanya.
Menurut Ramli lagi, pada malam itu dia dan M Nasir akan menyanyikan karya yang pernah menjadi siulan peminat mereka waktu itu yang malar segar sehingga kini.
“Jika dulu mereka yang pernah menuntut di UM meminati lagu ini, kini tiba giliran anak cucu mereka yang belajar di sini pula mendengarnya.
“Sesungguhnya memori yang sudah terakam itu dapat dikongsi bersama apabila mereka sekeluarga datang pada malam persembahan ini nanti,” katanya.
Mengenai program Wacana Ilmu pula, jelas Ramli ia lebih kepada perkongsian ilmu dan pengalamannya serta M Nasir dalam bidang seni suara tanah air.
“Program santai ini terbuka kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Homecoming Carnival itu berlangsung pada 18 hingga 24 April yang mengetengahkan pelbagai pengisian menarik untuk semua warga UM, alumni dan orang ramai. Semua aktiviti akan didakan di Kompleks Perdanasiswa, Dewan Tunku Canselor.
Sebelum ke UM, menerusi program Varsity Tour, Ramli dan M Nasir mengadakan persembahan di UNIKL Melaka dan selepas ini akan ke Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah; Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Tenaga Nasional.
Menceritakan bagaimana bermulanya kerjasama mereka, Ramli berkata dia dan M Nasir sudah biasa berkongsi pentas namun kerjasama erat bermula awal tahun ini apabila menjayakan persembahan di Esplanade, Singapura anjuran syarikat milik Ramli sendiri, Rasa Music Sdn Bhd.
“Selepas melihat sambutan hebat penonton, saya meneruskan kerjasama kami untuk Varsity Tour pula,” katanya pada sidang media Homecoming Carnival di Dewan Tunku Canselor baru-baru ini.
Acara itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan