Halaman

Ahad, Februari 28, 2016

Peminat Puas Nyanyi, Joget Bersama

petikan kafebuzz.my 28 Februari 2016
gambar : Kafebuzz & FB SahabatMNasirOfficial


“Siapa yang tak datang rugilah,” kata Sifu, Datuk M Nasir selepas mendendangkan lagu Phoenix Bangkit.

Memang benar apa yang diperkatakan kerana persembahannya bersama Datuk Ramli Sarip pada acara jelajah sulung, Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 di MITC, Melaka, malam tadi cukup hebat sehingga peminat puas hati menyanyi dan berjoget sama.

Sifu yang terlebih dulu membuka persembahan dengan lagu Suatu Masa dan Raikan, tidak perlu tunggu lama untuk panaskan suasana.

Begitu juga, ketika menyampaikan lagu Mustika, penonton makin teruja berkongsi ‘roh’ lagu itu sehingga bersorak menyanyi bersama.

Tidak kurang, ketika lagu Keroncong Untuk Ana didendangkan, melodi dan liriknya cukup terkesan pada peminat mengimbau nostalgia lebih-lebih lagi petikan gitar Aznan Alias cukup mengusik jiwa peminat.

“Saya berasa sangat bertuah membuat persembahan di sini, di tempat ini.
Pertama kali saya buat persembahan di Melaka pada tahun 1982 dan pada waktu itu saya buka persembahan untuk Alleycats,” sambung Sifu di atas pentas.

Bagaikan nasi lemak wajib ada sambal, begitu juga Sifu mengubat hati peminat dengan lagu Hati Emas disusuli Apokalips.

Memberi laluan kepada Papa Rock selepas itu bersama lagu Rindu Damai dan Sejuta Wajah, peminat terus dibuat nostalgia kegemilangan penyanyi legenda itu.

Kehebatan, keunikkan dan keaslian suara Papa Rock memang cukup memukau peminat apatah lagi ketika menyampaikan lagu wajib, Teratai, ia memberikan kepuasan yang paling maksima.

Bak kata Papa Rock, persembahan mereka kali ini yang dianjurkan Rasamusic bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjadi satu sejarah buatnya dengan M Nasir apatah lagi ditonton Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang turut hadir pada malam tadi.

Tambah istimewa, penutup persembahan duet Papa Rock bersama Sifu menerusi lagu Mentera Semerah Padi dan Kamelia juga membuatkan peminat memberikan tepukan gemuruh ‘standing ovation’ pada kedua penghibur tersohor ini yang tiada tandingan.

Bagi mereka yang terlepas persembahan kali ini, nantikan lokasi seterusnya.

1 ulasan: