Halaman

Khamis, November 06, 2014

Berkongsi Minat

petikan Harian Metro 6 November 2014
Oleh Norhadiani Baharom

Mereka berdua saling tak tumpah, baik nada suara, karakteristik mahupun susuk tubuh. Yang membezakan si abang kulitnya sedikit cerah berbanding adik. Tetapi adiknya pula, untuk kali pertama bertemu lebih mudah didekati tidak seperti abang yang selalu berhati-hati untuk memulakan butir perbualan.

Begitulah tafsiran mata kasar saat sejenak mengamati keletah pasangan pemuzik adik-beradik, Datuk M Nasir dan Zulkifli (Zoul), ketika ditemui pada Sidang Media Konsert Hati Kembara konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd dengan sokongan Celcom Axiata, baru-baru ini.

Membenarkan Zoul memulakan bicara, kesamaan mereka berdua melalikan dirinya. Hakikatnya, dia tidak mampu menjauhi kesamaan itu apatah pula M Nasir adalah saudara kandungnya.

"Kami dilahirkan daripada ibu bapa yang sama dan membesar bersama-sama. Maka tidak banyak, sedikit pasti sisi M Nasir itu wujud dalam diri saya. Walaupun dari segi karekter kami nampak macam sama, sebenarnya ada banyak hal juga yang berbeza. Namun, bercakap mengenai kecenderungan muzik kami, saya dan abang berkongsi minat pada jalur serta nuansa muzik yang sama.

"Dalam keluarga daripada sembilan orang adik-beradik, M Nasir paling pakar dalam muzik. Saya sendiri membesar dengan lagu dan persembahannya bersama kumpulan Kembara. Tetapi, orang yang sebenarnya merangsang minat kami dalam bidang muzik adalah abang sulung kami iaitu Salleh.

"Waktu kami remaja, abang Salleh kalau dapat gaji pasti bawa pulang piring hitam atau kaset. Kami dengar dan jamming sama-sama," katanya.

Pernah meneruskan perjuangan kumpulan Kembara bersama abangnya apabila dia menggantikan posisi yang ditinggalkan anggota asal, A Ali, Zoul mengakui itu adalah memori yang sangat berharga buatnya.
Tambahan pula seperti dikatakannya tadi, dia sendiri membesar dengan lagu Kembara dan tentunya satu kebanggaan apabila diserap masuk sebagai barisan pemuzik.

Gabungan 2 generasi

Sesudah kumpulan itu tidak lagi aktif sejurus penghasilan album ke-7, dia mencuba nasib sebagai artis solo apabila dua albumnya diterbitkan oleh Luncai Emas, syarikat milik abangnya.
Namun, kemegahan nama 'M Nasir' menyulitkannya untuk ke depan kerana dibayangi populariti abangnya itu.

"Saya tidak terkilan kerana saya sedar hakikat nama abang saya terlalu besar apatah lagi dia terlebih dulu membabitkan diri dalam muzik. Pasti ke mana pergi nama saya dikaitkan dengan namanya.
"Tetapi tidak mangapa saya meminati muzik bukan kerana mahu mencari populariti sebaliknya ia seperti makanan jiwa. Jadi saya tak kisah jika tidak dikenali asalkan boleh membuat persembahan," katanya.
Pada 21 hingga 23 November ini, Zoul akan terbabit dalam persembahan Konsert Hati Emas Kembara yang berpanggung di Panggung Sari, Istana Budaya.

Penyatuan kugiran yang cukup berpengaruh pada awal era 1980-an ini, begitu dinantikan peminat.
Pada zaman kebangkitan mereka, kumpulan ini mencipta populariti dengan nuansa muzik yang tersendiri. Cinta yang sering menjadi pertaruhan kebanyakan pencipta lagu, jarang diangkat sebagai tema atau 'ibu' dalam penulisan lirik mereka.

Sebaliknya, memilih konteks yang lebih meluas apabila kisah kerakyatan diangkat untuk menyentuh jiwa pendengar. Inilah antara sebab mengapa kumpulan Kembara begitu istimewa dan dikenang sehingga kini selain faktor keupayaan vokal serta bermain muzik setiap anggotanya, mengangkat mereka sebagai kumpulan yang disegani.

Dan....selepas 28 tahun, mereka kembali bersatu. Penggabungan semula kumpulan Kembara dianggotai pemuzik asalnya, M Nasir, S Sahlan dan A Ali termasuk generasi kedua Kembara, Zoul dan Md Shah, pastinya dapat mengubat rindu peminat.

Penyatuan itu menurut teraju utamanya, M Nasir, adalah persembahan yang mengembalikan nostalgia manis kepada sesiapa saja yang membesar sekitar 1980-an. "Kali terakhir Kembara mengadakan konsert di Kuala Lumpur yang membariskan anggota asal pada 1986 sebelum masing-masing membawa haluan.
"Bagaimanapun tahun lalu Kembara mengadakan konsert di Singapura dan dengan sambutan hebat yang diberikan akhirnya membawa kami ke Istana Budaya," katanya. Tanpa S Sahlan dan A Ali, M Nasir tetap meneruskan perjuangan Kembara dengan merekrut anggota baru dengan memperkenalkan Zoul dan Md Shah.

Jika dulunya lagu rakyat menjadi tema dalam kebanyakan karya mereka, perubahan pasaran muzik yang berlaku menggesa Kembara menurut perubahan arus. Lalu membentuk pola muzik yang lebih progresif de­ngan menyuntik elemen folk, rock kreatif dan pop rock. "Jadi, untuk konsert ini kami bergabung dengan ahli Kembara lama dan baru. Kemunculan gabu­ngan dua generasi ini menunjukkan perjalanan penuh kematangan Kembara."Untuk lagu dalam konsert ini, kami akan mendendangkan lagu daripada album pertama sehingga ketujuh," katanya.

Bercakap mengenai stamina persembahan yang mungkin tidak energetik seperti 28 tahun lalu, setiap anggota kumpulan menunjukkan reaksi kurang bersetuju kerana walaupun sudah lama tidak beraksi sama, muzik bagaikan makanan mereka.

"Kami sering membuat persembahan sebelum ini dan muzik adalah kami. Seperti sebelumnya Kembara membuat persembahan dengan cara kami sendiri," katanya.

Seawal kemunculan, Kembara ditubuhkan sebagai trio berkumpulan yang membawakan imej penghibur yang mengenengahkan vokal harmoni, alunan gitar akustik dan muzik yang besar.

Mereka mengenengahkan irama lagu berunsurkan rakyat, menceritakan persekitaran orang Melayu sekali gus konsert yang diketengahkan itu menjadi kekuatan. Kemudiannya bersama ahli yang baru, muzik Kembara mula berubah.

"Justeru, apa yang disaksikan nanti akan memperlihatkan gabungan dua generasi Kembara. Tidak sekadar muziknya saja berubah, tetapi juga bagaimana Kembara merentasi kematangan.
"Tentunya menerusi pementasan konsert ini, kami mahu membawa peminat menyusuri liku perjuangan manusia dalam kehidupan ini dan menyelam ke alam kecintaan demi mencari keluhuran untuk menemui Hati Emas,"katanya.

Dia menambah, menterjemahkan maksud itu pastinya pemilihan lagu dan kewujudan setiap segmen mempunyai jalan cerita tersendiri serta ada momentun, kenaikan graf dalam persembahan.
"Selain itu, susunan muzik diberi nafas baru. Ada lagu yang ingin kami kekalkan dan bawakan dalam versi asli, tetapi ia selalunya tidak 100 peratus sama,"katanya.

Memintanya mentafsir lukisan 'oil on canvas' yang menjadi poster konsert Hati Emas Kembara dan dikatakan mempunyai simbol illuminati 'bermata satu', M Nasir menyambut pertanyaan media dengan ketawa.

"Illuminati? (gelak). Kenapa jauh sangat? soalnya kepada media.
Sambungnya lagi: "sebenarnya bukan (illuminati). Tapi ia simbol universal yang selalu digunakan", jawabnya ringkas.

Mengambil masa 10 hari untuk disiapkan, poster dihasilkan pelukis terkenal, S Amin Shahab (juga pelukis asal album Kembara sebelum ini) itu, membawa maksud, sebelum sesuatu tercipta dan terlaksana, manusia perlukan khayalan atau imiginasi. Pelangi pula melambangkan warna kepada kota yang memerlukan sekali gus, memberikan air pada bumi yang tandus.

"Bagaimanapun, kita perlu fokus kerana kita adalah 'tools' atau alat yang sentiasa diperhatikan masyarakat.
"Sepasang tangan yang kosong bererti tiada apa-apa dan semuanya berlaku atas kehendak-Nya.. Sementara perkataan Kembara ini timbul selepas sekian lama menghilang. Kupu-kupu yang tersepit oleh playar melambangkan kebebasan seniman yang tersepit dibawa arus kebendaan, jadi... hilanglah nilai estetikanya tanpa disedari.

"Kebiasaannya kupu-kupu itu sanggup mati untuk menjadi hiasan. Akhir sekali seganas-ganas harimau, mesti ada perasaan rindu kepada tempat asalnya," bicara M Nasir lagi.

Tiket konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd dengan sokongan Celcom Axiata Berhad ini dijual pada harga RM68 hingga RM388. Peminat boleh mendapat tiket di kaunter Istana Budaya atau layari www.ticket2u.biz.

2 ulasan:

  1. Zoul nye latest album is very good.
    Ada Malex pun on guitar in one of the song.

    BalasPadam
  2. Deaf : Ye ke? album baru Zoul tu aku lom dengar full lagi.

    BalasPadam