Halaman

Selasa, September 23, 2014

Nostalgia RM3,000 Kembara

petikan Utusan Malaysia 23 September 2014
Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN

KEMBARA hari ini masih menjadi penyumbang utama kepada dunia penerbitan dan rakaman di Malaysia.

LAHIR selepas kegemilangan kumpulan Kembara yang mencipta nama sekitar 1980-an, saya memang teragak-agak untuk menemu bual anggota kumpulan ini. Takut sejarah yang terpahat dalam diri mereka tersalah disoal, bimbang menerbitkan rasa kurang molek dalam sesi temubual kami.

Jujur, pertemuan pertama saya dengan anggota asal kumpulan Kembara yang terdiri dari Datuk M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan hanyalah terjadi ketika sidang akhbar memperkenalkan rencana kumpulan ini yang akan mengadakan konsert yang diberi nama Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya, November ini.

Ternyata, sidang akhbar itu memberi jawapan bahawa untuk mendekati kumpulan ini sangat mudah. Mereka mesra media. Mungkin sama seperti zaman mereka mula menempa nama dahulu? Sikap rendah diri membuatkan saya kagum dengan kumpulan ini yang digilai ramai dahulu.

M. Nasir adalah orang yang bertanggungjawab penuh pada penubuhan kumpulan ini dan perjalanan Kembara punya kisah tersendiri. Sepertimana kumpulan lainnya yang melalui episod berliku pada awal perjalanan seni mereka, tanpa kesusahan, Kembara tidak akan mara ke depan.

“Perjalanan saya sebagai orang yang ingin menubuhkan kumpulan Kembara memang amat sukar. Ia bukan satu kerja mudah dan saya perlu teruskan hasrat itu walau sesukar mana sekalipun ia. Itu apa yang saya lakukan ketika mula mahu bertapak dalam industri seni muzik.

“Sekarang Kembara sudah lebih tiga dekad usianya. Membentuk kumpulan ini memang banyak pengorbanan saya lakukan.

“Ingat lagi dulu, semasa saya hidup seperti orang pelarian. Tempat tinggal tak tentu. Masa itulah, saya terfikir untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik.

“Jadi, saya pergi ke kelab malam demi mencari bakat yang boleh bersama saya dalam Kembara. Merata tempat juga saya mencari sehinggalah saya bertemu dengan A. Ali dan S. Sahlan pada masa itu.

“Ketika sudah menemui mereka, saya sendiri hampir setiap malam sehingga pukul satu atau dua pagi bersama mereka di kelab malam. Tengok macam mana mereka bekerja sebagai pemuzik," katanya yang bekerja sebagai pelukis pada masa itu.

Memilih untuk membawa lagu-lagu kerakyatan, Kembara berjaya menawan hati dan halwa telinga para peminat ketika itu.

“Kami tahu memang akan timbul kerisauan dalam diri tentang penerimaan lagu-lagu kami pada masa itu. Masyarakat pada masa itu juga terdedah dengan lagu-lagu bergenre pop dan rock. Itu yang menjadi pesaing kami.

“Namun, dengan keyakinan dan kepercayaan, membuatkan kami terus berusaha biar ada pesaing di belakang.

“Masa itu, kami memang bersaing dengan nama besar seperti Alleycats. Tapi kami perlu bernafas untuk terus membawa muzik kerakyatan dekat dengan jiwa dan perasaan rakyat.

“Bukan juga satu perkara mudah untuk kami perkenalkan muzik kerakyatan kepada umum. Kembara sendiri untuk dikenali juga ada jangka masanya. Kami ambil masa lebih tiga tahun untuk orang betul-betul menjiwai genre muzik yang kami bawa," ujar M. Nasir.

Meniti populariti ketika zaman itu, pernah juga kumpulan mereka tidak diterima kerana lagu seumpama itu tidak mampu didengar.

“Banyak usaha yang dilakukan dengan semangat keberanian saya. Orang seni seperti saya memang tidak pernah kenal erti putus asa. Muzik kami perlu merentasi perubahan pada masa itu. Kami tidak takut gagal dan Kembara teruskan perjuangan seni," katanya.

Nilai RM3,000

Bercerita mengenai perjalanan Kembara seterusnya, konsert pertama yang mereka terlibat adalah pada sebuah majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982.

Konsert itu menghimpunkan ramai artis. Kembara adalah salah sebuah kumpulan muzik yang dijemput untuk menghiburkan penonton.

Untuk persembahan di UKM itu mereka dibayar RM3,000 sahaja untuk tujuh atau lapan buah lagu. Satu jumlah yang dianggap berpatutan pada zaman berkenaan.

“Kalau sekarang, nilai itu sangat sedikit. Tapi, masa itu, ia sudah cukup banyak. Barangkali ia sesuai dengan populariti kumpulan kami pada ketika itu.

“Dulu, kalau buat konsert di kawasan-kawasan luar bandar, kami akan bermalam di rumah orang kampung. Mereka inilah yang mengangkat dan menjadi peminat kami.

“Sekarang sudah lain. Banyak yang diminta oleh seseorang artis daripada khalayak masyarakat dan dari situlah, nama Kembara memang jauh kami bawa. Konsert paling jauh kami pernah lakukan adalah di Kelantan. Malangnya, kami tidak sempat untuk mempromosikan diri ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Kerendahan hati adalah kunci utama kepada kejayaan kumpulan ini walaupun terpaksa mengharungi pelbagai duka sepanjang perjalanan mengembangkan kumpulan yang kini bertaraf legenda.

M.Nasir mengaku kemampuan penyanyi lama bertahan sehingga hari ini bukan sahaja disebabkan oleh karya-karya mereka yang ‘ikhlas’ tetapi turut disokong dengan disiplin yang tinggi.

Tambahnya, segala kenangan yang diukir itu banyak mematangkan dirinya untuk terus kekal bertahan sebagai antara penyanyi disegani hari ini.

Kejujuran

Survival yang dilalui oleh penyanyi generasi dulu bukan sahaja mematangkan malah membolehkan mereka bertahan.

Bagi A. Ali pula, dia menganggap kejujuran dalam berkarya membuatkan mereka masih diminati hingga hari ini, biar ada lagu-lagu yang dinyanyikan itu sudah berusia lebih 30 tahun.

“Mungkin lagu dulu dihidupkan kerana ada pencipta yang jujur sehinggalah penyanyi itu menjadikan lagu itu berhasil semasa proses rakaman. Sebab itu, lagu-lagu bersifat kerakyatan seperti ini masih diminati bukan sahaja oleh peminat zaman kami tetapi juga anak-anak muda kini.

“Ini sebenarnya kenangan yang tak mungkin saya lupa. Melihat kelompok generasi muda menyanyikan lagu-lagu Kembara misalnya, itu dah jadi satu yang hebat memandangkan ramai penyanyi baru muncul kini.

“Tapi orang masih nak dengar lagu kami. Mungkin lagu-lagu tahun 80-an atau 90-an lebih dekat di hati peminat dan mampu bertahan lama," jelasnya.

Berbeza pula dengan S. Sahlan, dia yang sudah bersedia untuk konsert November ini, menganggap Kembara sebenarnya masih aktif. Cuma masing-masing membawa haluan sendiri.

“Walaupun saya dan A. Ali hanya sempat sehingga album ketiga Kembara pada masa itu, namun Kembara masih ada. M. Nasir meneruskan kumpulan Kembara dan menampilkan anggota baharu.

“Terima kasih buat M. Nasir kerana masih mengekalkan kumpulan Kembara sehingga masih diminati sehingga kini. Saya tetap sebahagian daripada kumpulan Kembara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan