Halaman

Selasa, September 23, 2014

Kisah Hati Emas

petikan Utusan Malaysia 23 September 2014
Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH



KEJAYAAN mengadakan konsert di Esplanade Singapura pada 30 Mac lalu dijadikan ukuran kepada Kembara untuk mengadakan konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 21 November ini.

Ini merupakan konsert pertama kumpulan Kembara di Malaysia selepas 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.

Sudah tentu, lagu-lagu indah dan lirik-lirik puitis milik Kembara dalam konsert berkenaan akan membuai perasaan peminat.

Kata M.Nasir, konsert berkenaan pastinya dilihat sebagai medium terbaik buat peminat baharu menjiwai karya seni Kembara secara nyata di depan mata.

“Bagi yang membesar dengan lagu-lagu Kembara, ia bukan satu masalah besar. Generasi baharu yang tidak membesar dengan lagu kami pasti ingin melihat kami beraksi di atas pentas dan tahu siapa kumpulan Kembara sebenarnya.

“Mengenai peminat, sudah pasti ramai yang menantikan kami di Malaysia. Konsert di Singapura tahun lalu hanyalah sebagai permulaan untuk kami bersatu," katanya.

Kembara asal hanya bertahan selepas tiga album pertama. Selepas itu, S. Sahlan meninggalkan kumpulan itu pada 1984 manakala A.Ali (1985) dengan membawa haluan masing-masing.

M. Nasir sememangnya tekad untuk meneruskan kumpulan itu. Untuk konsert itu nanti, dia berkata, kesemua anggota kumpulan Kembara yang baharu juga dihimpunkan dibarisi oleh Zoul (Zulkipli Mohd.); Cheman Suri; Md. Shah Othman dan Shahrom atau nama sebenarnya Mohamed Shahrum Basiron.

“Konsert kali ini cukup berbeza dengan konsert kami di Singapura. Sudah tentu ia tidak sama. Peminat boleh datang sendiri merasai kelainan kali ini termasuk seni visual dan kualiti persembahan.

“Harapan saya cuma satu, iaitu konsert ini dapat memupuk semula kemahuan peminat untuk kembali menyaksikan konsert secara langsung," ujarnya ketika sidang akhbar konsert berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah M. Nasir, nostalgia ketika Kembara masih aktif mungkin tidak dapat dirasakan ketika konsert di Istana Budaya nanti, namun katanya, dengan semua anggota asal masih bersama, kerinduan peminat terhadap Kembara akan terubat.

“Ini agak berbeza, mungkin tidak akan sama. Insya-Allah ia akan mengembalikan nostalgia," katanya yang mahu susunan muzik asal dikekalkan untuk konsert itu nanti.

Komited

Untuk konsert tersebut, semua perancangan telah berjalan sejak beberapa bulan yang lalu termasuk latihan.

Menurut M.Nasir, mereka tidak mahu berada di atas pentas tanpa persediaan rapi hingga menghilangkan kualiti sebagai kumpulan yang pernah dikenali umum.

“Kalau tidak betul-betul persediaannya, kita tidak mahu buat. Kita tidak suka kalau tidak serius. Jadi, kalau mahu buat bagilah kami enam bulan untuk latihan atau setahun latihan sampai keluar apa yang orang hendak dengar," katanya.

Konsert yang diberi nama konsert Hati Emas Kembara kdianjurkan syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn. Bhd. dan mendapat sokongan Celcom Axiata Berhad.

Pengaruh besar


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazzalli Ramly pula berkata, Kembara mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan pemuzik tempatan termasuk pemuzik muda.

“Ramai yang merindukan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini seperti yang akan anda dengar dalam konsert Kembara nanti.

“Pilihan kami terhadap kumpulan ini sudah tentu kerana kelainan yang mereka bawa berbanding kumpulan muzik lain. Selain itu Kembara dipilih kerana kualiti lagu dan muzik yang mereka bawakan yang masih tiada gantinya," katanya.

Berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada konsert itu, Shazzalli berkata, Kembara memang layak digelar artis berdasarkan kepada reputasi mereka.

“Memang ada artis yang merungut kerana sukar mendapat sokongan kami, biarpun kami sentiasa bersedia membantu dengan syarat artis itu harus layak bergelar artis," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan