Halaman

Sabtu, Jun 08, 2013

Sang Pencinta di Istana Budaya

petikan Harian Metro 8 Jun 2013
Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

Dalam kembara nyanyiannya sejak 1979, Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau M Nasir pernah beraksi dalam tiga konsert bertaraf mega. Pertama, Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), Konsert Akar di PWTC (1995) dan kali terakhir, Konsert Alam Musik di Istana Budaya (2009).

Ibarat seekor Phoenix yang kembali bangkit dari abu, M Nasir kembali bertenaga untuk konsert besar pertama selepas empat tahun, Konsert M Nasir Sang Pencinta yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) pada 28 sehingga 30 Jun ini.

Tolak ke tepi segala desas-desus yang ala canggung tersebar kononnya faktor isu kelembapan jualan tiket punca ia ditunda dari tarikh asal yakni 7 hingga 9 Jun lalu.

Sebaliknya, tumpuan kini ialah memberi yang terbaik kepada peminat tegar artis yang mendapat jolokan Sifu dek pencapaian mengagumkan dalam bidang seni.

Pertemuan dengan artis berasal dari Singapura itu di pejabatnya, Luncai Emas Sdn Bhd di Sungai Buloh, Rabu lalu menyingkap persiapan konsert kedua beliau di IB.

“Kali terakhir di IB empat tahun lalu dan saya kira kena buat juga, cuma masa dan bila saya akan tentukan. Kemudian saya didatangi Bombbay (Zamberi Shaari) yang menawarkan diri sebagai penerbit. Saya rasakan, inilah masanya.

“Bezanya konsert ini dengan konsert lalu adalah dari segi ‘mood’ penyampaian yang saya sifatkan ‘theaterical’. Bukan bermakna saya akan berlakon teater atas pentas IB,” katanya sambil perbetulkan laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa beliau akan turut berlakon teater dalam konsert Sang Pencinta.

Katanya, teaterikal yang dimaksudkan ialah rekaan persembahan, termasuk muzik iringan, pencahayaan dan pemilihan lagu yang lebih besar dan dramatik.

Pada konsert itu, M Nasir akan menyampaikan 25 lagu baru dan lama, termasuk beberapa lagu ‘cover’ yang pernah dicipta untuk penyanyi popular tanah air dengan cara ‘unplugged’.

“Pemilihan lagu adalah difikirkan terbaik supaya ada kepuasan. Mungkin ada yang tidak biasa dengan beberapa lagu dipilih, ia sebagai memenuhi konsep persembahan yang perlukan ‘hype-up’ (tunjahan) tersendiri.

“Contohnya seperti lagu Dalam atau Bahtera Raudah, ada yang jarang didengar tapi bagi peminat tegar lagu nyanyian M Nasir, ia sebenarnya bonus buat mereka yang datang ke konsert itu,” kata Zamberi atau mesra disapa Bombbay selaku penerbit dan pengarah artistik konsert itu kelak.

Kata Bombbay, konsep itu (pemilihan lagu baru dan lama) bukan bertujuan menarik peminat muda ke IB melalui susunan elemen muzik ‘terkini’, sebaliknya biar keinginan itu datang dengan sendiri.

Bombbay akui walaupun tidak mendapat tajaan pihak luar, konsert ini tetap memberi kepuasan tersendiri. Pun begitu, Bombbay enggan mendedahkan kos keseluruhan konsert itu walaupun melihat dari segi persiapan, pemuzik iringan, pencahayaan dan props persembahan mampu menjangkau jutaan ringgit.

Melihat usia M Nasir yang menjangkau usia 55 tahun pada 4 Julai depan, mungkin ada beranggapan pada usia itu M Nasir ada ‘mentera’ tertentu supaya aktif di pentas.

Percaya atau tidak, satu-satunya ‘mentera’ buat M Nasir sentiasa aktif di pentas ialah alunan muzik dimainkan pemuzik yang rata-rata teman seperjuangannya dalam industri sedari dulu.

“Selain latihan berterusan, saya mendapat suntikan semangat daripada pemuzik yang saya kehendaki. Saya sudah terbiasa dengan mereka dan secara automatik tenaga itu akan datang bila beraksi di pentas.

“Pemuzik itu sebahagiannya daripada OSK (Orkestra Simfoni Kebangsaan) dan daripada teman sendiri,” katanya ringkas.

Konsert M Nasir Sang Pencinta dibawakan oleh Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red on Black dan Belbis serta sokongan Istana Budaya menampilkan Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik dan Mohd Rafi Shafie pula sebagai Penyusun Alat Muzik ‘String’ Selain OSK, konsert itu akan disokong pemain gamelan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), sekali gus membawa pembaharuan terbaik selepas kejayaan Konsert Alam Muzik, empat tahun lalu.

Tiket Konsert M Nasir Sang Pencinta dijual pada harga serendah RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455.

Untuk mendapatkan tiket, sila layari www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03-41478600.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan