Halaman

Khamis, Mac 21, 2013

Sang Pencinta M Nasir

petikan Harian Metro 21 MaC 2013
Oleh Norhadiani Baharom

EMPAT tahun lalu, beliau menakluk Istana Budaya menerusi sebuah persembahan dinamakan Konsert Alam Muzik yang melakar sejarah tersendiri kepada pihak Istana Budaya, di mana ia diiktiraf antara produk terlaris dan paling berjaya pernah dipentaskan.

Kini, beliau kembali dan konsert yang diberi nama M Nasir Sang Pencinta bakal direncanakan pada 7 hingga 9 Jun nanti berkonsepkan semi muzikal. Ini sekali gus menawarkan kelainan yang belum pernah disaksikan dalam mana-mana persembahan Datuk M Nasir sebelum ini.
Semi Muzikal menurut M Nasir, konsep persembahan yang menuntut­nya melatih penghayatan bukan saja dalam bentuk nyanyian tetapi juga pergerakan bahasa tubuh yang bakal merangsang penonton menghayati lagu-lagunya.

“Konsert ini berbeza dari segi konsepnya kerana ia diselitkan unsur lakonan muzikal selain mengga­bungkan elemen audio dan visual menerusi visual mapping yang diadunkan.

“Saya akan berlakon tanpa dialog atau saya sebenarnya lebih senang menyifatkan ia sebagai satu pergerakan yang bersesuaian dengan visual bakal dipaparkan.

“Tidak banyak dapat dikongsi bersama kerana untuk mendapatkan penceritaan penuh konsert itu, perkara pertama harus dilakukan adalah menghimpunkan 20 seleksi lagu yang ingin disampaikan terlebih dulu. Setakat ini Kembara, Kupu Kupu, Demi Masa dan Ya Salam, sebahagian lagu dalam rencana persembahan saya.

“Apa yang boleh saya katakan di samping saya sendiri mempunyai idea bagaimana bentuk pergerakan bakal dilakukan nanti, tetapi bantuan beberapa koreografer turut memainkan peranan penting dalam pementasan konsert ini nanti.

“Harapan saya kalau boleh saya mahu menghi­dupkan suasana keterujaan penonton dalam mengembara bersama penyampaian lagu-lagu itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert M Nasir Sang Pencinta yang diadakan di restoran Bambu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis penuh bermakna itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani dan Penerbit merangkap Pengarah Konsert dari Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari termasuk Pengusaha Restoran Istana Bambu, Afandy Alias.

Penghibur terkenal dengan lagu Kembara itu menga­kui berbesar hati dapat kembali di pentas Istana Budaya yang disifatkannya antara pentas terbaik untuk persembahan konsert akustik di negara.

“Kita harus wujudkan lebih banyak pentas per­sembahan yang berprestij di negara ini kerana bilangan pentas yang bagus boleh dikira dengan jari dan keadaan itu membuatkan pe­nyanyi lebih senang meng­gunakan khidmat lokasi pentas yang sama setiap kali mengadakan konsert.

“Punca sesetengah persembahan gagal kerana mereka berada di pentas yang salah. Istana Budaya misalnya serba lengkap baik dari segi kepakaran dan teknologi menawarkan satu bentuk persembahan yang hebat,” katanya yang mempunyai perancangan menga­dakan konsert ber­skala besar tidak lama lagi.

Khazanah muzik M Nasir 

Konsert M Nasir Sang Pencinta ini adalah sebahagian daripada Program Istana Budaya 2013 yang bakal menampilkan khazanah muzik hasil gubahan M Nasir dengan menampilkan persembahan penuh gilang gemilang dan pasti dapat mencuri perhatian khalayak pencinta muzik tanah air melalui sentuhan elemen fantasi yang pasti akan membuat penonton terhibur secara audio dan visual.

Dibawakan Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red on Black dan Belbis serta sokongan Istana Budaya menampilkan Aznan Alias sebagai Muzikal Di­rektor dan Mohd Rafi Shafie selaku ‘string arranger’.

Kehebatan konsert M Nasir Sang Pencinta akan terserlah dengan gabungan pemuzik handalan tahah air serta iringan string daripada OSK (Orkestra Simfoni Kebangsaan) dan cantuman hebat daripada gamelan OTM (Orkestra Tradisional Malaysia) pasti membawa satu pembaharuan yang lebih baik buat karya muzik M Nasir untuk peminat setianya.

Ciri-ciri mewah konsert ini turut mempengaruhi harga jualan tiket dengan kadar harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455, yang jauh lebih mahal jika dibanding­kan dengan Konsert Alam Muzik.

Penerbit merangkap Pengarah Konsert dari Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari berkata, sekalipun harga tiket yang dijual agak mahal namun ia berbaloi dengan apa yang ingin ditonjolkan.

“Kami akui harga tiket agak mahal namun sebagai penganjur, kami memastikan apa yang ditawarkan dari segi kehebatan visual dan audio terbaik berbaloi dengan pelaburan penonton dan peminat Datuk M Nasir,” katanya.

Bagi yang ingin menempah tiket, layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 atau IB Box Office iaitu 03-21618134.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan