Halaman

Khamis, Mac 21, 2013

M Nasir janji kelainan


petikan Berita Harian 21 Mac 2013
Serimah Mohd Sallehuddin

M Nasir bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhd Juhari Shaarani (tiga dari kiri), Zamberi (dua dari kanan) dan penaja.

Konsert Sang Pencinta di IB Jun depan gabung elemen canggih audio, visual

Selepas empat tahun, penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir, kini bersedia untuk kembali beraksi dalam sebuah persembahan berskala mega di Istana Budaya.

Artis serba boleh yang turut digelar sifu muzik itu bakal muncul bersama Konsert M Nasir Sang Pencinta pada 7 hingga 9 Jun depan. Malah penganjur dan penyanyi itu sendiri berjanji, persembahan kali ini pasti berbeza dengan konsert Alam Muzik - M Nasir yang dipentaskan di dewan berprestij itu pada Februari 2009.

Penerbit dan penganjur dari Bombay Worldwide, Zamberi Shaari, yakin peminat juga akan berpuas hati dengan konsert berkenaan, walaupun harga tiket dirasakan agak tinggi berbanding persembahan sebelumnya.

“Konsert ini bakal memberikan kelainan dengan menggunakan kelengkapan canggih. Kita akan menggabungkan elemen audio dan visual untuk membawa penonton menyelami karya M Nasir, bukan sekadar mendengar lagunya.

“Pada konsert ini juga kami menggunakan kaedah ‘visual mapping’ di mana projektor akan diguna pakai dengan meluas. Imej daripada projektor akan dipancarkan ke pentas, juga pada prop dan belakang pantas. Ketiga-tiganya akan saling berkait dan diadunkan bersama dengan audio yang akan memberikan kesan lebih menarik lagi.

“Malah pada konsert yang mempunyai ciri teater muzikal itu, kita turut menyediakan papan cerita di mana M Nasir akan berlakon agar pengembaraan yang ingin kita sampaikan dapat dilihat penonton. Sebab itu saya katakan, penonton tidak akan berasa rugi dengan harga tiket yang mereka keluarkan,” katanya.

Nyanyi lagu kegemaran 
Konsert M Nasir Sang Pencinta bakal menghimpunkan lebih 20 lagu yang dipilih penyanyi itu sendiri. Bakal diarahkan oleh Nan, konsert terbabit akan diiringi pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan dan muzik gamelan oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Sementara itu M Nasir pada majlis sidang media mengumumkan penganjuran konsert itu di ibu kota, kelmarin, berkata persembahan berkenaan amat penting kerana ia menjadi kesinambungan kepada kerjaya seninya.

Jelasnya, lagu yang bakal disajikan nanti turut berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan olehnya sebelum ini.

“Ia ibarat satu kaset yang ada dua bahagian. Sebelum ini saya banyak menyanyikan lagu di bahagian A, tetapi untuk konsert kali ini, saya memilih untuk menyanyikan lagu daripada bahagian B pula.

“Lagu yang saya pilih ini ialah karya yang menjadi kegemaran saya, tetapi saya juga memastikan ia turut dikenali peminat. Saya cuma mengharapkan peminat faham apa yang cuba saya sampaikan dalam konsert itu nanti.

“Saya akan berlakon sedikit-sedikit, tetapi tidaklah membabitkan dialog. Apa yang ingin saya paparkan lebih kepada pengembaraan kerohanian seorang manusia,” katanya.

* Tiket menyaksikan konsert itu dijual dengan harga RM65 hingga RM455. Ia boleh didapati dengan melayari laman web ticket2u.biz, atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 dan IB Box Office 03-21618134.

*Tambahan video : Berita Astro Awani mengenai Konsert Sang Pencinta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan