Halaman

Jumaat, Julai 23, 2010

Orang lama jadi penyelamat

petikan Berita Harian 23 Julai 2010
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

M NASIR berjaya mengajak penonton menari dan menyanyi bersamanya.

BIAR apapun tanggapan yang dilemparkan terhadap Konsert Irama Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya di Kelana Jaya, pada Sabtu lalu, tidak dinafikan ia sememangnya mempunyai tarikan yang tersendiri dan cukup menghiburkan lebih 1,000 penonton.

Walaupun bermula selepas jam 9 malam, namun itu bukanlah penghalang untuk penonton menunggu dengan sabar semata-mata untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi.

Ternyata meletakkan nama besar seperti M Nasir, Zainal Abidin dan Ella sebagai umpan memang tepat dan mengena kerana rata-rata mereka terhibur dengan persembahan ‘otai’ dalam bidang seni itu.

Keterujaan penonton dapat dilihat mereka menyanyi dan menari terutama apabila M Nasir menyanyikan lagu Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Apokalips.

Ella, seperti biasa berjaya membangkitkan keghairahan penonton apabila mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu Layar Impian dan Nuri sambil diiringi pemain gitar. Sesekali ketika menyanyi, Ella mengibas rambut ikal mayang yang menjadi trademarknya itu. Manakala Zainal, terus memeriahkan acara dengan lagu popularnya iaitu Ikhlas Tapi Jauh, Khayalan dan Hijau.

Konsert yang memakan masa dua jam setengah itu bukan saja menampilkan penyanyi lama, tetapi juga bakat baru yang semakin meningkat. Antaranya anak kepada vokalis Alleycats, mendiang Loganathan iaitu Darsha Loga, Shruti, Fini dan Yana yang menyanyikan rangkaian lagu ciptaan seniman Legenda Tan Sri P Ramlee seperti Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Engkau Laksana Bulan, Gelora, Bunyi Gitar dan Manusia. Penyanyi lain yang turut membuat persembahan ialah Black, Master G, Point Blank, Reshmonu dan Caprice serta Mohar. Persembahan penutup konsert terbabit disempurnakan Darsha menerusi lagu One Thousand Million Smiles sambil diiringi artis berkenaan.

Penganjur tak rugi


KETIKA penulis dan rakan media dari pelbagai organisasi menjejak Stadium MPPJ, yang menjadi lokasi berlangsungnya Konsert Irama Malaysia (Rhythm of Malaysia Concert) malam Sabtu lalu, suasana persekitaran kelihatan sedikit lengang.

Bukan tidak ada penonton yang hadir tetapi jumlahnya tidak begitu sepadan dengan konsert yang bakal disaksikan itu. Melihat kepada senarai penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam itu, rasanya tidak ada cacat celanya.

Menampilkan nama hebat dalam industri muzik seperti M.Nasir, Zainal Abidin, Ella, Noraniza Idris dan Black Mentor, di manakah kekurangan konsert ini? Adakah disebabkan kurangnya promosi membuatkan konsert itu mendapat sambutan agak dingin dari penonton.

Ketika diajukan pertanyaan ini kepada wakil penganjurnya iaitu Naresh Nair yang juga Ketua Pegawai Eksekutif kepada syarikat O2TW Sdn Bhd, dia menafikan konsert itu gagal mendapat sambutan sekali gus membuatkan mereka menanggung kerugian.

“Saya tak anggap konsert ini gagal mendapat sambutan kerana 7,000 tiket sudah. Dan tiket paling mahal iaitu RM33 habis dijual. Itu sudah cukup membuktikan konsert ini dapat sambutan. Kami sebenarnya tidak menekankan soal keuntungan dalam menganjurkan konsert ini.

“Apa yang penting konsert ini mencapai matlamatnya untuk menonjolkan Malaysia ada ramai penyanyi yang bukan saja berkaliber tetapi juga mempunyai kepelbagaian genre. Siapa yang tak kenal dengan Noraniza Idris yang sinonim dengan pop etnik, Zainal Abidin dengan World Music dan Ella yang tetap setia dengan muzik rock.

“Saya akui konsert ini kurang dari segi promosi kerana kami diberi tanggungjawab di saat akhir. Apapun, sebagai konsert yang julung kali kami diadakan, saya tak anggap itu menjejaskan kelancaran,” katanya.

Jika melihat nama konsert terbabit, tentunya ramai menyangkakan persembahannya dipenuhi dengan pertunjukan kebudayaan masyarakat majmuk Malaysia. Sebaliknya hanya ada beberapa penyanyi saja yang menepati tema konsert itu.

“Kami memang mahu menonjolkan muzik yang mewakili masyarakat Malaysia termasuk kaum etnik Sabah dan Sarawak tetapi memandangkan masa yang terhad, kami mendahulukan mana-mana yang sesuai,” jelas Naresh.

Jarang melihat konsert bertaraf mega berlangsung tanpa dikendalikan oleh pengacara, tetapi itulah yang berlaku pada Konsert Irama Malaysia ini sehingga berlaku sedikit kelam kabut apabila mereka hanya menggunakan suara latar untuk memperkenalkan penyanyi.

Naresh berkata, pihaknya memang sengaja tidak mengambil pengacara kerana bagi mereka barisan penyanyi yang di undang dalam konsert itu sudah cukup dikenali ramai.

“Di luar negara sudah lama mempraktikkan cara begini iaitu tidak akan ada pengacara yang mengendalikan konsert. Jadi inilah cara yang ingin kami perkenalkan di sini sekali gus menyuntik elemen pembaharuan dalam penganjuran konsert tempatan. Mungkin agak sukar untuk dilakukan di sini tetapi kita mencubanya,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan