Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

Konsert tampil elemen 1Malaysia

petikan Utusan Malaysia 15 Julai 2010

PELBAGAI konsep muzik dan tema telah dipertaruhkan dalam usaha menarik perhatian penonton dalam Malaysian Rhythm Concert yang akan diadakan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada 17 Julai ini pukul 9 malam.

Menerusi konsert anjuran Pelancongan Selangor dengan kerjasama Out of This World Sdn. Bhd. itu, ia menampilkan elemen muzik kontemporari dan tradisional menerusi lagu-lagu yang akan dipersembahkan oleh 11 penyanyi popular tanah air.

Menurut Pengurus Projek konsert itu, Naresh Nair, Malaysian Rhythm Concert juga akan menampilkan pelbagai genre seperti pop, rock dan hip hop yang disampaikan oleh artis-artis terbabit yang datangnya daripada pelbagai kaum.

“Melalui konsert ini, kami sudah bersedia untuk membawa para penonton mengharungi satu pengalaman muzik yang unik melalui gabungan artis-artis popular tanah air dengan pelbagai genre muzik mereka yang tersendiri.

“Mereka akan mendendangkan lagu-lagu popular masing-masing yang digubah semula dengan mengetengahkan alat-alat muzik tradisional kaum-kaum di Malaysia. Konsep konsert sebegini akan menggegarkan lagi gaya persembahan dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Kesemua 11 artis yang akan terbabit menjayakan konsert yang mengenakan tiket berharga RM33 dan RM78 itu ialah M. Nasir, Zainal Abidin, Ella, Reshmonu, Shruti, Point Blank, Coprice, Black Mentor, Darsha Logan, Mister G dan Noraniza Idris.

Menariknya tambah Naresh, konsert yang turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang itu akan menampilkan barisan para pemuzik berpengalaman bagi mengiringi persembahan artis-artis terbabit.

“Antara pemuzik itu ialah Nan selaku gitaris, Eddie Slam (keyboard), Rafi (gitaris), Pa’ang, Ijan dan Lone (percussion), Kiruba (tabla), Yuri (dram), Mohar (seruling) dan Kelly (bassis). Konsert ini sebagai menjayakan kempen Selangor Musical Extravaganza 2010 bagi mengetengahkan muzik pelbagai kaum di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tiket konsert berharga RM33 itu sudah habis dijual dan hanya tiket berharga RM78 sahaja yang tinggal bagi menyaksikan konsert tersebut.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket itu sila layari laman sesawang www.axces.com.my.




M Nasir, Zainal Abidin berpadu suara
petikan Berita Harian 15 Julai 2010

PELUANG untuk menyaksikan persembahan yang jarang dilakukan iaitu M Nasir berduet dengan Zainal Abidin untuk menyanyikan lagu Ikhlas Tapi Jauh.

Dua penyanyi hebat ini adalah antara yang bakal membuat persembahan dalam Konsert Irama Malaysia atau Malaysia Rythm Concert di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada Sabtu ini, jam 8.45 malam.
Konsert juga turut ini menampilkan nama besar dalam dunia muzik seperti Ella, Noraniza Idris, Reshmonu, Black, Point Blanc, Caprice, Master G, Dasha Logan dan Shruthi.

Sememangnya konsert ini bersedia menampilkan satu pengalaman muzik yang unik. Ini boleh dirasai menerusi gabungan penyanyi popular yang mewakili pelbagai genre mendendangkan lagu-lagu popular dengan susunan muzik yang digubah semula dan mengetengahkan alat muzik tradisional secara langsung.

Konsert Irama Malaysia atau Malaysia Rythm Concert akan menggegarkan arena konsert tempatan.

Harga tiket untuk menyaksikan konsert ini adalah RM38 dan RM18. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-77115000 atau layari www.axcess.com.my.

2 ulasan:

  1. aku tak paham la show macam gini..
    kata aku minat giler kat m nasir n ella, so aku beli tiket , tapi 11 artis so m nasir & ella berapa lama perform?

    malam2 beri anugerah ok la, tapi show cam gini ramai2 gini cam tak berbaloi nak pergi susah2, nak beli tiket lagik

    aku nye point of view la.

    BalasPadam
  2. dEAF, konsert mcm ni mengingatkan aku pada konsert Jom Heboh cuma kena bayar tiket. 11 artis dalam 1 show. Mcm rojak, ada org suka, ada org tak suka. Aku cuma suka kuah rojak saja.

    Nak tunggu M Nasir buat konsert solo? Hmmmmm....

    BalasPadam