petikan Bintang Popular 1 Mac 2009
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my
HARI ini adalah malam terakhir Konsert Alam Muzik M Nasir yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Sejak Khamis lalu, penyanyi lagu bertemakan melodi nusantara ini menggemakan vokal dan muzik keramatnya di Panggung Sari yang mengundang pesona penonton dan penggemar setianya, malah bukan saja mereka yang sebaya dengan penyanyi itu tetapi ramai anak muda berusia lingkungan 20-an juga terhibur dan kagum dengan corak persembahannya yang bertenaga, segar dan tetap mempunyai identiti beliau sendiri.
Ini adalah konsert solo beliau selepas hampir sembilan tahun tidak pernah muncul sendirian sesudah kali terakhir sebelum ini pada Januari 2000 di Stadium Merdeka menerusi Konsert Raikan Cinta. M Nasir nyata masih ada stamina dan kudrat untuk menampilkan kehebatan beraksi di pentas biarpun langkah tarinya tidaklah begitu pandai tetapi imejnya ketika di pentas masih dengan cara M Nasir sejak dulu.
M Nasir yang kini berusia 52 tahun adalah komposer dan penyanyi yang kukuh jati diri Melayu, dengan imej lagu nusantara yang mengangkat imej lagu Melayu moden sekali gus meletakkannya sebagai komposer lagu di Malaysia yang paling unggul biarpun kini beliau agak jarang menampilkan lagu baru yang mantap melodinya.
Meninjau perjalanan seni M Nasir sebagai pemuzik, pencipta dan penggubah lagu, beliau bukan saja kaya dengan pengalaman dan deria muzik yang kukuh tetapi mempunyai penghayatan falsafah yang baik terhadap roh dan jiwa muzik itu sendiri - lagunya memberi semangat, kejujuran dan cuba mencari kebenaran lewat lirik yang disampaikan.
Perjuangan M Nasir bukan sekadar menerusi lagunya yang mampu membuatkan ramai suka dan enjoy dengan lenggok irama dan vokalnya tetapi maksud lirik yang disampaikan itu sebenarnya lebih bermakna dan akalanya mengejutkan hingga ramai mengadu ada kalanya ia sukar difahami. Mereka yang memahami lagu M Nasir akan tahu beliau menyanyi bukan sekadar menyanyi tetapi mengalunkan irama secara berfalsafah - mengenai persoalan kehidupan, ketuhanan, kemanusiaan, kasih sayang dan patriotisme. Bukan itu saja, malah daripada lagunya juga kita akan mempelajari sesuatu mengenai sejarah, tamadun, politik, geografi, kritikan sosial, budaya dan warisan bangsa.
Hayati saja lirik lagunya seperti Apokalips, Mentera Semerah Padi, Phoenix Bangkit, Bila Rumi Menari, Kias Fansuri, Andalusia, Akar Kita mahupun Keroncong Nastradamus dan Perang Yang Lagi Satu. Kebanyakan lirik lagunya juga diperkuatkan dengan nukilan Loloq (Allahyarham) yang menjelmakan maksud tersirat dan mempunyai pemilihan kata yang menarik, bombastik, berbudaya dan bahasa Melayu klasik, sekali gus menyempurnakan irama daripada M Nasir hingga lagu yang terhasil menjadi jitu dan cukup memberi impak.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat aksi bertenaga M Nasir, malam ini adalah peluangnya kerana ia adalah persembahan yang terakhir sesudah tiga malam beliau muncul di Istana Budaya termasuk pada Khamis lalu mengadakan persembahan raptai penuh yang dibuka kepada kenalan rapat industri muzik, ahli keluarga Nasir serta wakil media massa.
Namun, konsert terakhir malam ini ia hanya boleh ditonton bagi mereka yang sudah mempunyai tiket saja kerana semua tiket dijual sudah habis ditempah, malah tiket semahal RM250 juga sudah habis.
Dalam usianya yang sudah lebih 50 tahun, apakah ini mungkin menjadi konsert solo terakhir M Nasir kerana proses penganjuran konsert ini menempuh banyak halangan dan dugaan setelah tertunda beberapa kali dan lebih mendukacitakan kerana ia tidak mendapat perhatian daripada mana-mana syarikat untuk menjadi penaja.
Apakah mungkin M Nasir akan mampu tampil sekali lagi untuk sembilan tahun akan datang dengan muncul solo seperti Konsert Alam Muzik M Nasir? Masa itu jika dipanjangkan umur, M Nasir akan mencecah usia 61 tahun dan tidak mungkin lagi dia mampu beraksi seperti konsert kali ini. M Nasir perlukan sokongan jika kita menghargai seniman sepertinya.
Akmal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan