Halaman

Isnin, Mac 02, 2009

Hanyut dibuai M. Nasir

petikan Kosmo! 2 Mac 2009
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


DIALAH penyair di lembah seribu satu malam. Dalam getar dan goncangan irama yang berlagu, dendangannya menjadi penuh berkuasa, menyerap dan meresap ke segenap penjuru rasa, jiwa dan kalbu sang penghuni yang bertamu menatapinya.

Di ruang yang kedap bunyi bernama Panggung Sari, Istana Budaya, darah seni yang mengalir dan merentasi saluran saraf sang biduanda bernama M. Nasir mengalir pantas. Tanpa sedar, tempoh dua jam dijanjikan berlalu meninggalkan seluruh pencinta dalam emosi tidak puas.

Masing-masing mengharapkan masih ada peluang satu malam lagi untuk hanyut bersama-sama M. Nasir. Malangnya pintu sudah tertutup dan kesemua tempat duduk tiga malam persembahan sulung solo M. Nasir menerusi Konsert Alam Musiknya itu sudah ditempah!

Hakikatnya dialah M. Nasir yang beraja di mata hati semua sebagai pemilik lagu zaman. Tenaganya, lenggok hayunan badan dan segala-gala yang terpamer dari tubuhnya itu adalah lukisan segala mimpi, kata dan melodi yang lahir dari batinnya.

Memang patut konsert itu hanya dijayakan secara solo oleh seniman bergelar sifu itu. Selain kumpulan pemuzik yang menghidupkan setiap rentak dendangannya, M. Nasir seorang sebenarnya sudah terlalu sempurna untuk 'melukiskan' atmosfera tiga malam konsertnya.

Biarpun sekadar menyaksikan malam latihan penuh yang diadakan sehari lebih awal daripada tarikh konsert bermula, ia sudah memberikan gambaran yang lebih 90 peratus menghampiri konsert sebenar walaupun tidak semua senarai lagu disampaikan. Bezanya cuma M. Nasir serta para pemuzik iringannya tidak berkostum lengkap kerana busana khas hanya dikenakan menjelang persembahan sebenar.

Di kalangan tetamu yang memenuhi dewan, kelihatan wajah-wajah yang dikenali. Wajah-wajah generasi penyanyi sezamannya dan masa kini yang enggan melepas peluang membasuh rindu menyaksikan satu-satunya konsert besar M. Nasir.

Itulah satu-satu konsert besar yang sekian lama ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat bahkan M. Nasir sendiri dalam tempoh sembilan tahun selepas konsert terakhirnya, Konsert Andalusia pada tahun 2000 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dari segi senarai lagu, secara lebih halus lagi, boleh juga konsert yang bertamu di pentas IB itu diibaratkan gelanggang pelepas geram M. Nasir terhadap album Phoenix Bangkit yang dihasilkan pada tahun 2001. Phoenix Bangkit dikatakan antara naskhah terbaik yang pernah dilahirkan M. Nasir malangnya selepas tahun 2001, naskhah itu tidak bertemu konsert yang selayaknya menjadi pentas besar untuk diperdengarkan secara gah kepada khalayak pengikut M. Nasir.

Kecuali judul Oh! Anak dan Hijab Kekasih, lapan daripada trek lagu yang terisi menerusi Phoenix Bangkit seperti Raikan Cinta, Masirah, Sahabat Gua, Phoenix Bangkit Dari Abu, Bila Rumi Menari, Dah Lagu Tu!, Melawan Arus dan Langgam Pak Dogo, semuanya itu dilagukan penuh perasaan oleh seniman yang berasal dari Singapura itu.

"Ini kisah arwah Loloq," ucap M. Nasir sepintas lalu ketika jemarinya enak memetik gitar seraya meneruskan Langgam Pak Dogo. Sesekali dia menanyakan reaksi penonton tentang sebutan dialek Kelantan yang digunakan dalam lagu berkenaan, tepat atau tidak.

Himpunan lain seperti Ada, Bukalah Hatimu, Mentera Semerah Padi, Apokalips dan Falsafah Cinta antara yang menjadi pembakar kemarakan sentuhan M. Nasir untuk peminat seninya.

Seperkara lagi yang sangat menarik sepanjang konsert itu sudah tentu gabungan dan keseronokan yang dikongsi bersama oleh seluruh tenaga pemuzik di pentas.

Diketuai oleh Aznan Alias selaku Pengarah Muzik dan pemain gitar utama, walaupun bukan segerombolan kumpulan orkestra dibawa naik ke pentas, namun tenaga yang terhasil menerusi muzik sepanjang dua jam konsert sungguh mengujakan.

Getaran yang bergema ternyata membangkitkan gejolak untuk sama ikut menari, cuma ruang serta kerusi empuk Istana Budaya yang tidak mengizinkan penonton ikut menari.

AKSI-AKSI M. Nasir dalam Konsert Alam Musik di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang berakhir semalam.

Seperti lucunya M. Nasir berseloka semasa malam latihan penuh tersebut, "Lagi berat, lagi menawan", maka benarlah rasa berat terhadap kerinduan melihatnya beraksi di konsert sememangnya membuat hati penonton lagi tertawan.

Cuma secubit terkilan datang mencuit, timbul juga pertanyaan apalah ruginya Istana Budaya dan penganjur konsert sehebat Boxoffice Malaysia andainya media bertugas dibenarkan menyaksikan konsert sebenar untuk ulasan konsert berbanding malam latihan semata-mata.

Biarpun latihan penuh tidak kurang hebatnya sama seperti malam konsert, namun emosi dan ulasan bersandarkan malam latihan semestinya tidak sama dengan emosi yang terkesan ketika menilai malam konsert.

Mungkin pihak penganjur tidak perlukan sebuah ulasan yang tepat memandangkan nama M. Nasir sendiri sudah cukup sempurna untuk dibayangkan seorang penghibur yang sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan