Halaman

Selasa, Februari 03, 2009

Muzik kita perlu perubahan

petikan Berita Harian 3 Februari 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

M NASIR mahu peminat berseronok pada konsertnya yang akan bermula 27 Februari.

Penyanyi dan pemuzik berkumpulan tempatan mesti sentiasa buat lagu baru, segar untuk kekal bersaing

PEMBABITANNYA dalam bidang seni sudah pun berusia 30 tahun. Namun, bagi M Nasir, perjalanan itu tidak akan terhenti hanya selepas tiga dekad. Semangatnya terus membara untuk tampil bersama karya maha indah.

Pembabitan bintang ini dalam seni juga amat pelbagai. Dia bergelar penyanyi, pencipta, penulis lirik, pelakon, pengarah dan pelukis. Jika ada insan seni yang harus dihormati kerana kepelbagaian bakat dimiliki, mungkin inilah orangnya. Maka tidak hairan apabila karyanya sentiasa ditunggu, bahkan golongan penyanyi sendiri sanggup lama menanti demi mendapatkan lagu ciptaan M Nasir.

Begitupun, sifu muzik ini tidak pernah memandang rendah keupayaan artis lain. Acap kali dia memuji keupayaan bakat baru atau kumpulan muzik hari ini yang kian digilai. Pada ketika dia mengalu-alukan kehadiran mereka dalam persada seni, M Nasir tidak lupa menghulurkan sedikit nasihat untuk mereka kekal lebih lama dalam industri penuh glamour ini.

Kata pemilik sebelas album solo itu, kumpulan Meet Uncle Hussain yang baru saja dinobatkan pemenang Juara Lagu menerusi karya mereka, Lagu Untukmu, umpamanya diterima ramai kerana kelainan yang mereka tonjolkan dalam muzik.

"Jelas sekali, muzik sebegitu yang dikehendaki peminat ketika ini. Mereka pula menampilkan muzik yang sedikit berbeza. Saya mengalu-alukan kemenangan mereka pada Anugerah Juara Lagu Ke-23," kata M Nasir yang bakal muncul bersama sebuah konsert di Istana Budaya, selama tiga malam berturut-turut, bermula 27 Februari ini.

Bintang berusia 52 tahun itu turut menyebut beberapa kumpulan baru lain seperti Bunkface dan Pesawat yang mula mendapat perhatian peminat. Katanya, kumpulan terbabit menunjukkan bakat yang besar untuk terus maju dalam dunia muzik tanah air.

Apatah lagi peluang yang dimiliki oleh artis baru ketika ini cukup besar berbanding pada ketika dia dan rakan seangkatan mula-mula hendak bertapak. Pelbagai program di televisyen, puluhan rangkaian radio, kewujudan begitu banyak media massa serta peluang muncul dalam berbagai-bagai acara memberikan ruang yang baik untuk artis hari ini menonjolkan diri.

"Perbezaannya cuma pada kehendak seseorang penyanyi atau sesebuah kumpulan itu sendiri. Pada waktu dulu, sekurang-kurangnya inilah pandangan saya, kami mahukan perubahan berlaku dalam masyarakat apabila sesebuah karya dihasilkan. Kami mengkritik sesuatu keadaan pada ketika itu. Lagu yang dikeluarkan lebih bersifat topikal atau mempunyai isu yang hendak disampaikan.

"Kini, saya tidak melihat perkara yang sama wujud dalam karya artis baru. Namun, mungkin itulah kemahuan peminat atau penggiat seni hari ini. Tetapi, saya masih cuba mengekalkan elemen topikal itu dalam setiap karya yang saya hasilkan," kata M Nasir yang turut menerima lirik cinta dalam sesebuah lagu.

Gemar muzik genre Indie

NYATANYA, M Nasir menggemari muzik yang dipelopori kumpulan bebas atau indie ini. Bahkan dia amat berbangga apabila muzik di Malaysia nyata berbeza dengan muzik seberang.

"Cuba kamu lihat, bunyi muzik dan suara penyanyi kita nyata berbeza dengan apa yang datang dari sana. Kita mempunyai bunyi yang berbagai-bagai. Bunyi muzik mereka lebih kurang sama saja, walaupun sedap didengar," ujar penyanyi ini yang turut melihat Faizal Tahir sebagai artis berbakat besar yang mempunyai masa depan cukup cerah.

Cuma, katanya, sebagai seorang penyanyi, pelbagai pengalaman suka duka perlu ditempuh Faizal dalam memantapkan lagi karier seni.

Kembali bercerita mengenai kumpulan muzik, M Nasir berharap setiap kumpulan baru yang muncul serta mendapat sokongan peminat perlu menampilkan album yang sentiasa mantap bagi mengukuhkan kesinambungan kejayaan dalam karier mereka.

"Saya perhatikan, kumpulan muzik sering berdepan cabaran untuk muncul bersama album yang bagus. Katakan, mereka berjaya tampil dengan album sulung yang baik, tetapi album seterusnya pula kurang memberangsangkan.

“Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut dihadapi kumpulan muzik Indonesia. Sebab itu, kita lihat ada saja kumpulan baru Indonesia yang hadir apabila kumpulan sedia ada gagal memberikan sesuatu yang lebih baik untuk peminat.

"Kumpulan baru pula sentiasa cuba menembusi pasaran dengan menghasilkan muzik yang berbeza. Atas alasan itu Meet Uncle Hussain dan Hujan mampu memikat hati pendengar.

"Tidak lama dulu, Spider sendiri dianggap kumpulan yang cukup berbakat dan selalu muncul dengan lagu yang hebat. Kini, mereka juga perlu mengetengahkan muzik yang baru. Mereka harus mencari formula berbeza untuk menyambung kejayaan yang pernah dicipta," katanya.

Info M Nasir:

# SEJAK tiga minggu lalu, penyanyi ini dan 10 pemuzik serta empat penyanyi latar sibuk mengadakan latihan bagi menjayakan Konsert Alam Muzik M Nasir yang akan berlangsung selama tiga malam di Istana Budaya, mulai 27 Februari.

# PENYANYI ini ingin sekali menampilkan sebuah persembahan yang membolehkan peminatnya bergembira bersama kira-kira 30 lagu yang bakal dia nyanyikan. Dia juga akan menyampaikan lagu baru untuk kepuasan peminat yang datang.

# M NASIR melihat persembahannya nanti lebih berupa konsert dengan elemen irama sejagat atau world beat. Konsert itu dijangka berlarutan sehingga dua jam lamanya.

# MENYENTUH perancangannya pada tahun ini, selain konsert di Istana Budaya, M Nasir berkata dia menjangkakan 2009 muncul tahun yang sibuk bagi dirinya. Bukan saja sibuk memerah minda mencari karya terbaru untuk album seterusnya, dia juga berazam untuk mengadakan konsert dan bakal beraksi dalam filem Magika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan