Halaman

Ahad, Februari 01, 2009

Konsert solo tanpa orkestra

petikan Bintang Popular 1 Februari 2009
Oleh Suzan Ahmad

M Nasir lebih selesa gunakan cuma 10 pemuzik untuk Konsert Alam di Istana Budaya

MENAKUTKAN, bersejarah dan boleh dianggap berani apabila Konsert Alam M Nasir muncul pertama kalinya sebagai konsert solo pertama artis tempatan yang pernah dilangsungkan di Panggung Sari, Istana Budaya, tanpa membabitkan seorang pun penyanyi jemputan.

Mengenali sifat M Nasir yang cukup matang berkembang dengan alam muziknya, mengakui trend dunia hiburan masa kini sering dihidangkan dan dirosakkan dengan konsep variety show. Baginya sesebuah konsert tidak semestinya perlu ada penyanyi undangan.

“Lihat saja Michael Jackson atau Sting, mereka tidak perlukan penyanyi jemputan untuk melengkapkan persembahan, jadi tampil solo tanpa acara selingan dari penyanyi jemputan bukan isunya di sini,” jelasnya yang bakal menghiburkan peminat setianya selama tiga malam berturut-turut mulai 27 dan 28 Februari dan 1 Mac ini, jam 8.30 malam.

Selepas konsert terakhirnya Andalusia pada 2000, terbitan Box-Office Malaysia, manifestasi muzik M Nasir sepanjang 30 tahun berkecimpung bakal digemakan dalam persembahan yang mengambil masa dua jam padat dengan seleksi terbaik daripada lebih 1,500 lagu ciptaan beliau sepanjang bergelar anak seni.

Pemilik Luncai Emas Sdn Bhd ini turut menjelaskan, Konsert Alam M Nasir tidak sekadar mengalunkan lagu ciptaannya sendiri tetapi juga, ciptaannya untuk orang lain dan ciptaan komposer lain untuknya.

Menjawab lanjut, bagi Nasir keputusan untuk tampil solo banyak terpengaruh dengan dunia lukisan yang halus seninya.

“Umpama seorang pelukis, dia tidak menggunakan orang lain untuk melukis seninya, sebaliknya ia adalah ekspresi tersendiri yang disampaikan sendiri, menerusi pemikiran dan kemahuan untuk meluahkan rasa dari fikiran. Jadi dengan susun atur pentas dan reka bentuk Panggung Sari yang tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil, mewujudkan keintiman bersama penonton, bila keintiman wujud maka dinamik persembahan juga mudah dikawal,” tambahnya lagi yang lebih selesa diiringi 10 pemuzik profesional berbanding orkestra.

Sementara itu, Ali Bakar yang mewakili Box-Office Malaysia selaku penerbit dan penganjur konsert mengakui berasa tercabar dengan penganjuran konsert ini.

“Masalah utama yang saya nampak ialah konsepnya perlu datang dari diri dan jiwa Nasir sendiri, memang benar ada percanggahan pendapat namun saya melihat ia sebagai cabaran... bukan masalah. Bayangkan saya pernah buat empat hingga lima konsert dan saya masih ingat dia (M Nasir) mahukan sesuatu yang tidak banyak beza,” katanya yang mengakui penyanyi, penggubah lagu, pelakon serta pelukis ini mahukan kelainan.

Bagi Ali, permintaan ini dilihat sebagai cabaran yang agak menakutkan untuk menjadikannya realiti.

“Inilah antara keunikan yang dapat saya kesan dari dalam dirinya dan saya merasakan tidak rugi untuk sekian kalinya memberikan dia peluang dan ruang untuk berkarya demi seni muzik yang dicintainya,” katanya insan pertama yang bertanggungjawab membawa anak kelahiran Singapura ini membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Kini hanya tiket RM45, RM150, RM200 dan RM250 masih ada dan tempahan boleh dibuat menerusi talian 03-41498600 atau layari www.ticket2u.biz. Tiket berharga RM85 sudah habis ditempah.

Sidang media konsert itu turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Jauhari Shaarani; Pengurus Kanan Pemasaran NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh. Setiap RM1 hasil jualan tiket konsert berkenaan akan disalurkan kepada Tabung Kebajikan NSTP.

Sempena konsert, barangan eksklusif edisi terhad akan dijual dan hasil jualan disalurkan kepada tabung berkenaan. The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) adalah akhbar rasmi konsert berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan