Halaman

Jumaat, Februari 20, 2009

Didicazli mahu contohi M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 20 Februari 2009
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

MENYEBERANGI tambak dari Kota Singa ke Malaysia membuka satu lagi lembaran buat pemuda berusia 27 tahun ini dalam mencari tapak mengukuhkan lagi profil seninya.

Setelah berjaya 'menawan' hati peminat muzik di Singapura, penerima anugerah Lagu Singapura Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) untuk dua tahun berturut-turut menerusi lagu Dambaan (2007) dan Seribu Kenangan (2008), kini Didicazli mula mengorak langkah 'menakluki' hati peminat seni tanah air.

Bukan terikut-ikut atau terpanggil dengan kejayaan kebanyakan artis senegaranya yang berjaya menempa nama di negara ini, pemilik nama sebenar Didicazli Cindy Ismail itu hanya mahu berkongsi bakat yang dimilikinya.

Pepatah ada mengatakan yang bulat tidak datang bergolek, atas kefahaman itu, anak teruna kepada bekas anggota kumpulan nasyid Al-Jawaher, Siti Rusminah Jaafar itu kalau boleh tidak mahu terlalu statik kepada lapangan nyanyian semata-mata.

Justeru, dia kini semakin berani melangkah setapak kehadapan apabila mula berjinak-jinak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik.

Malah, 80 peratus daripada kandungan album sulungnya, Diari Cinta adalah curahan idea dan buah fikiran dirinya sendiri.

Ketika ditemui di studio Utusan baru-baru ini, Didi memberitahu, kalau boleh dia mahu mencipta kejayaan seperti yang pernah dikecapi oleh idolanya, M. Nasir.

"M. Nasir merupakan idola saya dalam bidang seni. Sebelum ini saya memang banyak mengikuti perkembangan dan kejayaan yang pernah dikecapi oleh M. Nasir.

"Untuk menganggap diri berjaya, saya perlu berusaha dan mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus daripada apa yang telah dicapai oleh M. Nasir sekarang ini," katanya.

Berkenalan dengan M. Nasir pada APM 2007, membuahkan harapan yang bukan sedikit buat dirinya. Bermula daripada situ, perjalanan kerjaya seninya dirasakan seperti berada di landasan yang betul apabila mendapat tunjuk ajar daripada idolanya itu.

Perkenalan itu memberi pelbagai kepuasan buatnya kerana dari situ dia mula belajar tentang cara-cara menulis lirik serta mengubah lagu termasuk lagu-lagu berirama pop balada dan R&B.

"M. Nasir kata sebagai penyanyi yang masih baru dalam industri hiburan, kita perlu rasa susah terlebih dahulu.

"Memang saya akui semua itu. Apabila kita sudah biasa dengan kesusahan kita akan lebih menghargai kejayaan," katanya.

Menurut Didi, album Diari Cinta yang diterbitkan oleh Sony Music dan Luncai Emas Sdn. Bhd., itu telah pun dipasarkan sejak 27 Disember lalu.

Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut termasuklah Seribu Kenangan yang kini sedang rancak diputarkan di corong-corong radio tempatan dan Singapura ialah Sepi Berdua, Impianku, Sederhana dan Rela.

Turut dimuatkan ialah lagu-lagu ciptaan sepenuhnya oleh Didi iaitu Menyayangimu, Biarpun Rindu, Jasa Ibu Ku dan Dambaan.

Ibu hanya pendorong


Status sebagai anak seorang penyanyi mungkin antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik kepada bidang seni. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Namun, bagi pemegang diploma lanjutan dalam bidang komunikasi media dari Management Institution, Singapura itu, bakat seninya didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap muzik dan lagu-lagu Melayu.

"Saya memang minat dengan muzik, bukan kerana mak saya penyanyi maka saya juga perlu jadi penyanyi. Mak saya cuma pendorong dan pembakar semangat saya dalam bidang muzik," kata Didi.

Kepada para peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Didicazli, sila layari www.myspace.com/didicazli atau www.didified.multiply.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan