Halaman

Rabu, Februari 18, 2009

Bersedia dengan kejutan

petikan Berita Harian 18 Februari 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

M NASIR serius merancang perjalanan konsertnya yang kian hampir.

Sambutan hangat buatkan Ali Bakar teruja menanti bermulanya Konsert Alam Muzik M Nasir

BARANGKALI nafas lega belum mampu dilepaskan sepenuhnya oleh Pengarah Urusan Box Office, Ali Bakar selagi Konsert Alam Muzik M Nasir belum melabuhkan tirainya.

Namun, sekurang-kurangnya Tuhan mengusir keresahan di hati dengan melapangkan dadanya apabila jualan tiket untuk konsert yang akan memulakan kembaranya di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut bermula dari 27 Februari ini berjalan pantas.

Daripada lebih 3,000 tiket yang disediakan untuk tiga malam persembahan itu, sebahagian besarnya sudah habis dijual dan kini berbaki sekitar 700 keping.

Menceritakan perasaannya ketika ini, Ali berkata, semuanya bercampur baur namun dia menaruh keyakinan konsert itu akan berakhir dengan gemilang berdasarkan maklum balas positif yang diberikan.

“Saya percaya tiket akan habis menjelang tarikh konsert kerana kebelakangan ini ramai peminat menghubungi dan bertanyakan cara untuk mendapatkan tiket.

SEMUA yang terbabit giat menjalani latihan untuk memberi kepuasan kepada peminat.

“Untuk makluman tiket yang berbaki berharga RM200 dan RM250 manakala tiket lain yang berharga RM45, RM85 dan RM150 sudah habis ditempah,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Petunjuk positif itu juga menyemarakkan semangat Ali terutama apabila syarikat korporat, Stars2U Sdn Bhd turut menyokong usahanya dengan mendapatkan tiket pada jumlah keseluruhan RM20,000.

Sokongan itu bagi Ali, membuatnya begitu terharu sekali gus memberikan kekuatan kepadanya untuk memberikan yang terbaik pada konsert yang menyaksikan M Nasir tampil bersama kumpulan pemuzik yang diketuai Aznan Alias atau Nan.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila syarikat berkenaan turut bersedia menyumbang RM15,000 untuk Tabung NSTP Untuk Gaza, manakala RM5,000 lagi disalurkan kepada NSTP Charity Fund.

“Kebanyakan pembeli ialah mereka yang selama ini menaruh keyakinan terhadap siri konsert yang pernah dianjurkan Box Office Malaysia, selain individu yang setia menyokong karier seninya,” katanya.

Ketika ini, Ali berkata, segala persiapan menjelang konsert berkenaan sedang berjalan gigih malah janjinya, akan ada pelbagai kejutan menanti penonton pada tiga malam persembahan itu berlangsung.

Menurutnya, konsert yang berlangsung selama dua jam tanpa henti ini akan menyaksikan kepelbagaian genre muzik dipersembahkan merangkumi pop, keroncong, tradisional, balada, irama Malaysia yang pernah dipopularkan serta dicipta penyanyi itu.

“M Nasir sendiri begitu serius merencana perjalanan konsertnya. Suatu yang paling membuat saya senang bekerja dengan M Nasir ialah sikapnya yang tidak ‘kedekut’ ketika mengadakan persembahan.

“Tekadnya untuk memberikan yang terbaik dan berkongsi segala kelebihan yang dimilikinya pada tiga malam konsert itu berlangsung membuatkan saya yakin ia mampu mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan,” katanya.

Persiapan, latihan konsert lancar

MENYENTUH persiapan, Ali Bakar berkata, semuanya sedang berjalan seperti yang direncanakan malah M Nasir bersama barisan pemuziknya melipatgandakan sesi latihan menjelang tarikh konsert.

Bakal memasuki Istana Budaya untuk persiapan dan siri latihan penuh bermula Ahad ini, Ali Bakar berkata, dia sendiri tidak sabar untuk melihat konsert itu direalisasikan.

“Pertanyaan demi pertanyaan daripada peminat membuatkan saya tidak sabar menanti permulaan konsert kerana saya yakin ada banyak keistimewaan pada persembahan M Nasir kali ini,” katanya.

Ali Bakar yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam penerbitan konsert mega tempatan dan antarabangsa menekankan aspek penting dalam persembahan seperti arahan, skrip pentas, bunyi, penataan cahaya, layar perak, prop dan kostum yang ditangani pasukan produksi profesional.

Kerjasama dua nama yang melakar pelbagai catatan penting dalam industri hiburan sudah lama dijalinkan, malah Ali Bakar bertanggungjawab menerbitkan konsert anak seni kelahiran Singapura itu seperti Konsert Gong Impian (1992), Konsert Canggung (1994) dan Konsert Andalusia (2000).

2 ulasan: