Halaman

Isnin, September 08, 2008

Nisbah siaran lagu wajar diteliti

petikan Utusan Malaysia 8 September 2008
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

FENOMENA kebanjiran siaran lagu-lagu artis luar negara terutamanya dari Indonesia di stesen-stesen radio dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada kemerosotan jualan album artis-artis tempatan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez menyifatkan keadaan itu kini semakin meruncing dan harus ditangani segera.

Menurut beliau, isu berkenaan wajar diberi perhatian serius memandangkan statistik mencatatkan jumlah pendapatan industri rakaman album merosot kepada RM60 juta setahun pada tahun lalu berbanding RM315 juta pada 1996.

“Jumlah penurunan itu amat ketara sekali. Ia menyaksikan tahun lepas cuma sekitar 68 buah album tempatan yang diterbitkan dan jualannya di bawah paras 20,000 unit. Angka itu diperoleh melalui pencalonan album-album dalam AIM (Anugerah Industri Muzik) tahun lepas.

“Perkara ini perlu perhatian daripada semua pihak termasuk kerajaan. Saya anggap ini sebagai isu nasional,” katanya pada sidang media selepas menghantar Memorandum 90:10 di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Putrajaya baru-baru ini.

Freddie menyerahkan memorandum itu kepada Menteri KTAK, Datuk Shaziman Abu Mansor diiringi dua ahli jawatankuasa Biro Komposer Karyawan iaitu M. Nasir dan Aznan Alias.

Memorandum itu memohon pertimbangan KTAK menerusi agensi di bawah kementerian itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenakan syarat pelesenan kepada stesen-stesen radio supaya menyiarkan 90 peratus lagu-lagu tempatan dan selebihnya lagu-lagu artis luar negara.

Menurut Freddie, kuota itu sepatutnya dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa di negara ini selain disokong persatuan-persatuan artis di mana ia membabitkan pengaliran wang ke luar negara.

Beliau memberi contoh, banyak lagu terutamanya dari Indonesia yang disiarkan di stesen-stesen radio hingga menyebabkan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) membayar royalti kepada badan Karya Cipta Indonesia (KCI) RM260,000 setahun.

“Sedangkan KCI hanya membayar MACP sebanyak RM14,000 untuk tempoh dua tahun. Ini menunjukkan adanya sekatan siaran lagu-lagu kita di Indonesia. Sebab itu, kita juga perlu ada garis panduan seperti ini untuk menjaga kepentingan artis-artis kita.

“Saya yakin, setiap negara ada peraturan seperti ini contohnya di Australia. Kalau tidak masakan artis mereka seperti Kylie Minogue, Air Supply boleh mencipta nama hingga ke Amerika Syarikat.

“Tanpa adanya sekatan dan peraturan saya rasa mereka juga sukar untuk bersaing dengan artis-artis dari luar Australia,” ujarnya.

Menurut Freddie juga, garis panduan itu antara lain bertujuan menjaga kepentingan ekonomi para artis dan syarikat rakaman tempatan yang terpaksa bersaing dengan album-album luar serta syarikat rakaman bertaraf antarabangsa.

Perkara itu turut disokong oleh M. Nasir yang beranggapan fenomena itu masih belum terlambat untuk dibendung kerana jika tiada tindakan daripada semua pihak, industri hiburan tempatan mungkin akan menerima nasib yang sama seperti di Singapura.

“Kita mungkin sedang menuju ke arah itu. Bagi saya, ia merupakan suatu saat yang agak mencemaskan juga,” kata komposer kelahiran Singapura ini menyuarakan kebimbangannya.

Keadaan itu merujuk kepada industri muzik di Singapura yang sudah lama lumpuh kerana tiada lagi syarikat rakaman yang berminat menerbitkan album Melayu artis-artis tempatan di mana kebanyakan album diimport dari luar negara.

Aznan Alias yang turut serta pada sidang media itu turut menyatakan sudah sampai masanya industri muzik tanah air mengikut jejak langkah Indonesia bagi mengawal kemasukan artis-artis luar ke negara mereka.

Kata bekas anggota kumpulan Saturnine ini, kerajaan dan persatuan-persatuan artis juga patut mengenakan syarat termasuklah soal pemberian permit konsert dan pengedaran album kepada khusus untuk artis-artis dari luar negara.

“Saya sendiri mengalami pengalaman itu ketika saya bersama kumpulan Strangers mengadakan promosi album kami di Indonesia pada tahun 1995. Kami bukan sahaja terpaksa menukar lirik lagu ke dalam bahasa Indonesia tetapi juga disuruh tukar nama.

“Saya misalnya, telah disuruh menggunakan nama Herman jika mahu mempromosikan album saya dan Strangers di sana. Bayangkan, sampai begitu sekali sekatan yang mereka kenakan. Tetapi, artis-artis mereka begitu senang dapat masuk ke negara ini tanpa sebarang sekatan,” jelasnya penuh emosi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan