Halaman

Selasa, September 09, 2008

Kerajaan kaji memorandum Karyawan

petikan Berita Harian 9 September 2008
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


SERAH: Shaziman (tengah) menerima memorandum bantahan persatuan karyawan Malaysia terhadap isu penyiaran lagu-lagu di stesen radio swasta dari Persatuan Karywan Malaysia, Freddie (kanan) sambil diperhatikan M.Nasir di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikas Putrajaya, semalam.

Tindakan stesen radio swasta terlalu bebas siarkan lagu luar mempengaruhi jati diri pendengar

KEMENTERIAN Tenaga, Air dan Komunikasi akan meneliti memorandum berkaitan bantahan terhadap penyiaran lagu asing secara keterlaluan oleh stesen radio swasta yang dikemukakan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya akan membuat pertemuan bersama beberapa lagi kementerian lain termasuklah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dan Kementerian Penerangan dalam meneliti garis panduan yang sedia ada.

Katanya, ketika ini tiada sebarang akta khusus yang mewajibkan stesen radio swasta tidak menyiarkan lagu daripada penyanyi asing melebihi lagu tempatan.

“Ketika ini apa yang ditetapkan dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada stesen radio swasta hanya berkaitan dengan kuota bahasa saja, tetapi tidak membabitkan soal kuota penyiaran antara lagu tempatan dan asing.

“(Bagaimanapun) kalau ada kekurangan kita akan cuba untuk memperbaiki. Dalam jawatankuasa yang menetapkan garis panduan ini ada kementerian lain yang terbabit seperti KPKKW dan Kementerian Penerangan.

“Kita akan mendengar dan membuat perbincangan bagaimana untuk membantu industri tempatan ini. Kita juga hendak mendengar pandangan daripada mereka untuk melihat industri ini dapat berkembang pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas menerima memorandum daripada Karyawan di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Karyawan, Freddie Fernandez. Turut hadir ialah Ketua Biro Komposer persatuan ini, M Nasir dan Aznan Aliyas.

Sebelum ini Karyawan pernah mengemukakan petisyen membabitkan 700 ahli karyawan yang menandatangani satu petisyen agar meminta kerajaan mengenakan kuota dalam nisbah 90:10 iaitu 90 peratus lagu tempatan, manakala 10 peratus lagi penyiaran lagu dari luar.

Tiada kualiti bukan alasan

ALASAN produk tempatan tiada kualiti bukan isu utama yang dikemukakan oleh Karyawan dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Sebaliknya, persatuan ini mengharapkan kerajaan menerusi kementerian ini dapat memandang serius keadaan yang dianggap kritikal dalam industri muzik tanah air hari ini apabila hak keistimewaan penggiat muzik tempatan dicabuli.

Freddie berkata, memorandum bantahan yang diserahkan bertujuan meminta kementerian mengenakan kuota dalam nisbah 90:10 iaitu 90 peratus lagu tempatan, manakala 10 peratus lagi penyiaran lagu dari luar terhadap stesen radio swasta.

Katanya, perkara itu terpaksa dibangkitkan bertujuan untuk memberi peluang kepada penggiat seni tempatan, terutama karyawan muzik disediakan tempat untuk mereka meneruskan survival seni masing-masing.

“Bagaimanapun, masalah ini timbul apabila stesen radio swasta terlalu bebas menyiarkan lagu asing sehingga mempengaruhi jati diri pendengar tempatan untuk terus menyokong mereka tanpa memikirkan kesan buruk kepada industri tanah air.

“Sekiranya tidak disiarkan terlalu kerap sudah tentu pendengar tidak akan terpengaruh dengan lagu mereka yang menganggap produk luar itu lebih berkualiti daripada produk kita,’ katanya.

Menurutnya, persatuan bukan saja mahu segala kegiatan muzik tempatan dilindungi tetapi apa yang penting hak penggiat seni tempatan itu dilihat untuk meningkat semula industri muzik tanah air.

“Pengurangan lagu tempatan di radio tempatan akan membunuh bakat baru. Sikap berat sebelah stesen radio swasta yang memberi fokus terlalu banyak melalui penyiaran lagu luar dengan alasan pemilihan dan penyiaran ini didasari dengan permintaan pendengar langsung tidak boleh diterima.

“Kita tidak mahu negara ini akan menjadi seperti Singapura yang industri muzik mereka sudah berkubur. Saya yakin sekiranya masalah ini tidak diatasi industri kita sedang menuju ke arah yang sama seperti Singapura,” katanya.

Menurut Freddie, sekiranya kuota 90:10 diterima oleh kerajaan, ia menjadikan penggiat seni muzik dapat merasai hasil karya mereka selain dapat memastikan kerjaya dalam bidang ini juga terus berkembang.

“Tetapi dengan kemasukan lagu asing yang terlalu banyak ini, pengeluaran royalti terus disalurkan ke sana tanpa dapat dinikmati oleh penggiat tempatan.

“Negara akan kerugian dari segi pengeluaran royalti sekali gus pengaliran mata wang kita akan terjejas,” katanya yang turut di sokong oleh M Nasir dan Aznan Aliyas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan