Halaman

Sabtu, September 15, 2007

Nostalgia Ramadan Amy Search

petikan Berita Harian 15 September 2007
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Terkenang saat indah ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah

SAAT bulan Syaaban beralih ke Ramadan Khamis lalu yang menyaksikan seluruh umat Islam menunaikan ibadah puasa, hati penyanyi rock popular, Amy Search tiba-tiba saja dilanda syahdu. Artis rock otai yang mencetuskan kegilaan di kalangan peminat hiburan tanah air melalui lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella ini, terkenang detik mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah pada Jun lalu.

Setiap kali merenung ke dalam cermin, pasti kenangan di Tanah Suci itu menerjah kotak fikiran. Serasa mahu saja dia kembali ke sana namun kekangan waktu membataskan hasratnya. Sejak menjejakkan kaki ke Makkah, hatinya terasa lapang. Ingatan pada-Nya juga tidak pernah padam.

Apa lagi di kala ini saat umat Islam sedang menjalankan rukun Islam keempat ini kerinduannya kepada bumi penuh sejarah dan hikmah itu semakin bertambah. Jika rezeki mengizinkan, dia akan menjadikan kunjungan ke Tanah Suci sebagai satu kemestian setiap tahun. Jika ke sana lagi, Amy mahu mengajak peminatnya supaya sama-sama dapat berbuat pahala.

Di bersyukur walaupun usianya hampir meniti setengah abad, akhirnya pintu hatinya dibuka Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya Jun lalu. Pemergian selama dua minggu bersama isterinya Norish meninggalkan seribu kenangan manis buat penyanyi yang masih tebal auranya.
AMY damai di puncak Gua Hira'.

Menurut pemilik nama penuh Suhaimi Abdul Rahman ini, jika diizinkan dia mahu menunaikan umrah setiap tahun. Keseronokannya begitu berbeza walaupun sebelum ini sudah banyak tempat yang dikunjunginya, namun keseronokan dan kegembiraan itu amat berbeza.

"Hati saya sudah lama tergerak untuk ke sana cuma menantikan jemputan-Nya. Akhirnya sampai juga saya ke sana. Semua umat Islam akan sampai ke sana cuma cepat atau lambat saja.

"Sepanjang berada di sana tidak ada sebarang kejadian tak diingini yang menimpa. Cuma sebelum berangkat, kami terpaksa menunggu sehingga 12 jam di lapangan terbang Changi, Singapura kerana masalah teknikal kapal terbang. Saya anggap itu sebagai dugaan kecil, saya tidak bersungut sebaliknya hanya bersabar menanti masa untuk berlepas,� katanya yang kini lebih selesa berimej botak.

Kata penyanyi itu, setelah lebih 25 tahun dalam industri ini, dia sudah puas dengan imej berambut panjang. Selepas tahlul dan mengerjakan tawaf sai Amy terus mengorbankan rambut. Walaupun menggunting tiga helai rambut saja sudah memadai tetapi Amy nekad mengorbankan keseluruhan rambutnya sebagai satu cara untuk mensucikan dosa.

Walaupun tidak ditimpa sebarang kejadian buruk tetapi Amy mengalami satu peristiwa pelik ketika sedang mendaki Gua Hira� iaitu tempat di mana Nabi Muhammad saw menerima wahyu pertama daripada malaikat Jibrail.

Menurut Amy, ketika itu seperti ada suara yang mengalunkan bait lagunya Mentari Di Ufuk Timur yang dicipta M Nasir.

"Pengalaman memanjat Gua Hira' cukup istimewa sepanjang dua minggu saya mengerjakan umrah. Ketika berada di atas gua itu, tiba-tiba lagu saya bermain di telinga seperti ada yang meniup ke telinga saya.

"Kekal Selamanya Cintaku Dengan Cahaya Mu, Kekal Selamanya Dalam Ingatanku. Bila begitu hati saya berkata rupanya Kaulah yang aku cari selama ini. Selama ini saya baca lirik itu tidak pernah mendalam, cuma saya yang terlintas fikirkan lirik itu satu pencarian.

"Apabila sampai di sana barulah saya tahu yang lirik itu untuk Dia. Lalu saya terus menulis pada batu yang terdapat di gua itu tajuk lagu saya dan menurunkan tanda tangan saya di situ," kata Amy yang tidak kisah jika ada yang mempertikaikan keikhlasan hatinya untuk menunaikan umrah.

Bukan saja di kota Makkah, malah ketika berada di Madinah pula dia terdengar ada orang berbisik seakan mempertikaikan sumber wang yang digunakan. Bagi Amy, dia tidak kisah semua itu. Yang penting hasratnya untuk beribadat tercapai malah sepanjang di sana Amy tidak hanya duduk di dalam bilik untuk bersembahyang sebaliknya lebih selesa menunaikan solat di dalam masjid.

Selain dapat menunaikan solat Jumaat dua kali ketika berada di sana, dan sentiasa dapat bersembahyang di saf depan, satu lagi pengalaman menarik apabila dapat memegang dan mencium Hajarul Aswad. Kalau selama ini dia hanya melihat Kaabah melalui gambar, tetapi apabila dapat melihat sendiri di depan mata, sukarnya mengekang air mata.

Dia menangis semahu-mahunya kerana tidak percaya di dalam usianya yang sudah hampir memasuki usia 50 tahun, akhirnya Kaabah berada di depan mata selain kagum dengan kebesaran-Nya.

Ditanya apakah antara doa yang dimohon semasa berada di sana, kata Amy dia meminta agar dosanya selama ini diampunkan. Selain itu, Amy juga tidak lupa mendoakan buat peminatnya agar pintu hatinya mereka dibuka untuk ke Makkah.

"Mereka menyanjung saya selama ini atas kehendak Dia. Saya berkata dalam hati, �Semua ini milik Kau, bagaimana Kau menjempiut aku maka Kau jemputlah mereka dan Kau bukalah pintu rezeki mereka.

"Selain itu, saya juga tidak lupa mendoakan al-Fatihah buat keluarga dan peminat. Saya juga berharap semoga Allah menetapkan iman saya, supaya saya tidak malas lagi untuk bersembahyang," kata Amy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan