Halaman

Isnin, September 10, 2007

Anugerah Era 2007 kurang gemilang

petikan Berita Harian 20 September 2007
Oleh Zulhusni Abd Hamid

Majlis stesen radio nombor satu negara berakhir tanpa persembahan klimaks

MENERUSI barisan penyanyi pilihan yang beraksi di pentas, persembahan Anugerah Era 2007 di Arena Of Stars,Genting Highlands, pada keseluruhannya sekadar menghiburkan yang biasa saja tetapi tidak bolehlah dianggap sebagai sesuatu hebat dan penuh gemilang.

Antara persembahan yang boleh dianggap menghiburkan ialah daripada kumpulan Kristal yang menyanyikan lagu Memburu Impian. Lagu dari soudtrack filem Gila Gila Remaja arahan Hussien Abu Hassan pada tahun 1984 itu digubah semula oleh kumpulan ini untuk dinyanyikan dalam genre rock.

Kemunculan penyanyi asalnya, Kazarudin Saisi atau Kazar berduet dengan vokalis Kristal, Razlan memberikan impak cukup menarik. Sekalipun ia lagu lama, tetapi penerimaan penonton muda sangat baik. Kemunculan pelakon utama filem Gila-Gila Remaja, Faizal Hussien menaiki motosikal Scramble, ikon golongan muda awal tahun 1980-an, satu gimmick yang baik.

Suara Kazar tetap dianggap bertenaga walaupun sudah lama tidak menyanyi dan kini lebih dikenali sebagai pelakon.

Satu lagi persembahan menarik ialah gabungan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy dengan kumpulan Urban Method untuk menyanyikan lagu Wajah Rahsia Hati dengan muzik genre hip hop.

Persembahan Urban Method biasa saja, tetapi yang menjadi perhatian sudah kepada aksi Ogy. Memang betul, dia nampak gedik dan macam mengada-ngada, tetapi itulah Ogy apabila berada di atas pentas kerana memberi aksi yang mencuit hati penonton.

Persembahan Anuar Zain menyanyikan lagu Lelaki Ini memang sangat dinanti-nantikan. Penonton bagaikan histeria dan suasana dalam arena gamat apabila penyanyi muncul di pentas. Tapi hanya permulaan saja. Ketika masuk ‘babak’ pertengahan, persembahan Anuar seperti tidak bermaya dan hambar.

Bagaikan ada yang tidak kena kepada penyanyi ini apabila sebutannya seperti tidak jelas kerana ditenggelami dengan bunyi muzik yang mungkin lebih kuat. Penonton yang awalnya memberi tepukan gemuruh, tetapi penamatnya tiada sorakan gemuruh kepada Anuar.

Tiada apa yang menarik mengenai persembahan Ella. Mujurlah ada Nur Aqidah Abdul Qahar, pemenang peraduan Suara Era Hotlink untuk menyanyikan lagu Rama Rama. Tanpa budak berumur 12 tahun itu, persembahan Ella steretotaip saja. Penonton lebih memberi fokus kepada aksi Nur Aqidah kerana mempunyai suara yang lantang.

Kehadiran Datuk Siti Nurhaliza sekadar penyampai anugerah memang agak menghampakan. Memang janggal dan aneh kerana penonton melihat sudah kelibatnya, dan pasti ramai yang berharap penyanyi itu muncul di pentas menyanyikan satu lagu.

Tanpa M Nasir, Mawi dan kumpulan Spider untuk mengambil hadiah yang dimenanginya menimbulkan tanda tanya kepada penonton, “apa sudah jadi dengan Anugerah Era ‘07?’.

Agak malang kepada kumpulan muzik dari Indonesia, Kerispatih apabila persembahannya seolah-olah tidak dihiraukan oleh penonton.

Bagi penonton, mungkin ada juga yang tertanya-tanya siapa mereka dan kenapa diundang membuat persembahan di anugerah ini. Lebih bagi Era mengundang kumpulan muzik tempatan yang tidak kurang juga hebatnya seperti Spider, Sofaz, Estranged, atau kumpulan muzik veteran sebagai tribute seperti Wings, Search, Lefthanded, Carefree dan Black Dog Bone.

Justeru, penting kepada Era sebagai stesen radio nombor satu negara untuk sama-sama memikul tanggungjawab memberi peluang kepada bakat baru dalam muzik menggilap keupayaan mereka. Ini penting juga supaya Anugerah Era pada depan tidak ketandusan penyanyi dan kumpulan muzik untuk dicalonkan musim seterusnya.

Namun, yang penting Anugerah Era juga menjadi pentas kepada stesen radio ini untuk memperkenalkan atau mempromosikan barisan juruhebah terbarunya, diketuai oleh Kudsia Kahar dan Rostam Said, dan diikuti oleh Linda Onn, Kieran, Nana, Zizie, Reza, AC, Hani dan Jimmy Shanley serta Nadirah Azizan.

Senarai pemenang Anugerah Era 2007:


Artis Harapan Pilihan: Mila
Vokal Wanita Pilihan: Siti Nurhaliza
Vokal Lelaki Pilihan: M Nasir
Persembahan Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan: Jamal Abdillah/Mawi
Band Pilihan: Spider
Lagu Global Pilihan: Nafas Cahaya - Misha Omar
Lagu Nasyid Pilihan: Al-Jannah - Mawi
Lagu Rock Pilihan: Mahakarya Cinta - Faizal OIAM
Lagu Pop Pilihan: Persis Mutiara - Mila
Artis Inggeris Tempatan Pilihan: Point Blanc/Jaclyn Victor
Filem Pilihan: Jangan Pandang Belakang (Metrowealth Movies Production)
Video Muzik Pilihan: Langit Biru - Mawi
Anugerah Seni Era: Alleycats
Anugerah Carta Era: Kenangan Terindah (Samsons)
Anugerah Nada Dering Pilihan Hotlink: Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) - Jinbara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan