Halaman

Khamis, Ogos 31, 2006

Patuhi ideologi sendiri

petikan Harian Metro 31 Ogos 2006
Oleh Rudy Imran Shamsudin

HARI ini, negara meraikan Hari Kemerdekaan Ke-49 tahun. Setiap daripada kita mempunyai persepsi tersendiri terhadap kemerdekaan. Bagi penyanyi dan komposer M Nasir kemerdekaan haruslah diisi dengan segala kebaikan dan perkara penting yang perlu dielakkan ialah tercicir daripada perlumbaan masyarakat dunia.

“Masyarakat kita tidak seharusnya menjadi pengikut sebaliknya perlu mengisi kemerdekaan itu dengan erti sebenar.

“Kita sudah 49 tahun merdeka daripada British namun sebilangan besar daripada kita masih lagi dikuasai ideologi Barat. Berbeza dengan negara yang pernah dijajah Barat, sebaik saja memperoleh kemerdekaan mereka terus merangka dan melangkah jauh sehingga ada antaranya muncul sebagai masyarakat maju selaras perkembangan dunia.

“Seharusnya kemerdekaan ini diisi dengan kemajuan dari segala aspek, paling penting jangan jadi bangsa yang ketinggalan. Perkara pertama yang harus diberikan penekanan orang kita mesti menguasai sains dan teknologi kerana bidang itu kini menjadi agenda utama dunia,” katanya.

Dalam pada itu, kata M Nasir, harus ada keberanian dalam menyertai masyarakat dunia. Perasaan malu atau rendah diri tidak harus ada kerana tuhan menciptakan keupayaan manusia itu sama dan yang membezakannya usaha.

“Sangat penting masyarakat kita harus bersatu malah asasnya dalam menyentuh soal bersatu ini dalam Islam ia sudah diberikan penekanan menerusi saf sewaktu bersolat berjemaah. Ia mesti dijaga dan harus rapat.

“Akhirnya masyarakat di Malaysia harus kreatif dan sentiasa sensitif dengan perubahan masa,” katanya lagi.

Apa yang dinyatakan itu mungkin lahir daripada pengalaman M Nasir sendiri.

Dilahir dan dibesarkan di Singapura, dia merantau ke Malaysia untuk berkarya dan kini M Nasir muncul antara yang terbaik dalam dunia hiburan sehinggakan namanya dikagumi penggiat industri muzik di Indonesia.

Apabila berbicara mengenai pengisian kemerdekaan masyarakat di tanah kelahirannya dalam mengejar kemajuan, jelas M Nasir kemahuan terhadap kesempurnaan hidup di kalangan orang Singapura tinggi.

“Mereka turut akur dan mengikut peraturan ditetapkan kerajaan yang pada dasarnya ia untuk kebaikan mereka sendiri.

“Lebih penting mereka bertegas terhadap rasuah. Bukan ia langsung tidak berlaku namun terlalu kurang kerana mereka tahu korupsi boleh menghancurkan sesebuah bangsa dan itu harus kita di Malaysia renungkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan