Halaman

Khamis, Jun 29, 2006

Selebriti popular kutip dana di lorong Chow Kit

petikan Berita Harian 29 Jun 2006
Oleh Rozdan Mazalan

KALAU hendak berjumpa selebriti popular, datang saja ke Jalan Chow Kit bermula malam ini kerana mereka akan berada di ‘lorong gelap’ itu untuk menjalankan beberapa aktiviti bagi menjayakan kempen mengutip dana Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chow Kit.


Program yang dianjurkan Yayasan Salam dan dinaungi Kementerian Kebajikan itu akan menyaksikan barisan artis membuat persembahan di Wine Room, Asian Heritage Row bermula jam 5 petang hingga 2 pagi. Usaha itu akan berterusan selama enam bulan bagi mencari dana untuk pusat itu.

Antara selebriti terkenal yang bergabung tenaga membantu kempen ini ialah Camelia, DJ Gabriel, Ferhad, Ida Nerina, Izlyn Ramli, M Nasir dan Nora yang dihoskan oleh Yasmin Yusuff.

Perunding Yayasan Salam, Dr Tini Zainudin berkata, PAKK mempunyai 80 kanak-kanak berusia antara empat hingga 18 tahun. Mereka ini adalah anak penagih dadah, kaki mabuk dan pekerja seks yang hidup dalam kemiskinan sekitar Chow Kit.

“Pelbagai acara yang diatur bakal diadakan di sekitar Chow Kit dan selebriti seperti penyanyi dan pelakon ini akan mengadakan persembahan mereka.

“Kami memerlukan dana untuk membayar sewa pusat tiga tingkat ini yang terletak di tengah-tengah Chow Kit sebanyak RM3,800 sebulan. Kami sudah memulakan kutipan dana sejak tiga minggu lalu dan hanya cukup untuk menampung enam bulan saja lagi,” katanya.

Katanya, orang ramai yang hadir dan memberi sumbangan berpeluang mendapatkan pelbagai hadiah menarik seperti tiket penerbangan tajaan Malaysia Airline (MAS), Spa Village (pakej spa bernilai RM1,000), Heritage Row (baucar makan malam) dan Hotel YTL (pakej penginapan).

Menurut Dr Tini, kehidupan kanak-kanak ini terbiar selepas jam lima petang memandangkan pekerjaan ibu bapa mereka yang sentiasa dihuni pelanggan. Mereka ini tidak dapat pulang ke rumah dan terpaksa tidur di kaki lima, gerai kosong dan ada yang menumpang di rumah saudara mereka.

Pusat ini yang ditubuhkan pada 2001 berperanan membantu kanak-kanak yang terbiar di sekitar kawasan Chow Kit bagi diberi perlindungan untuk mengelakkan mereka ini terjebak dengan aktiviti tidak sihat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan