Halaman

Jumaat, Jun 30, 2006

M. Nasir terus mencari Juwita

petikan Utusan Malaysia 30 Jun 2006

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

TIDAK sempat bertentang mata ketika menyusuri jalan raya di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk.DI sebatang jalan raya, di dalam monorel, di hadapan kedai muzik dan di sebuah kelab, mereka sering berselisih tetapi tidak pernah bertentang mata apatah lagi saling berbicara.

Dan sehingga ke akhirnya, mereka tidak bertegur sapa lalu membawa haluan masing-masing.

Begitulah senario misteri antara seorang pemuzik dengan seorang wanita cantik yang dapat dilihat di dalam klip video lagu Juwita (Citra Terindah) dendangan penghibur tersohor M.Nasir.

Jalan cerita itu menjadikan klip video arahan Nizam Rahmat berkonsep santai dan bersahaja. Kata Nizam, apa yang ingin ditonjolkan di dalam video klip itu ialah mood setiap pelakon dan bukannya paparan kejelitaan wanita bernama Juwita.

“Mungkin juga perempuan cantik yang sering berselisih dengan M.Nasir itu bukan Juwita. Sesiapa sahaja boleh menjadi Juwita termasuk wanita lain yang terdapat di dalam klip video ini.

“Sebenarnya, penamat kepada jalan cerita klip video ini terserah kepada penonton untuk membuat penilaian,” kata Nizam yang turut mereka bentuk kulit album terbaru M.Nasir, Sang Pencinta.

Menurut Nizam, konsep santai menjadi pilihan kerana dia tidak mahu para pelakon terkongkong dengan watak asal masing-masing.

“Sebenarnya M.Nasir dan ‘Juwita’ tidak berlakon. Apa yang saya inginkan, mereka bebas melakukan apa sahaja seperti yang berlaku di dalam kehidupan seharian.

“Dari awal saya sudah menjelaskan agar tidak terikat dengan lakonan kerana sebahagian besar penggambaran dilakukan di tengah kesibukan Jalan Bukit Bintang,” tambah Nizam yang baru menyiapkan dua klip video lagu bintang realiti TV paling popular, Mawi iaitu Sirah Rabiulawal dan Sesungguhnya.

Berkongsi cerita tentang perancangan klip video lagu Juwita (Citra Terindah), kata Nizam, ia dilakukan sebulan sebelum penggambaran bermula.

Selepas mendapat persetujuan M. Nasir, perbincangan dilakukan bersama Warner Music untuk mencari siapa yang sesuai jadi Juwita.

Seramai 40 wanita disenaraikan sebagai Juwita, kata Nizam. Tetapi akhirnya mereka memilih model dan pelakon drama, Rozita Che Wan selepas melihat gambarnya di dalam majalah URTV.

Jelas Nizam, penampilan matang dramatis yang semakin popular itu dirasakan sesuai dengan karakter Juwita.

Meninjau suasana di lokasi, seawal pukul 8.00 pagi sudah kelihatan krew-krew dan wakil Warner Music berkumpul di Hotel JW Marriot, Bukit Bintang.

Penggambaran berjalan lancar apabila Nizam Rahmat menggunakan dua kamera berasingan untuk mendapatkan shot menarik.

Apa yang pasti, M. Nasir tetap menjadi perhatian ramai ketika menyusuri Jalan Bukit Bintang yang terkenal dengan kesesakan orang ramai itu.

Walaupun penggambaran dilakukan di bawah terik cahaya matahari, bintang tersohor ini cukup komited dan profesional dengan setiap arahan yang diberikan pengarah.

Sesekali dia membalas senyuman peminat dan sempat berjabat tangan dengan mereka. Malah ada yang turut mengambil peluang bergambar bersamanya.

Ketika berhenti rehat seketika, sifu yang muncul dengan album baru itu sejak dua bulan lepas berkata, dia menyerahkan kepercayaan kepada Nizam untuk menentukan idea dan konsep klip videonya itu.

Namun perbincangan diadakan bersama dan dia ternyata senang dengan cadangan pengarah berbakat besar itu.

“Saya yakin dengan kebolehan Nizam dan membiarkan dia menggunakan kreativitinya untuk klip video ini. Klip video memang lebih bersahaja dan santai. Ia diperindahkan dengan pelbagai mood yang dilalui dalam kehidupan seharian.

“Klip video ini tidak semestinya sama dengan lirik lagu tetapi lebih kepada ilustrasi sahaja. Ia lebih menggambarkan mood seharian.

“Dalam klip ini saya tidak terkongkong dengan plot cerita tertentu, sebaliknya bebas melakukan apa yang saya suka,” kata M. Nasir yang ditemani isteri tercinta, Marlia Musa.

Menjadi pelakon wanita dalam klip video penyanyi terkenal seperti M.Nasir bagaikan mimpi kepada dramatis, Rozita Che Wan.

Lantas Rozita, 32, tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu yang dianggapnya memberi pengalaman baru kepadanya kerana itulah pertama kali dia terlibat dengan pembikinan klip video.

Walaupun sudah berlakon berbelas drama, pelakon yang sedang muncul dalam drama Marikas di TV3 itu, tetap berdebar menantikan hari penggambaran klip video Juwita.

Kata dramatis kelahiran Alor Star, Kedah ini, pertama kali bertentang mata dengan penghibur yang masih menjadi kegilaan ramai wanita itu, mulutnya kelu untuk berkata-kata.

“Saya memang teruja untuk berjumpa M.Nasir,” kata Rozita yang masih solo.

Kesan terujanya, Rozita tiba awal di lokasi penggambaran klip video itu sebelum pukul 8.00 pagi.

Mengenali Rozita, pelakon cantik ini memang ramah dan terbuka untuk bercerita tentang apa sahaja tentang karier lakonannya.

Namun apabila ditanya kisah peribadinya seperti tersiar dalam URTV yang mengatakan dia pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Zamarul Hisham sehingga menimbulkan perasaan cemburu kepada pelakon Diana Rafar, Rozita hanya ketawa kecil.

“Saya tidak mahu dianggap mencari publisiti murahan,” kata Rozita sambil tersenyum penuh makna.


Tambahan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan