Halaman

Sabtu, Februari 25, 2006

Pesanan M Nasir & Sofia

petikan Bintang Popular 25 Februari 2006
Oleh Zubir Mohd Yunus | Gambar Zaharin Hayon


SOFIA Jane - namanya masih segar di hati peminat hinggalah ke hari ini. Sekalipun Sofia amat jarang berlakon filem atau drama, lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga, namun apabila sesekali dia muncul di layar perak, lakonannya cukup berbekas di sanubari penonton.

Sebagai pembuka tirai 2006, Sofia kembali ke layar perak membintangi Susuk. Sekejap berlakon, sekejap tidak. Adakah Sofia benar-benar serius dalam lakonan? "Saya hanya berlakon dengan team yang memahami keadaan diri saya yang kini bergelar isteri dan ibu.

Saya tak boleh lagi pergi shooting 45 hari, sekali gus. Susuk tidak menuntut waktu penggambaran yang panjang, saya hanya memegang watak sampingan, jadi saya masih punya waktu untuk keluarga.

"Lagipun saya suka cerita seram. Dah lama saya tunggu skrip yang bagus dalam genre seram. Watak saya sebagai Mona, seorang penyanyi yang terlalu taksub untuk mengekalkan kecantikannya. Dia rela berbuat apa saja untuk jadi cantik dan terjebak dengan susuk.

"Jadi, antara Puteri Gunung Ledang (PGL) dan Susuk, watak saya amat berbeza, perlu ada inovatif. Betul, saya jarang berlakon filem, tapi apabila saya keluar bekerja, perlu ada perubahan. Saya harus memastikan kerja saya mantap kerana tidak mahu penonton kecewa. Seperkara lagi, kita perlu ikhlas," ujar Sofia berterus-terang.

Bagaimana perasaan Sofia apabila dinobat Artis Paling Popular 1993?

"Tak terlintas langsung waktu itu untuk menang. Apabila diumumkan dan melihat jumlah undian peminat, saya tersentak. Ya Allah! Rupa-rupanya ramai yang menyokong kerjaya aku selama ini. Dari situ, timbul rasa syukur dan mahu lebih berkualiti," katanya.

Perbezaan Artis Paling Popular dulu dan sekarang?

"Banyak perbezaannya.Saya masih ingat, ketika menerima trofi Artis Paling Popular 1993, saya hanya mengenakan sepasang kebaya biasa, tapi hari ini finalis ABPBH sudah mampu bergaya dengan gaun malam yang ditaja pereka fesyen terkenal, ditambah dengan kemewahan barang kemas.

"Zaman saya dulu mana ada hadiah kereta. Sekarang baik Bintang Paling Popular mahupun Pembaca Berita Harian akan membawa pulang Kia Optima berharga ratusan ribu ringgit!

"Artis zaman ini lebih bertuah dan mereka harus menghargai usaha pihak yang menganjurkan ABPBH terutama Berita Harian," kata Sofia. Bagi M Nasir pula, album terbarunya akan menemui peminat, April ini selepas lima tahun tidak muncul dengan sebarang album. Namun nama M Nasir tetap gah di persada seni muzik tanah air. Rahsianya?

"Saya sekadar berkarya, tapi karya itu yang melekat di hati peminat. Dalam industri ini, saya bukan sekadar bekerja, tapi pesona yang kita cipta akan membuatkan orang ingat selalu. Pesona pula perlu kejujuran, selain mencerminkan identiti yang menarik," kata Nasir yang menerapkan unsur muzik ska dengan elemen rock dan motown menerusi album terbarunya kelak.

Antara lagu yang bakal dimuatkan menerusi album berkenaan ialah Oh Juwita, Dari Sini Ke Eternity, Dalam Lambaian Firdaus, Balada Seorang Teman dan Bahtera Raudah.

Pernah dijulang sebagai Artis Paling Popular 1994, apa pula komen Nasir?

"Dulu, penampilan artis agak berat, sekarang lebih simple dan ada hubung kait dengan kualiti. Tapi, ia berubah mengikut peredaran zaman.

Namun, alunan gelombang yang kena pada masa itu, menepati cita rasa peminat, artis berkenaan akan dijulang. Bagaimanapun, disiplin mesti kena ada untuk bertahan," kata Nasir yang enggan mengulas mengenai kedudukannya dalam Akademi Fantasia 4 (AF4) yang akan melanda peminatnya dalam sedikit masa lagi.

INFO M NASIR

1. M Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamed, berasal dari Bukit Panjang, Singapura. Dilahirkan pada 4 Julai 1957.

2. Mendapat pendidikan seni dari Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.

3. Bergelar penyanyi, penulis lirik, pelakon, komposer, pengarah filem, pengacara, pelukis dan bekas pengetua Akademi Fantasia 3 (AF3), selain pemilik syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn Bhd.

4. Selepas kematian isterinya, Junaidah, M Nasir berkahwin dengan Marlia Musa pada 31 Ogos 2000 yang juga pelakon, pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan bekas tenaga pengajar AF3.

5. Anak-anak M Nasir ialah Mohamed Ilham, Mohamed Yasin, Mohamed Hidayat, Mohamed Syafie, Nur Nilam Sari dan Suci Musalmah.

6. Kali terakhir M Nasir muncul dengan album baru ialah pada 2001 menerusi Phoenix Bangkit dan kini selepas lima tahun, dia akan kembali bersama album terbaru yang akan menemui peminat sekitar April ini. M Nasir juga baru menjayakan persembahan Sunday Nite Live yang hebat di Planet Hollywood, KL.

7. M Nasir memegang watak sebagai Hang Tuah menerusi filem tempatan termahal, Puteri Gunung Ledang (PGL), di sisi Datin Seri Tiara Jacquelina.

8. Dia pernah dinobatkan sebagai Artis Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Bintang Popular pada 1994.

INFO SOFEA JANE

1. Sofia Jane Hisham dilahirkan di England, London pada 14 Februari 1972, namun dibesarkan di Kuala Lumpur.

2. Berdarah campuran Inggeris-Melayu, Sofia adalah anak sulung dari tiga beradik. Sofia menamatkan persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

3. Mula berlakon iklan TV ketika berusia 13 tahun. Antara iklan paling awal yang dijayakannya ialah Johnson & Johnson, Salem dan Palmolive.

4. Drama pertama lakonan Sofia ialah 20 Tahun Berbeza ketika dia berusia 18 tahun. Namun, drama Rees & Ina adalah antara drama kegemarannya hingga kini. Manakala filem pertamanya ialah Mira Idora dan filem pertama Sofia memegang watak utama ialah Harry Boy yang mencetuskan kontroversi.

5. Filem hebat lain lakonan Sofia ialah Kekasih Awal & Akhir, Cinta Kita, Perempuan, Isteri dan... dan filem terakhirnya ialah Puteri Gunung Ledang (PGL) pada 2003 memegang watak Tun Teja. Menerusi PGL, Sofia berlakon di sisi M Nasir sebagai Hang Tuah.

6. Terbaru, Sofia berlakon filem Susuk terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) arahan Amir Muhammad. Pelakon lain ialah Ida Nerina, Aleeza Kassim dan Diana Rafar.

7. Sofia mendirikan rumah tangga bersama Meor Azman pada 9 September 1995. Mereka dikurniakan tiga puteri. Arissa, 10; Khadija, 6 dan Soraya, 2.

8. Pernah dinobatkan sebagai Artis Paling Popular (kini Bintang Paling Popular) pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 1993.

Lokasi: Head of State Suite, Hotel Palace of the Golden Horses, Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor (03-8943 2333) | Terima kasih: Pengurus Perhubungan Awam, Farah Halim | Solekan & dandanan: Rose Suci (012-902 1217) | Pakaian & aksesori Sofia: Noor Arfa Batek Sdn Bhd | Terima kasih: Shabri Saad (019-299 3809) | Pakaian M Nasir: Tom Abang Saufi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan