Halaman

Ahad, Februari 19, 2006

“Lagu terbaik atau melodi terbaik?” – Loloq

petikan Utusan Malaysia 19 Februari 2006

Apakah yang dikatakan lagu terbaik atau lagu yang baik? Apakah hanya semata-mata kerana melodinya indah, suara penyanyinya merdu atau kombinasi melodi, nyanyian dan lirik yang baik?

Dalam masyarakat kita, kalau diminta senarai keutamaan bagi menghasilkan sebuah lagu yang baik, lirik pasti berada pada kedudukan yang terakhir. Lirik secara umumnya hanya kata-kata untuk dinyanyikan.

Kerana itu kedudukan penulis lirik dilihat tidak begitu penting berbanding pencipta lagu dan penyanyi. Orang jarang mempersoalkan kualiti lirik kerana mereka hanya memberi perhatian kepada melodi dan kemerduan nyanyian si penyanyi.

Menyanyilah lirik apa sekalipun, belum ada yang mempertikaikan kerana bagi sebahagian besar daripada pendengar lirik hanya kata-kata. Bagi mereka lirik bukanlah seni kata.

Lirik dalam erti kata yang lebih luas adalah salah satu genre sastera yang menuntut kehalusan seni penciptaan dan ketinggian makna di dalamnya. Lirik bukanlah frasa selapis yang sama dengan mesej dalam telegram.

Apabila lagu Gemilang yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor menjuarai Juara Lagu ke-20 (AJL 20) baru-baru ini, ada yang mempertikaikan mutu penulisan lirik lagu ini. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kelemahan lirik ditenggelamkan oleh melodi dan dipilih sebagai juara AJL 20.

Bagaimanapun banyak penulis lirik enggan memberi komen tentang kemenangan Gemilang. Mereka mengam-

bil jalan selamat untuk memendam dengan harapan panel juri dan penganjur menyedari kesilapan ini.

Bagaimanapun penulis lirik, Loloq memilih untuk berterus terang. Loloq tidak sampai hati untuk meruntuhkan satu tamadun penghayatan seni khususnya seni muzik apabila menabalkan lagu yang liriknya tidak mantap di segi bahasa dan estetika.

“Kalau tanya penulis lirik yang hebat dan berpengalaman, mereka mesti kata lirik Gemilang tidak mencapai piawaian. Soalnya kenapa lagu itu menjadi juara?” tegas Loloq yang bersedia menerima kritikan kerana lirik lagu ciptaannya Aduh Saliha nyanyian Mawi dan Awan Terpilu nyanyian Ning Baizura turut bertanding.

“Ini bukan kerana lagu yang menggunakan lirik saya kalah. Itu tak menjadi hal. Kita melihat satu skop yang luas bahawa lagu yang baik mesti lirik juga baik selain dinyanyikan oleh penyanyi yang baik,” ujar Loloq.

Menurut Loloq, sekiranya panel juri menyedari berlaku kesilapan yang tidak disengajakan, umumkan saja kesilapan itu.

Lagu Gemilang dicipta oleh Aubrey Suwito dan lirik oleh Asmin Mudin.

Kata Loloq, ini adalah kali terakhir dia memperjuangkan bahasa Melayu dalam lirik lagu. Dia sebenarnya sudah “letih” dan mengharapkan seni penulisan lirik memberi satu martabat kepada ketinggian bahasa Melayu.

Ketika ditanya, apakah antara ciri lirik yang baik, kata Loloq, “Lirik yang merintis zaman, mendahului zaman.”

Secara berseloroh Loloq berkata, kalau panel juri mengetepikan kualiti lirik dalam pemilihan lagu terbaik, tahun depan tukar menjadi anugerah “melodi terbaik” bukan “lagu terbaik”.

Loloq yang telah menulis lebih 600 lirik hairan apabila ada sesetengah pihak melabelkan lirik Gemilang sebagai patriotik.

“Dia orang tahu ke apa yang dicakap?” tanya Loloq kembali serius. Baginya kalau lirik tidak diberi penekanan sebagai faktor penentu lagu yang baik, jangan bercakap lagi soal tamadun, soal bangsa dan soal ketinggian bahasa Melayu.

“Orang mesti kata, ala lagu Aduh Saliha kalah, mulalah dia melenting. Tak apa, saya tak kisah kerana teguran terbuka ini untuk kepentingan banyak dan jangka panjang,” tegas Loloq lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan