Halaman

Isnin, Mei 23, 2005

Juri kecewa - Konsert Prelude AF3 cacamarba

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
petikan Utusan Malaysia

PERASAAN gementar yang keterlaluan dan salah pilih lagu adalah di antara faktor utama yang menyebabkan calon-calon pelajar Akademi Fantasia Musim Ke-3 gagal memberikan persembahan terbaik sewaktu Konsert Prelude Akademi Fantasia Musim Ke-3 (AF3) yang berlangsung di Studio 1, Astro, malam kelmarin.

Paling mengecewakan kerana mereka telah menghampakan para juri yang sebelum ini telah pun menonton persembahan mereka pada majlis sidang akbar pengenalan 20 calon pelajar pada 17 Mei lalu di sebuah hotel ternama.

Pada majlis itu, para calon diberi kesempatan mendendangkan sebahagian daripada lagu kegemaran mereka.

Penampilan mereka waktu itu benar-benar memukau juri yang hadir ketika itu iaitu Pengetua Akademi Fantasia 3, M.Nasir, Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz dan Ketua Pegawai Operasi, Maestro Talent and Management Sdn. Bhd., Freddie Fernandez.

Menurut M.Nasir, dia sedikit kecewa kerana apa yang diharap tidak kesampaian.

``Saya sudah melihat nyanyian mereka pada majlis sidang akhbar itu dan saya jangka mereka akan memberikan yang lebih baik daripada itu. Malangnya malam ini jadi cacamarba. Tidak boleh nak salahkan mereka sebab mereka berada di dua situasi berbeza.

``Malam ini saya yakin mereka dihimpit perasaan tertekan kerana persembahan mereka dinilai. Lagipun ini adalah pertama kali mereka mengadakan persembahan untuk dinilai,'' ulasnya.

Menyentuh mengenai pemilihan lagu para calon, M. Nasir berkata kebanyakan daripada mereka menyanyikan lagu kesukaan sendiri dan bukan lagu yang sesuai untuk pertandingan.

Malah penyanyi dan komposer itu juga tidak menyalahkan para peserta kerana mereka tidak arif dengan soal pemilihan lagu yang sesuai untuk pertandingan .

Justeru, sebagai petua kata M. Nasir, sesiapa yang ingin menyertai pertandingan nyanyian mintalah pandangan orang yang lebih berpengalaman.

Selain silap pilih lagu, penampilan di pentas juga diambil kira. Katanya, calon mesti bijak menyembunyikan perasaan gementar.

``Kita sudah lama dalam bidang ini, kita tahu siapa yang gementar dan tidak. Perasaan ini memang tidak boleh dielak, kena pandai-pandai sendiri mengatasinya,'' katanya lagi.

Mengulas mengenai persembahan pula, M. Nasir menjelaskan ada di antara peserta yang masih terikut dengan gaya ikon mereka. Apa yang dicari oleh para juri ialah satu persembahan yang baru dan segar mengikut corak sendiri.

Selain itu persembahan peserta mestilah berjaya membuat hati juri dan penonton teruja kerana ia merupakan sebahagian daripada pakej tersebut.

Turut sama menilai persembahan peserta pada malam Konsert Prelude itu ialah Guru Nada Suara Akademi Fantasia, Siti Hajar Ismail dan Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian, Airtime Radio and Management Sdn. Bhd, Kudsia Kahar.

Pelajar-pelajar yang terpilih akan mendaftar di Akademi pada 29 Mei ini yang terletak di The Lake Homes Bungalow, The Mines South Lake, Mines Resort City, Selangor.

Tempoh pembelajaran di Akademi ialah 10 minggu dan para pelajar tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar pada tempoh tersebut.

Mereka akan mengadakan konsert minggu pertama pada 4 Jun ini yang akan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, 8.30 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan