Halaman

Rabu, Julai 07, 2004

Tiara & M. Nasir - Impian dan harapan dalam PGL

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
petikan Utusan Malaysia 6 Julai 2004

Tiara Jacquelina bukan perempuan biasa. Di dadanya ada impian, di bahunya tergalas harapan. Besar sekali cita-cita si pemilik tubuh kecil ini apabila bercakap soal cintanya kepada dunia filem tempatan, khususnya filem Melayu.

Sanggup melalui berbagai rintangan, semata-mata mahu memberikan satu hasil yang pasti mampu membuatkan kita tersenyum bangga dengan filem tempatan.

Filem Puteri Gunung Ledang (PGL) lahir daripada keinginannya untuk melihat anjakan paradigma dalam filem Malaysia dan seterusnya mampu membuka mata dunia luar.

``Puteri Gunung Ledang bertolak daripada rasa malu saya bila menghadiri banyak festival luar negara,'' kata Tiara membuka bicara tentang filem yang bakal dinilai penonton tempatan penghujung Ogos ini.

Menyambung bicaranya, Tiara menjelaskan, ``Negara-negara lain daripada dunia ketiga sekalipun boleh memberikan karya filem yang hebat, tetapi tidak ada filem seperti ini yang mewakili Malaysia.

``Kerana rasa itu, timbul azam dalam diri saya untuk menerbitkan sendiri sebuah filem yang mampu memberi kebanggaan kepada orang Malaysia,'' katanya.

Memang bercakap tentang filem, Tiara akan sentiasa bersemangat besar seperti mana besarnya jumlah wang yang telah dilabur kepada pembikinan filem arahan Saw Teong Hin ini.

Mungkin jiwa lakonan yang sudah sebati dalam dirinya menjadikan Tiara tidak berkira mengeluarkan bajet sehingga RM15 juta dan menjemput `kawan main' yang bukan calang-calang dari Indonesia seperti Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Alex Komang.

``Dalam diri saya ada kemahuan yang besar untuk melihat filem tempatan `gah' dan bersinar di rantau orang.

``Saya mahu tunjuk kepada dunia luar tentang kehebatan kuasa bangsa Melayu zaman dahulu kala dan setelah melihat hasilnya, saya sangat berpuas hati dengan pelaburan yang telah dibuat.

``Generasi hari ini akan dibawa ke zaman kesultanan Melaka yang cukup gemilang suatu ketika dahulu,'' katanya lagi dengan senyuman tidak lekang di bibir.

Filem berbentuk period movie ini akan mengangkat keunikan dan kehalusan dunia Melayu dengan menjadikan kegemilangan empayar kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 sebagai latar utama.

Sejujurnya sebagai peneraju utama, apatah lagi judul filem itu sendiri menjurus kepada watak yang dipegangnya, bukan mudah untuk Tiara mempersiapkan diri muncul sebagai Puteri Gunung Ledang.

Selama dua tahun, Tiara mendedahkan semangat dan jiwa puteri Majapahit itu dalam dirinya.

``Saya sudah jadi puteri Jawa, bukan Tiara lagi. Hampir dua tahun saya membawa karakter itu, walaupun di luar waktu penggambaran, hanya kerana mahu benar-benar menghayati watak sebagai puteri,'' katanya lagi.

Lalu, apa lagi yang mahu dikatakan oleh Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1995 ini?

``Ini adalah masterpiece saya dalam lakonan,'' tegas Tiara berkali-kali yang merasakan tidak mungkin dia mampu melakukan aksi-aksi dalam filem ini untuk sekali lagi selepas ini.

Ini kerana, ``Belasan tahun dalam lakonan, inilah pertama kali saya merasakan kepuasan di tahap maksimum.

``Saya sudah memberikan yang terbaik dan mampu saya lakukan. Saya berharap agar orang lain juga berbangga sama seperti saya kerana ini filem Malaysia, bukan filem luar,'' katanya yang juga mempelajari tarian Jawa, belajar menunggang kuda, yoga dan silat untuk PGL.

Bercakap tentang filem Puteri Gunung Ledang tentu tidak lengkap tanpa pendukung watak Hang Tuah.

Semua orang sudah tahu Hang Tuah versi terbaru dan tentu ramai yang tidak sabar-sabar lagi untuk melihat M. Nasir dibuai alam cinta sekali lagi.

Filem ini menyaksikan buat pertama kali gandingan M. Nasir dengan Tiara.

``PGL bukan bercerita tentang Hang Tuah. Tetapi Hang Tuah adalah satu daripada perkara penting dalam hidup Puteri Gunung Ledang,'' kata Nasir yang semakin teruja untuk melihat sambutan peminat terhadap filem terbarunya itu.

Bagi Nasir, Hang Tuah adalah lelaki hebat yang melambangkan jati diri lelaki Melayu itu sendiri.

Membawakan watak sebagai panglima Melayu terbilang itu, kata Nasir, sudah tentu banyak percanggahan yang berlaku.

Lelaki yang masih memberi pesona di usia memasuki hujung 40-an tahun ini, turut bersedia kalau-kalau ada di kalangan orang Melayu sendiri kurang senang dengan beberapa interpretasi baru yang diberikan terhadap watak berkenaan.

``Memang ada timbul masalah dalam memahami watak, tetapi rujukan saya adalah pada skrip dan lakon layar filem ini sendiri.

``Banyak orang kata Hang Tuah perangainya begitu, begini tetapi tidak ada sesuatu yang tetap.

``Jadi saya kena lakonkan Hang Tuah ikut skrip yang telah diberikan dan sebagai pelakon, saya perlu percaya kepada lakon layar. Dalam soal ini saya rasa tidak jadi masalah sebab P. Ramlee pun jadi Hang Tuah yang wataknya telah digarap oleh pengarah India,'' kata ahli bintang Cancer yang baru menyambut ulang tahun ke-47, dua hari lepas.

Manisnya, Nasir juga diberi kepercayaan untuk mewarnai latar filem ini dengan muzik-muzik cukup indah hasil ilham terbarunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan