Halaman

Ahad, Januari 18, 2004

Nasir unggul

petikan Berita Harian 18 Januari 2004
Oleh Meor Riduwan Ahmad

KOMPOSER terkenal M Nasir terus unggul apabila meraih anugerah bagi kategori Pencipta Terunggul dalam Anugerah MACP 2004 yang diadakan di hotel terkemuka di ibu kota, malam kelmarin.

Bagi M Nasir anugerah anjuran Persatuan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik itu cukup bermakna kepadanya yang mempercayai bahawa karyawan seni tanah air sememangnya boleh bergantung kepada pertubuhan seperti MACP.

Saya adalah antara komposer terawal yang menganggotai MACP, sedangkan pada awal langkah saya itu ada segelintir karyawan bagaikan tidak mempercayai kredibiliti MACP.

Syukur kerana kepercayaan saya terbukti benar dan inilah hasilnya yang saya perolehi. Sebagai ahli MACP saya turut memantau penyiaran dan penerbitan lagu saya di seluruh negara,katanya.

M Nasir yang baru muncul dengan album kompilasi Mentera Semerah Padi berkata pada masa sama dia beruntung kerana MACP sentiasa menjalankan tanggungjawab kepada ahli.

MACP juga memantau bagi pihak karyawan, namun saya tak nafikan masih ada karyawan yang tidak dapat dikesan.

Saya berpandangan bahawa tidak semestinya seseorang komposer itu menulis lirik atau mencipta lagu dalam volume yang banyak. Yang lebih penting biarlah lagu yang kita cipta itu disukai dan dapat diterima pendengar.

Ini lebih bermakna kerana tanpa pendengar yang juga pembeli apa ertinya lagu yang saya ciptakan,katanya.

Sementara itu sesudah sekian mencipta kejayaan dalam bidang nyanyian, Siti Nurhaliza melangkah setapak lagi dalam bidang seni apabila meraih anugerah Pencipta Muda Berpotensi.

Siti yang anggun dengan pakaian serba hitam sama sekali tidak menyangka menerima anugerah anjuran Music Authors Copyright Protection ) itu.

Siti yang kebetulan menyambut hari lahirnya yang ke-25, semalam, berkata kehadirannya di majlis itu sekadar memenuhi jemputan pengurusan MACP yang mahukan beliau membuat persembahan khas bagi meraikan komposer dan penulis lirik veteran, Kassim Masdor, 66.

Biarpun saya dah banyak menerima anugerah, namun anugerah dari MACP ini sesuatu yang membuatkan saya terharu kerana kategorinya jelas berlainan berbanding yang saya perolehi selama ini.

Pihak MACP tidak pula memberitahu saya akan menerima sesuatu, sebaliknya mereka mahu saya buat persembahan suprise untuk Kassim Masdor.

Rupanya mereka juga mempunyai kejutan untuk saya iaitu anugerah ini. Walhal hakikatnya tumpuan saya pada untuk persembahan saja dan memang terkejut dengan pengumuman ini,katanya.

Menurut Siti, selama ini peminat cuma mengenai dan menghargainya menerusi lagu ciptaan komposer terkenal yang dinyanyikannya. Namun pada kali ini dia memperoleh anugerah berdasarkan daya usahanya sendiri.

Sudah tentu saya bangga dan bersyukur kerana segala yang saya usahakan tidak sia-sia. Tidak dapat tidak anugerah ini satu motivasi yang mendorong saya untuk lebih aktif menulis lirik lagu. Saya juga berpegang kepada prinsip yakin pada diri dan setia yang kita lakukan ada balasannya.

Daripada hanya suka-suka menulis lirik, kejayaan ini sudah tentunya memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lirik lagu sama ada untuk saya atau penyanyi lain.

Malah siapa tahu, satu masa kelak menulis lirik lagu akan jadi salah satu cabang kerjaya saya,katanya yang mencipta lirik lagu antaranya Percayalah dan Bukan Cinta Biasa.

Populariti kedua-dua lagu ini ternyata meletakkan Siti antara bakat baru yang harus diberi perhatian. Tahun lalu anugerah Pencipta Muda Berpotensi (yang diberikan untuk pencipta di bawah 25 tahun) menjadi milik salah seorang anggota kumpulan Exits iaitu Azhrul B Nasir atau nama popularnya Along.

Kassim yang didatangkan khas dari Singapura menerima Anugerah Nadi Cipta oleh panel penilai MACP di atas sumbangan dan jasanya kepada industri muzik yang diceburi sejak era 50an.

Malam Anugerah MACP 2004 itu yang dihoskan Bob Lokman turut diserikan persembahan Salamiah Hassan, Abot, Anuar Zain, S Amin Shahab, Azmeer, Is Wow, Lan Laga dan Khir Rahman.

Anuar Zain menyampaikan lagu Sesucinya Cintamu manakala Salamiah Hassan mendendangkan secara medley lagu Gelombang, Surat Terakhir, Pelangi Petang, dan Bahtera Merdeka, Superstar, If You Go Away, I Feel The Earth Move dan lagu baru Tinggal Kenangan.

Abot(Penantian Puteri), S Amin Shahab dan Khir Rahman(Jika Aku Bukan Aku). Tiga lagu yang dicipta ketika bengkel Cinta Ekspress MACP 2003 di Port Dickson, September lalu turut didendangkan

Bob Lokman yang juga pengantara rancangan Telebriti begitu hebat mengacarakan majlis dan sesekali membuat jenaka spontan yang menerima tepukan gemuruh hadirin.

1: Nadi Cipta
Kassim Masdor

2: Pencipta Terunggul
Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)

3: Penulis Lirik Terunggul
Rosli Khamis (Loloq)

4: Penerbit Terunggul
EMI Music Publishing
Malaysia Sdn Bhd

5: Penerbit Tempatan Terunggul
Suwah Music Publishing Sdn Bhd

6: Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi
Lang Hua Yi Duo Duo (Richie Ren) Michael Wong & Ah Niu) ciptaan Ah Niu

7: Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak
Around The World (La La La) (ATC) ciptaan Zhukov Sergej, Alex Joerg Chrisrensen, Peter Koenemann & Alexej Potechin

8: Lagu Melayu Persembahan Terbanyak
Intifada (Rabanni) ciptaan KRU dan B Nuri

9: Lagu Cina Persembahan Terbanyak
Ta Yi Ding Hen Ai Ni (A-Do) ciptaan Lee Chee Cheng

10 : Lagu Inggeris Tempatan Persembahan Terbanyak
Weekender (Reefa) ciptaan Audi Mok, Reefa, Moots & Ronin

11 : Pencipta Muda Berpotensi
Siti Nurhaliza Tarudin & Lee Chee Cheng

12 : Syarikat Pengurusan Acara Terbaik
Nexus Event Managment Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan