Halaman

Rabu, Januari 30, 2002

APM 2002 - `Pertemuan muzik' tiga negara

petikan Utusan Malaysia 30 Januari 2002

Oleh ROSLI MANAH
Anugerah Planet Muzik 2002 (APM 2002) yang mempertandingkan kemampuan bakat penyanyi Malaysia, Indonesia dan Singapura mampu dijadikan tempat pertemuan untuk perkembangan muzik.

Apatah lagi penyanyi-penyanyi popular tiga negara tersebut turut dikenali di negara-negara lain apabila lagu mereka turut mendapat tempat.

Ia juga membuka ruang kepada penyanyi-penyanyi sesebuah negara untuk mencuri perhatian peminat di negara jiran.

Penyanyi tempatan, Siti Nurhaliza yang memenangi dua anugerah iaitu Penyanyi Wanita Terbaik dan Penyanyi Wanita Paling Popular berkata, anugerah tersebut membolehkan dia berkenalan dengan insan seni negara luar.

Malah kesempatan itu digunakan oleh Siti Nurhaliza untuk berbincang dengan penyanyi lagu puisi popular Indonesia, Ebiet G. Ade mengenai kemungkinan dia menyanyikan lagu ciptaan Ebiet.

``Saya ada nyatakan minat untuk menyanyikan lagu ciptaan Ebiet namun ini hanya satu perbincangan biasa,'' kata Siti semasa ditemui selepas kemenangan di Singapura.

APM 2002 diadakan di Ekspo Singapura di Changi dan mempertandingkan penyanyi popular tiga negara termasuk, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, M.Nasir, Kris Dayanti, Harvey Malaiholo, Titi DJ, Sheila On 7, Padi, Ajai dan Nurul, Yassin, Ari Lasso, Sheila Majid, Erra Fazira, Ferhad, Hetty Sarlene dan banyak lagi.

Lagu Dayang Nurfaizah, Seandainya Masih Ada Cinta pula ternyata dapat mencuri hati peminat Singapura dan Indonesia selain peminat negara ini apabila memenangi kategori Lagu Paling Popular.

``Saya harap pemilihan lagu tersebut sebagai lagu paling popular dapat membantu saya mencipta nama di luar negara,'' kata Dayang.

Pemilihan lagu paling popular berdasarkan undi peminat di tiga negara menerusi borang yang di sediakan di majalah hiburan di tiga negara.

M. Nasir pula menganggap kemenangannya dan juga penyanyi lain sebagai satu hadiah galakan atas usaha yang dilakukan oleh mereka.

``Semasa menghasilkannya saya merasa sedikit bimbang mengenai penerimaan dan nampaknya ia kini telah diterima,'' kata M. Nasir.

Dia memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Terbaik, Penyanyi Lelaki Paling Popular dan Album Terbaik menerusi album Phoenix Bangkit.

Kris Dayanti yang memenangi kategori Lagu Terbaik menerusi lagu duet bersama suaminya Anang, Makin Aku Cinta berkata, penganjurannya sebagai mengiktiraf kerja seni.

``Tentunya saya akan menghasilkan lagu yang lebih baik pada masa akan datang,'' kata Kris lagi.

Ebiet G. Ade pula berkata, pemilihannya menerima Anugerah Khas APM 2002 sebagai pengiktirafan kepada lagu-lagu puisi.

``Saya harap akan hadir pengkarya lagu-lagu puisi dari kalangan anak muda,'' katanya yang turut menyanyikan lagu Kamelia pada majlis itu.

Dia tidak mahu menjadi penggiat tunggal lagu-lagu puisi sebaliknya mahu melihat ia dihasilkan oleh lebih banyak orang.

``Lagu puisi mempunyai kelainan yang nyata dengan lagu-lagu pop dari barat dan ia cukup baik untuk menggambarkan masyarakat sebelah sini,'' katanya.

APM 2002 dibawakan oleh MediaCorp menerusi radio saluran Warna dan Ria dan turut disokong oleh beberapa pihak di Malaysia dan Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan