Halaman

Selasa, Disember 07, 1999

M. Nasir juara antara juara

petikan Utusan Malaysia 7 Disember 1999

GAYA juara..M Nasir menyanyi-kan lagu Andalusia.
Kejayaan lagu Andalusia ciptaan M. Nasir sebagai Juara Lagu '99 akan menonjolkan sebuah lagi karya bermutu yang tersorok di sebalik lagu-lagu popular yang nipis nilai seninya.

Juara Lagu '99 yang mempunyai prestij tersendiri dalam industri hiburan tempatan akan menjadi jentera terbaik untuk membawa ciptaan bermutu ke tengah masyarakat selain lagu-lagu yang memenuhi selera remaja.

Kejayaan kali ini mencatatkan M. Nasir sebagai pencipta yang menjuarai tiga kali dari 14 kali Juara Lagu diwujudkan pada 1986. Kali pertama menerusi Tanya Sama Hud Hud (1994) dan kali kedua Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Andalusia yang liriknya ditulis oleh Loloq tidak begitu popular kerana ia berkisar tentang sebuah negara, Andalusia (kini Sepanyol) yang hilang selepas era kegemilangan empayar Islam.

Lagu itu yang dinyanyikan sendiri oleh M. Nasir membawa semangat perjuangan tentang sejarah silam yang menjulang nama kerajaan Islam.

''Saya seorang pencinta yang setia bukannya pejuang,'' jelas M. Nasir mengenai lagu ciptaannya yang turut mengondol juara kategori pop rock itu.

Sekalipun Andalusia yang bercerita tentang perjuangan namun M. Nasir menganggap lagu itu sebagai manifestasi jiwanya yang lembut.

Sememangnya Andalusia terkeluar daripada arus perdana remaja masa kini dan tidak hairanlah kalau lagu tersebut tidak diletakkan dalam kategori popular.

Juara Lagu '99 yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) malam kelmarin mengemukakan pencipta-pencipta hebat menerusi kategori irama Malaysia, pop rock dan balada.

Selain M. Nasir, antara yang disebut-sebut menjuarai pertandingan ini ialah Suhaimi Mohd Zain menerusi lagu Dondang Dendang nyanyian Noraniza Idris dan Hati Kama (Siti Nurhaliza dan Noraniza).

Namun bagi M. Nasir dengan percubaannya menyelitkan irama rancak yang diadun dengan unsur muzik Arab dalam Andalusia memberi keunikan pada lagu ini.

Ini bukanlah kali pertama percubaan M. Nasir untuk keluar daripada arus perdana muzik tempatan kerana sebelum ini dia pernah mengadunkan beberapa muzik etnik negara ini menerusi Tanya Sama Hud Hud.

Mengenai kemenangan ini, M Nasir menganggap sebagai rezeki anak-anak yang banyak memberi ilham dan kekuatan kepadanya untuk melahirkan karya-karya yang baik.

''Saya juga dedikasikan lagu ini kepada arwah isteri saya,'' kata M. Nasir.

Kemenangan dalam pertandingan itu melayakkan M. Nasir menerima hadiah wang tunai RM37,000, trofi dan sijil penghargaan.

Namun kemenangan kali ini cukup bermakna kepada M. Nasir kerana saingan daripada komposer lain cukup sengit.

''Saya hanya berharap untuk muncul sebagai juara kategori pop rock sahaja tetapi tidak disangka-sangka menang juara keseluruhan.'' jelasnya.

Tetapi bagi M. Nasir, tujuan dia mencipta lagu bukan untuk dipertandingkan sebaliknya sebagai menifestasi seni dengan gaya tersendiri.

''Saya cipta muzik untuk seni dan diketengahkan supaya diterima oleh pendengar. Saya bersyukur kerana dalam banyak rentak muzik yang diketengahkan, irama saya turut mendapat pengiktirafan,'' jelasnya.

Kemenangan Andalusia juga telah mengembalikan Juara Lagu kepada lagu bernada pop setelah dua tahun berturut-turut dimonopoli oleh irama Malaysia menerusi Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir) dan Cindai (Suhaimi Mohd Zain).

M. Nasir juga mengucapkan tahniah kepada penyanyi Jamal Abdillah yang menyanyikan lagu Samrah Mentari ciptaan Suhaimi yang disifatkannya telah memberikan persembahan terbaik.

Bagaimanapun lagu Samrah Mentari tidak memenangi sebarang anugerah dalam pertandi-ngan ini.

Sementara itu pemenang kategori irama Malaysia, Shuhaimi Mohd. Zain tidak menyangka memperoleh kemenangan melalui lagu Hati Kama.

''Saya lebih menaruh harapan kepada lagu Samrah Mentari nyanyian Jamal Abdillah untuk menang,'' jelasnya pada sidang akhbar selepas pertandingan itu.

Menurut Suhaimi, lagu Hati Kama menjuarai kategori irama Malaysia, dia merasakan tidak ada harapan untuk bersaing dengan lagu Andalusia yang sudah diumumkan sebagai juara pop rock.

''Pada saya, Samrah Mentari adalah saingan terdekat lagu, Andalusia. Apabila lagu Hati Kama yang diumumkan, awal-awal lagi saya sudah jangka Juara Lagu '99 kali ini bukan lagi milik saya,'' jelasnya.

Noraniza yang memenangi kategori Persembahan Terbaik menganggap persiapannya untuk menyanyikan lagu Dondang Dendang memberikan hasil yang membanggakan.

Persembahan yang berciri kesenian tradisi dengan iringan penari-penari dari Badan Kesenian Negeri Johor ini turut menampilkan irama rodat yang menjadi kebanggaan masyarakat di Terengganu.

Lagu lain yang turut bertanding di Juara Lagu '99 ialah Istimewa (KRU), Satu Cinta Dua Jiwa (Azlan Abu Hassan/Ishak Ahmad), Jendela Hati (Fauzi Marzuki/Habsah Hassan), Hanya Satu (Johan Nawawi), Syurga Di Hati Kita (Ly/Baiduri) dan Aku tetap Aku (Lan Laga/Amran Omar) dan Dondang Mustika (Siso).

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan