Halaman

Khamis, Disember 09, 1999

Getaran: Loloq dan dunia kata-kata

petikan Utusan Malaysia 9 Disember 1999

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
KEJAYAAN lagu Andalusia ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Loloq di Juara Lagu' 99 barangkali boleh dijadikan landasan untuk mengubah tradisi lirik-lirik lagu Melayu. Tanggapan terhadap lirik sebagai himpunan suku kata perlu diperbetulkan dan diletakkan pada landasan yang sewajarnya.

Andalusia antara kelangsungan Loloq untuk keluar daripada lingkungan yang membendung tradisi lirik lagu Melayu.

Ketika sebahagian besar lirik lagu Melayu berkisah tentang kekecewaan dan hidup yang tidak bercahaya, Loloq menghantar Andalusia jauh daripada lingkungan alam remaja.

Andalusia menjejak mimpi-mimpi silam era kegemilangan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Loloq menerusi lirik ini ternyata cukup terharu dengan hilangnya sebuah kegemilangan yang dicatatkan sebagai ''biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar, cahayamu sediakala.''

Lirik Andalusia adalah kelangsungan Loloq yang memperkayakan tradisi lirik lagu dengan pengaruh kesusasteraan serta perubahan sosial.

Kerana percaya lirik tidak seharusnya kering dan beku, Loloq menghantar suara seorang anak dalam Bonda nyanyian M Nasir.

Pemilihan kata-kata Loloq kelihatan begitu lembut. Tetapi sarat dengan kekaguman pada kesabaran seorang ibu. Ini pasti turut dirasakan kepada siapa kerana pengalaman menghirup kasih dinikmati oleh semua orang. Di tangan Loloq, Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan pengorbanan besar seorang manusia bergelar ibu.

Ada orang kata, lirik lagu Melayu harus sama dengan filem Melayu. Ia mesti mudah difahami dan tidak memperkatakan isu yang di luar keluh-kesah remaja. Ini antara teori untuk menulis lirik yang popular.

Lirik lagu Melayu selalunya sarat dengan keluhan, hiba dan mengenang nasib malang ditinggalkan teman kerana harta atau wajah yang tidak seberapa.

Peranan lirik dalam lagu pula semacam tidak lebih untuk memberi peluang kepada penyanyi mengalunkan suaranya. Tetapi tidak ambil kisah sangat tentang isi dan nilai-nilai artistik pada frasa dan atur kata-katanya.

Kerana itu asalkan ada kata-kata dan suku katanya menepati rentak, liriklah namanya. Menyanyilah si penyanyi kata-kata berbasa-basi, pengulangan kisah kecewa yang puluhan tahun lalu dipaparkan dan tidak banyak yang berani untuk keluar dari lingkungan ini.

Kalangan karyawan kita terlalu prejudis terhadap khalayak seni. Kata mereka, khalayak tidak faham filem atau lirik yang berseni.

Keadaan yang tempang ini wajar berubah dan dibuat perubahan. Lirik perlu diberi dinamisme baru seperti yang diusahakan oleh Loloq.

Andalusia hanya sebuah daripada lebih 800 lirik lain ciptaan Loloq. Dia bukan sahaja penulis lirik yang paling produktif malah berani melontarkan pemikiran yang kelihatan sedikit radikal.

Sememangnya Loloq kelihatan serasa dengan lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Malah mereka kelihatan senama dalam industri muzik tempatan. Tentulah ini disebabkan oleh wujudnya interaksi pemikiran antara satu dengan lain.

Tetapi jangan lupa, lirik ciptaan Loloq juga ada yang kelihatan ''main-main''. Sebenarnya Loloq sengaja memilih stail yang agak ringan tetapi maknanya tetap tentang isu yang serius.

Kemampuan Loloq tentunya luar biasa apabila menghasilkan lirik lagu Ngam Ho, Kepala Sotong atau Sup Selipar. Liriknya sedap didengar, meriangkan tetapi tetap pedih maknanya. Loloq juga kelihatan begitu romantis dalam lirik Layar Impian nyanyian Ella atau Biru Mata Hitamku oleh Wings.

Selebihnya Loloq kelihatan sedikit garang dalam Mentera Semerah Padi, Apokalip dan Bikin Wilayah.

Mentera Semerah Padi mengingatkan saya kepada lagu Blowin' In The Rain yang liriknya ditulis oleh penyanyi Bob Dylan para era generasi rock dekad 60-an. Kelahiran Bob Dylan sebagai penyanyi lagu rakyat moden Amerika Syarikat boleh dilihat sebagai cetusan lirik-lirik yang bermutu.

Biarpun dikenali sebagai penyanyi rock tetapi Bob Dylan tidak lupa kepada nilai sebuah lirik dan lagu yang baik. Sama seperti kecenderungan Bob Dylan atau Paul Simon yang melontarkan kekuatan pada liriknya, Loloq percaya bahawa lirik itu sebahagian ukuran lagu yang baik. Dia sentiasa mencari ketepatan pada susunan kata-katanya.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan