petikan Harian Metro 12 Mei 2025
Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my
M NASIR pada Konsert Malam Rindu Bayangan di Hotel Grand Barakah, Ampang. FOTO Asyraf HamzahKuala Lumpur: Penyanyi terkenal Datuk M Nasir mencipta kejutan apabila tampil beraksi dalam Konsert Malam Rindu Bayangan yang berlangsung di Hotel Grand Barakah Ampang, di sini, malam tadi.
Penyanyi bergelar sifu itu menyanyikan lagu popularnya Raikan Cinta sekali gus menggamatkan suasana konsert anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini.
Kehadiran M Nasir sebenarnya bertujuan menyokong konsert penghargaan bagi mengenang jasa dan sumbangan sahabat baiknya, Allahyarham Jay Jay dalam industri seni tanah air.
Menurutnya, dia terpanggil untuk menyanyi sebagai menghargai dan mengingati sahabat baiknya yang mula dikenali sejak 45 tahun dulu.
"Masa itu saya mula menyanyi. Saya tak ada duit, comot. Saya pergi menonton konsert Carefree. Tiada yang kenal saya waktu itu.
"Saya bersama kawan-kawan saya. Di atas bukit itu ada pokok. Di atas pokok itu kita boleh menonton pementasan malam itu. Itulah pertemuan saya dengan Jay Jay.
"45 tahun dahulu. Tapi tiba-tiba dia bermain dengan saya. Dia bermain bass dengan saya, merakam album dengan saya dan mewakili sebahagian hidup saya," katanya disambut tepukan bergemuruh peminat.
Sementara itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez melahirkan keterujaan apabila M Nasir menyatakan hasrat untuk beraksi.
"M Nasir bukan dibayar, dia beli meja lagi untuk datang. Memang kita jemput dia. Pada awalnya dia kata dia tengah buat persediaan untuk pergi haji.
"Jadi kita okey. Tiba-tiba Datin Marlia hubungi tanya bolehkah mereka beli meja. Saya cakap okeylah, boleh lah.
"Sebenarnya meja dah tak ada lagi, jadi kita tambah lagi satu meja dekat depan itu. Lepas itu dia siap menyanyi lagi pasal sayangkan Jay Jay," katanya.
Malam Rindu Bayangan menampilkan artis Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Jeffrydin, Jatt Black Dog Bone, Tam Spider serta barisan asal kumpulan Carefree.
Karyawan turut memberikan sumbangan buat waris artis antaranya untuk Hairie KOOL yang kehilangan ibunya, Allahyarham Sophia Ibrahim yang meninggal dunia baru-baru ini.
Turut menerima sumbangan ialah Sazali P Ramlee, pelakon Iqbal Mazlan, penyanyi veteran Mariam Ahmad, penyanyi Zaiton Sameon dan balu Allahyarham Jay Jay iaitu Zaitoon Wahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan