Halaman

Sabtu, November 02, 2024

Apa pandangan M Nasir terhadap ikon rock Amy Search, Awie, Hattan dan Ella?

petikan Berita Harian  2 November 2024

Oleh Fatin Farhana Ariffin - fatin.farhana@bh.com.my

M Nasir ketika ditemuramah Zainal dalam sesi podcast ZRA yang disiarkan di TikTok ZRA Strim dan Facebook (FB) sejak semalam. Foto FB ZRA Strim

KUALA LUMPUR: Datuk M Nasir berpendapat industri muzik tempatan memiliki ramai penyanyi bagus, namun, belum cukup versatil berdasarkan pemerhatian sejak mula berkecimpung dalam dunia seni lebih empat dekad lalu.

Maestro muzik yang mula aktif sejak 1979 itu memuji beberapa penyanyi seperti Datuk Amy Search, Datuk Awie, Datuk Hattan dan Ella yang disifatkan mempunyai kualiti suara baik dan tersendiri.

"Penyanyi yang bagus banyak, tetapi mungkin tidak versatil. Dalam hidup saya sebagai penerbit, saya dapati, nasib saya adalah kepada penyanyi yang 'off' sedikit. Dia tidak sempurna. Kebanyakan penyanyi yang saya buat (terbabit dalam proses rakaman) tidak sempurna.

"Tetapi mereka ada bakat yang menjadikan mereka lain daripada lain, namun, ada kekurangan. Amy misalnya ada ekspresi rock yang saya mahukan, pada waktu puncaknya. Dia ada 'range' dan 'tone' suara yang cantik untuk muzik sebegitu.

"Sama juga Awie, 'tone' dia lain tapi mereka berdua ada persamaan. Awie ada suara macam seorang pejuang tapi berjiwa romantis.

"Hattan ada 'tone' yang sesuai dengan lagu yang dibuat. Hattan ada kemahiran menyanyi, dia tersendiri... Tiada orang suara macam Hattan," katanya dipetik daripada sesi podcast bersama Zainal Rashid Ahmad (ZRA) yang disiarkan di TikTok ZRA Strim dan Facebook (FB) sejak semalam.

M Nasir juga menyifatkan Ella mempunyai keunikan yang sukar dicari.

"Ella senang cakap dia tersendiri. Dia ada satu pakej yang susah hendak diulangi oleh mana-mana penyanyi di dunia Melayu ini. Dalam istilah muzik, suara dia 'potong' muzik itu.

"Anehnya, awak tengok penyanyi-penyanyi hebat ini, awak tidak berapa suka dengar dia bercakap. Suara dia bercakap, tidak sedap. Suara dia menyanyi, sedap," katanya.

Bagaimanapun, M Nasir atau nama penuh, Mohamad Nasir Mohamed, 67, mengakui beliau belum bertemu penyanyi yang sama seperti dirinya.

"Mengenai berbakat, banyak penyanyi yang saya jumpa tetapi soal ada visi untuk jadi macam saya, saya tidak rasa saya jumpa.

"Saya susah hendak katakan saya sudah jumpa. Ini kerana saya fikir, pasal perbezaan masa dan cabaran dunia hari ini menjadikan pemikiran mereka lain. Tetapi sesetengah ada yang hampir," katanya.

Dalam temubual yang sama, M Nasir berkongsi bukan mudah baginya menangani kemasyhuran di mana setiap hari beliau berlawan dengan fikiran dek enggan kemasyhuran merosakkan diri.

"Itu yang saya fikir tiap-tiap hari. Tiap-tiap hari saya fikir untuk jangan layan benda ini. Tetapi saya faham mengenai 'marketing'. Jadi, kalau bercerita mengenai penghibur Barat dan bagaimana kemasyhuran sudah merosakkan mereka dan ramai juga yang sudah melepasi 'benda' itu serta dia boleh kawal dengan fokus kepada jiwa murni.

"Jiwa murni bermaksud kita kena kena faham segala-galanya bukan kita yang buat. Kita tahu benda ini hanyalah permainan. Kemasyhuran adalah permainan sahaja. Tetapi ada orang pandai menggunakan, pandai mengawasi dan pandai mengeksplotasinya. Jadi, bergantung apa kehendak dia dalam dunia ini.

"Kalau ia tak mengganggu ego, okay. Apa engkau hendak buat, buatlah. Tetapi kalau ia mengganggu ego, makin merancakkan engkau punya ego dan kelakuan engkau adalah kemunafikan," katanya.

Memulakan bicara, M Nasir berkongsi bagaimana beliau berhasrat menjadi pelukis yang berjaya, namun, siapa sangka, pembabitannya dalam penerbitan album bahasa Melayu kumpulan Alleycats yang pertama, membuka laluan yang luas buatnya dalam dunia muzik.

"Saya berbual dengan kawan yang juga seorang pelakon. Dia bertanya mengenai rahsia kejayaan sebab dia belum sampai ke tempat yang dia mahu. Ada masanya dia berhenti dan balik kampung sebab putus asa. Sekarang dia kembali tetapi lebih banyak sebagai penulis.

"Dia katakan, dalam industri hiburan ini, lebih banyak nasib daripada kemahiran atau bakat kita. Saya katakan memang iya... Itu sebahagian dalam dunia hiburan ini. Nasib main peranan cukup besar mungkin lebih daripada 50 peratus.

"Saya mula dalam karier ini seperti iya atau tidak. Saya bermula dengan membantu kumpulan Alleycats dalam rakaman nyanyi lagu Melayu sebab mereka bukan orang Melayu dan saya bantu," katanya.

Dalam membantu, M Nasir yang berusia 20 tahun ketika itu, menyanyi dan menunjukkan cara sebutan istilah Bahasa Melayu betul.

"Itu kerja pertama saya dalam dunia rakaman ini. Padahal, mula-mula saya hendak cipta lagu dan saya sudah cadangkan pada insan yang bertanggungjawab buat album Alleycats, iaitu penerbit, Wan Ibrahim Wan Embong... Beliaulah penerbit album pertama Alleycats.

"Saya cadangkan untuk buat lirik dan jual kepada syarikat rakaman. Tidak lama kemudian, Wan Ibrahim dapat tugas terbitkan album Alleycats. Beliau hendak saya bantu siapkan dan saya tulis semua seni kata dalam album pertama itu.

"Album itu terjual lebih 40,000 dan jumlah itu pada ketika itu, boleh dianggap suatu fenomena.

Ketika itu, saya tidak tahu macam mana semua itu terjadi. Namun, ketika itu, orang belum tahu saya penulis lagu. Orang kenal saya sebagai pelakon radio.

"Kemudian saya buat lagu dan senikata Kenangan Lalu untuk Flybaits dan lagu itu pula menjadi hit.

" Jadi, kalau orang tanya macam saya masuk dalam bidang ini dan macam mana hendak bagi nasihat, saya tidak tahu. Ketika itu, saya mahu jadi pelukis yang berjaya tetapi saya tersadung ke dalam dunia muzik," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan