petikan Harian Metro 13 Oktober 2023
Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kemunculan pemain gitar kumpulan Search, Kid mengiringi persembahan Datuk M Nasir dalam Konsert Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi. FOTO Ihsan Bangsawan Pictures
Kuala Lumpur: Kemunculan pemain gitar kumpulan Search, Kid mengiringi persembahan Datuk M Nasir dalam Konsert Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam ini mendapat tepukan bergemuruh daripada 8,000 penonton yang hadir.
Kid atau Hamzah Mohd Taib ditampilkan menerusi lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella yang menaikkan nama Search kepada peminat industri muzik tanah air.
Dia turut beraksi menerusi lagu Tiara yang dipopularkan oleh kumpulan Kris. Petikan gitar Kid yang hebat dan bertenaga ternyata memukau semua yang hadir sehingga memberikan tepukan berterusan terhadap persembahannya.
Malah diakhir persembahan, M Nasir menghampiri Kid, menggenggam tangan dan kemudiannya memeluk Kid sambil mengiringinya ke bahagian belakang pentas.
"Kid...Kid...Kid," katanya menujukan penghargaan kepada anak didiknya ini dengan tepukan gemuruh penonton yang hadir tidak henti-henti.
Sementara itu M Nasir turut cemerlang apabila menampilkan persembahan menghiburkan menerusi Konsert Cipta 2 ini.
Penyanyi berusia 67 tahun ini menyanyikan lebih 30 lagu termasuk lagu-lagu ciptaannya untuk artis lain seperti Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Alleycats, Cinta Dewa Dewi (Spide) dan Peronda Jaket Biru (Wings).
Selain menyanyi, dia juga menghiburkan penonton dengan dialognya yang spontan dan bersahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan