Halaman

Ahad, Oktober 13, 2024

Konsert Cipta 2, M. Nasir tabur ‘duit raya’ RM10,000 dari bumbung stadium

petikan Kosmo! 13 Oktober 2024

Oleh MOHD. HAIKAL ISA

M. Nasir membuat kejutan menaburkan RM10,000 'duit raya' kepada penonton pada penghujung konsert Cipta 2 malam tadi.

KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda tanah air, Datuk M. Nasir membuat kejutan pada konsert M N45IR Cipta 2 apabila menerbangkan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000 dari bumbung stadium kepada penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Penganjur konsert iaitu Iman Tang mewakili Icon Entertainment memaklumkan, lagu penutup Satu Hari Di Hari Raya dipilih kerana karya tersebut umpamanya seperti antem kebangsaan yang bukan sahaja dinyanyikan pada hari raya Aidilfitri.

“Kita sediakan dalam 10 ribu sampul duit raya, setiap daripadanya diisi dengan duit kertas baharu bernilai seringgit.

“Lagu hit Suatu Hari di Hari Raya itu sudah seperti lagu kebangsaan yang saya fikir perlu dibawakan walaupun kita bukan berada di bukan hari raya. Apa salahnya.

“Ada nota juga di sampul itu duit mengingatkan duit seringgit yang diberikan besar nilainya pada 45 tahun yang lalu,” katanya.

Menyambut baik idea penganjur, M. Nasir, 67, berasakan apa yang dilakukan pihaknya dan penganjur adalah peluang baik untuk berkongsi rezeki kepada penonton yang hadir.

“Selalunya benda seperti ini saya anggap kelakar sahaja. Tapi di sebalik kelakar, ada makna yang mendalam dari segi persembahan.

“Apa yang dijayakan (malam tadi) juga menunjukkan sikap pemurah dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri penganjur walaupun seringgit,” jelasnya.

Mengulas pemilihan lagu Suatu Hari di Hari Raya sebagai penutup, M. Nasir mahu menghadiahkan lagi tersebut kepada mereka yang berada di negara bergolak.

“Sebenarnya saya mahu relevankan lagu itu dalam konsert yang bukan hari raya.

“Istilah ‘Hari Raya’ selalu kita gunakan menggambarkan kegembiraan dan kemenangan. Jadi, saya mahu nyanyikan lagu itu kepada mereka yang terkesan peperangan dan penindasan,” jelasnya.

Pada konsert malam tadi, M. Nasir menyanyikan 32 lagu popularnya dari pelbagai genre muzik di hadapan lebih 8,000 penonton.

Antara selebriti tempatan yang hadir memberikan sokongan adalah kumpulan Wings, Spider, Lah Ahmad, Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy dan ramai lagi.

Para pemuzik serta penonton lengkap berpakaian denim biru dan warna putih sebagai tema untuk busana kali ini. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan