petikan FreeMalaysiaToday 15 Oktober 2024
oleh Ronasina
Sabtu lepas saya ke konsert Cipta 2: M Nasir selepas menonton Cipta 1 pada 10 Ogos lalu. Gila betul! Bayangkan seorang penyanyi membuat konsert berskala besar dua kali dalam tempoh dua bulan, di tempat sama dan tiketnya habis dijual. Apa lagi kita mahu cakap tentang M Nasir? Apa bukti nak kita minta lagi ketika usia beliau sudah menjangkau 67? Sama sebaya dengan Malaya merdeka, tau? Apa barang dia pakai sampai stadium penuh sesak? Tangkal apa dia guna? Ilmu pengasih apa dia calit pada kita?
Pertama kali saya menonton konsert solo M Nasir ialah sewaktu berusia 19 tahun. Ia berlangsung hanya di dalam sebuah dewan bersaiz sederhana di Wisma MCA, Ampang. Waktu itu saya baru tahun pertama sebagai guru pelatih di sebuah maktab perguruan di Kuala Lumpur.
Ketika masih kanak-kanak saya pernah menonton di TV di mana M Nasir bersama kumpulan Kembara menyanyikan lagu Empat Penjuru dengan mukanya berconteng. Lagu tersebut mengisahkan tentang kekesalan ‘mat dadah’ yang berada di dalam penjara. Imej muka berconteng tersebut cukup melekat di dalam kepala saya.
Lain macam dia ni, kata saya waktu itu. Dan kemudian saya menonton filem lakonannya Kembara Seniman Jalanan (arahan Nasir Jani – 1986). Masa itu kita sudah tahu lagu-lagu ciptaan M Nasir yang sudah meletup daripada kumpulan Flybaits, Alleycats sehinggalah masuk zaman rock seperti kumpulan Search, Wings, BPR dan Bloodshed. Kemudian M Nasir secara solo kembali meletup dengan lagu Mustika, sebuah lagu irama nusantara di saat rock yang dia juga terlibat cetuskan itu meledak. Irama nusantaranya berjaya mencelah masuk antara kehangatan muzik rock dan pop sehingga menjadi fenomena.
Jadi, untuk menonton konsert solo pertama M Nasir itu yang dinamakan ‘konsert Gong Impian 1992’ meragukan saya sedikit kerana yang kerap dimomokkan di media hiburan waktu itu ialah M Nasir ini unik, pendiam dan misteri. Saya tertanya-tanya apa akan jadi pada konsert itu nanti? Mesti beku dan kaku. Dia kan jenis nyanyi terpacak macam tiang elektrik! Mesti tak macam konsert Search dan Wings yang kerap saya pergi di Stadium Negara. Bising, penonton penuh, aksi band lincah dan ligat. Konsert M Nasir? Ah! Tak apalah! Layan sajalah.
Rupanya telahan saya meleset. Saya teruja gila apabila dibawa ke dimensi lain sebuah konsert. Pertama kali saya menonton sebuah konsert yang persembahan pembukaannya diangkat dengan bacaan puisi oleh penyair Abdul Ghafar Ibrahim (Agi) dan Pyanhabib. Ini cukup menginspirasikan saya sehingga tidak langsung saya berasa letih dan risau pulang berjalan seorang diri ke asrama maktab dari Ampang pada waktu tengah malam. Semangat konsert telah membuat saya menjadi berani. Imej-imej dari konsert bermain di dalam kepala sepanjang saya berjalan menuju Bandar Tun Razak membuatkan saya lupa dengan salakan anjing atau ancaman penyamun.
Pada zaman itu kawan-kawan saya tahu saya peminat tegar M Nasir malah saya dijuluki dengan nama M Nasir juga sebab kata mereka ‘tone’ suara saya, ekspresi muram saya, termenung saya, malah tandatangan saya pun macam M Nasir. Saya sendiri keliru waktu itu di manakah diri saya sendiri. Ternyata hidup saya telah diselubungi M Nasir. Kena rasukkah saya? Atau kena guna-guna? Ha! Ha! Ha!
Kemudian siri demi siri konsert M Nasir saya hadir. Konsert Canggung di Stadium Negara pada 1994 yang penuh, konsert Akar Manifestasi Akustika di Dewan Merdeka PWTC 1996, konsert Andalusia di Stadium Merdeka pada 1999 dan seterusnya…lagi dan lagi sehinggalah konsert Cipta 2 minggu lalu.
Tak terbayang saya apabila mengingatkan yang lagu Mentera Semerah Padi sudah berusia 30 tahun. Ia tak sama apabila teringat waktu Tingkatan 5, kawan saya memasuki pertandingan nyanyian di sekolah membawakan lagu pop yeh-yeh yang pada 1990 lagu tersebut sudah 30 tahun juga. Terasa benar lagu tersebut ‘veteran’ tetapi Mentera Semerah Padi masih dimainkan malah hari ini masih cukup popular di sekolah apabila budak-budak buat persembahan silat di atas pentas.
Konsert ‘Cipta M N45IR’ tahun ini dengan angka 45 menggantikan huruf A dan S pada namanya itu juga mewakili seniman angkatan zamannya dan peminat yang mengikutinya. Terus unggul selama 45 tahun bukan senang. Bukan calang-calang apatah lagi untuk menyanyi di sebuah konsert besar. Peminat seusia kami yang dah ‘5 series’ ini pun bukan senang mahu turun pergi. Sibuk ke masjid kalaupun tidak jenuh mengepung cucu. Lagipun, 24 jam kemudian mesti ada yang akan muat naik di YouTube. Tengok situ sajalah!
Tapi saya hadir sejak dari zaman tengok jauh-jauh tanpa ada layar lebar sehinggalah hari ini yang siap ada skrin LED di dinding pentas dengan imej-imej visual grafik berteknologi tinggi.
Saya mungkin berpandangan kolot atau ‘eksyen’ dengan zaman 30 tahun lalu dan merasakan visual grafik LED ini hanya sedap dari segi kecanggihannya sahaja tetapi ia tidak cukup menyokong kuat sebuah persembahan terutama persembahan M Nasir. Adakalanya montaj-montaj ini janggal dan entah apa-apa yang saya rasa pada sesetengah lagu tak payah ada pun tak apalah sebab tak membantu langsung. Bagi sayalah!
Saya masih terbayang muka berconteng M Nasir di kaca TV dengan lagu Empat Penjuru itu. Bayang-bayang orang sebenar bersilat di balik layar kain putih besar ketika konsert Canggung 1994 masih saya ingat selain segerombolan pasukan silat membawa bendera berbagai warna serta gimik dua kanak-kanak (anak M Nasir) bermain pedang di atas pentas sebelum berlari ke belakang pentas. Pada konsert Akar, saya masih terbayang prop kepala lembu berwarna emas dibawa naik ke pentas ketika lagu Keroncong Nostradamus dinyanyikan. Saya kesurupan.
Tetapi itu cerita dulu. Untuk dulu, biarlah berlalu. Seperti kata M Nasir tempoh hari selepas menyanyikan lagu hit malar segarnya Kenangan Lalu (Flybaits). ‘Kenangan dah berlalu. Lupakanlah lagu itu.’ Dan semua penonton ketawa. Barangkali beliau mengajak kita ‘move on’ kot? Ini dah zaman LED, semuanya di skrin sahaja – apa perlu susah-payah?
Apa-apahal, terima kasih M Nasir kerana pernah menyelubungi hidup saya. Untuk saya, tiada apa lagi bukti yang saya mahu tengok. Sudah terlalu cukup dalil untuk Datuk menjadi ikon abad ini. Persoalannya apa tangkal ‘dia’ pakai sehingga turut juga digilai oleh anak muda, korporat, profesional dan marhaen?
Sebenarnya M Nasir bukan setakat menyanyi tetapi keterlibatan beliau dalam filem, teater, catan dan lukisan serta tulisannya yang mengandungi nilai sastera tinggi itulah ramuan penyedapnya. Penguasaan dalam bidang tersebut adalah resipi setiap kali beliau buat persembahan. Ia bukan dibuat-buat. Ia adalah adunan sebati dan semula jadi lalu kesedapan pun automatik jadi sendiri. Ini difahami oleh pemuzik-pemuziknya dan sebab itulah pemuzik-pemuzik di belakangnya terus kekal bersama sejak dulu hingga kini.
Beliau ada ‘barang’. Itulah barang yang beliau pakai. Jika tanya saya apa tangkal M Nasir, saya akan jawab tangkal azimatnya bernama ‘gemala sakti’. Tak semua orang ada. Gemala sakti itulah yang harus kita cari, kenal dan hayati.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan