petikan Harian Metro 19 Oktober 2024
Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my
BARISAN lagu yang dinyanyikan berjaya mengundang nostalgia dikalangan peminat.HUJAN lebat Sabtu lalu dari petang membawa ke malam langsung tidak melunturkan semangat penonton untuk membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Dato M N45ir Cipta 2.
Melihat kesungguhan mereka, sudah dapat diagak detik menarik pasti tercipta menerusi konsert kesinambungan dari Konsert Cipta yang berlangsung di lokasi sama pada 10 Ogos lalu.
Apa yang dijangkakan akhirnya tercipta apabila figura terkenal ini memberikan sepenuh jiwanya untuk persembahan yang disaksikan 8,000 penonton ini.
Tepat jam 9 malam, M Nasir atau 'sifu' tampil membuka pentas dengan persembahan bertenaga mendendangkan lagu Pawana (Search) dan Hukum Karma (Wings). Wah! Permulaan pun sudah 'gempak', seterusnya Rajawali Terbang Tinggi dan Kias Fansuri.
Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Malam, Juwita dan Cinta Dewa Dewi (Spider).
Pada ketika ini, penonton semestinya dibuai momen-momen indah ketika lagu-lagu yang didendangkan meniti populariti dan menjadi siulan di bibir mereka.
Lagu-lagu ini pula bukan dinyanyikan dalam versi asal, sebaliknya diberikan nafas baru sesuai dengan vokal M Nasir serta pemuzik dan penyanyi latar yang menjadikan konsert ini sangat gah.
Mereka seramai 23 orang bukanlah baharu, sebaliknya pemuzik profesional yang sudah lama bergiat dalam dunia seni dan tahu rentak permainan M Nasir dalam konsert mega begini.
Mereka diketuai pemain gitar, Nan sebagai pengarah muzik, Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard), Rafi (gitar), Norman (bass), Ujang Exists (dram), Mohar (seruling), Boy (gambus, seruling), Pa'ang (perkusi Latin), Mat Rock, Awe, Mat Din, Che Long, Anas (perkusi tradisional), Ikhman (trumpet), Hanif (trombone), Aizat (seksofon tenor), Farid (seksofon alto) serta Yuaz, Eja, Widy, Juanita dan Awe sebagai penyanyi latar.
M Nasir juga tidak lupa menyelitkan karya-karya epiknya iaitu Isabella, Fantasia Bulan Madu dan Tiara dengan idea menampilkan maestro gitar hebat Kid Search menambah lagi perisa konsert ini.
Dalam persembahannya, M Nasir turut menyelitkan celoteh dengan penonton dan adakala celoteh spontan itu agak melucukan sekali gus membuat mereka ketawa.
Pentas seterusnya dihangatkan lagi dengan lagu Duit, Gerhana, Peronda Jaket Biru (Wings), Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi), Srikandi Cintaku (Bloodshed) dan Awan Nano (Hafiz Suip).
Terpukau jadinya penonton apabila lagu Srikandi Cintaku dan Awan Nano disampaikan dengan penuh perasaan sehingga emosi paling dalam mereka.
Lagu-lagu lain yang dinyanyikan ialah Bonda, Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Apokalips, Mentera Semerah Padi, Aduhai kasih Aduhai, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Keroncong Untuk Ana 1, Kenangan Lalu (Flybaits), Hati Emas, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Sahabat Gua dan lagu kejutan, Satu Hari Di Hari Raya sebagai penutup.
Tambah meriah apabila penganjur menjatuhkan 10,000 sampul duit raya mengandungi not satu ringgit dari bumbung Axiata Arena.
Meriah sekali apabila konsert ini seakan Anugerah Juara Lagu apabila turut menarik kehadiran ramai selebriti terkenal tanah air.
Antara yang hadir memberikan sokongan ialah kumpulan Wings, Spider, Exists, Lah Ahmad, Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Fizo Omar, Akim Ahmad, Stacy, Wany Hasrita dan ramai lagi.
Kehadiran mereka dan penonton dengan tema pakaian denim biru dan putih, memberikan satu aura menarik dalam konsert ini.
Semestinya mereka yang hadir puas hati dan kini berkira-kira untuk segera membeli tiket sebaik Konsert Cipta 3 diumumkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan