Halaman

Rabu, Ogos 14, 2024

'Sentuhan listrik' M Nasir

petikan Harian Metro 14 Ogos 2024

Ramlah Zainal  am@hmetro.com.my

AURA M Nasir cukup kuat di atas pentas.

KONSERT Datuk M Nasir Cipta yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Sabtu lalu bukan saja menghimpunkan lebih 8,000 penonton, tetapi berjaya menggambarkan keseluruhan seorang figura seni bernama M Nasir.

Anak seni kelahiran Singapura dan pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed yang digelar Meastro ini juga sentiasa mencipta karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitannya dalam industri muzik tanah air.

Malah, M Nasir juga sudah menghasilkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah ratusan penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.

Justeru, Cipta dipilih sebagai judul dan konsert julung kalinya daripada M Nasir yang merangkumi semua maksud ciptaan atau karya itu sendiri.

Konsert M Nasir Cipta yang dibawakan khas oleh penganjur, Icon Entertainment ini bersempena meraikan 45 tahun pembabitan M Nasir dalam industri seni Nusantara.

Ternyata pada usia 66 tahun, M Nasir tetap tampil dengan persembahan mantap, bertenaga dan menghiburkan dengan menyampaikan rangkaian 20 lagu ciptaannya termasuk secara 'medley' dalam konsert durasi hampir tiga jam itu.

Pada konsert bertemakan pendekar dan tradisional yang bermula jam 9 malam itu, M Nasir tampil di pentas dengan berkain pelekat dan mendapat sorakan penonton.

Suasana konsert dalam stadium juga sangat meriah kerana ramai penonton yang hadir mengikut tema dan mengenakan busana tradisional pada malam itu.

Pada konsert malam itu, M Nasir mempersembahkan karya hebatnya seperti Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Seroja, Bercanda Di Pasiran Pantai, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Srikandi Cintaku, Ada, Phoenix Bangkit, Senja Nan Merah, Tujuh Nafas Lagi dan banyak lagi.

Bukan saja membawakan lagu daripada album solonya, beliau juga menghiburkan penonton dengan sentuhan magis yang pernah dihasilkan untuk Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab-C dan Rahim Maarof.

Lebih menghangatkan konsertnya, M Nasir turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-77 serta menghadiahkannya pulut kuning sebagai kenangan.

Anwar hadir menyaksikan konsert M Nasir bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Tidak ketinggalan, konsert M Nasir Cipta juga menampilkan segmen khas sebagai tanda sokongan dan solidariti seniman ini kepada rakyat Palestin yang masih menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis di Gaza.

RAMLI bermain akordian mengiringi persembahan M Nasir.

Kejayaan konsert M Nasir Cipta pada malam itu pastinya dengan kehebatan seramai 25 barisan pemuzik dan penyanyi latar yang mengiringi persembahannya.

Antara barisan pemuzik yang mengiringi persembahannya seperti Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik, Aznan Alias (gitar), Rafi Mohd (gitar), Norman Abdullah (bass), Ujang Exists (dram), Eddie Slam (keyboard) dan Pa'ang (percussion).

Konsert berkenaan turut menyuntik elemen klasik, tradisional dan unsur latin apabila susunan lagu diolah mengikut irama daripada instrumen gambus, bongo, trumpet, saksofon, seruling, tamborin, marakas dan tabla.

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pihaknya sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan M Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitannya dalam industri seni Nusantara.

"Tapi, menerusi pentas ini yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan.

"Menerusi konsert M Nasir Cipta, peminat juga dibawa masuk dalam dunia penciptaan beliau dengan menghasilkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.

"Beliau juga mempersembahkan karya yang dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan