Halaman

Jumaat, Ogos 23, 2024

Magis atas pentas

 petikan Harian Metro 23 Ogos 2024

Syafil Syazwan Jefri   syafil.syazwan@hmetro.com.my

SELAGI apokalips tidak berlaku, selagi itu sentuhan listrik figura legenda, Datuk M Nasir akan terus menjadi mantera pelbagai generasi.

Dek kerana permintaan daripada peminat yang terus-menerus dahagakan persembahan pentas terutama selepas kejayaan Konsert Datuk M N45ir: Cipta yang berlangsung pada 10 Ogos lalu, maestro muzik Malaysia itu bakal sekali lagi menggegarkan pentas Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Oktober ini menerusi Konsert Datuk M N45ir: Cipta 2.

Berkongsi mengenai penganjuran konsert dan dan kesungguhannya dalam menyampaikan cerita menerusi persembahan pentas berskala besar, Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed yang ditemui di sesi apresiasi media baru-baru ini membuka beberapa kisah.

"Saya fokus apa yang saya kena buat atas pentas. Saya yakin dengan peminat muzik, peminat saya. Saya yakin dan percaya bahawa mereka akan ada respons kepada apa yang saya buat atas pentas. Ini kerana apa yang saya buat selama ini dalam industri muzik adalah berkomunikasi dengan mereka. Saya rasa saya rapat dengan mereka.

"Jadi, saya yakin mereka sentiasa menantikan cerita daripada saya. Saya tahu bahawa mereka tahu yang saya ini ada banyak cerita. Jadi, cerita saya sampaikan dari persembahan saya dan mereka membaca gerak-geri dan apa yang saya cakap. Kadang-kadang saya tak cakap pun mereka baca.

"Apa yang biasa saya buat dan apa yang tak biasa saya buat, mereka akan menganalisis dan menginterpretasikan itu adalah cerita saya," katanya.

Berkongsi mengenai keputusan mengadakan konsert kedua, Nasir berkata, idea itu muncul ketika tampil di konsert pertama pada 10 Ogos lalu, apabila terfikir bahawa dia tidak akan dapat memuaskan hati semua penonton kerana akan ada lagu yang tidak dipersembahkan.

"Sebenarnya ketika konsert pertama, saya tahu takkan dapat puaskan hati semua orang dan saya takkan dapat nyanyi semua lagu yang saya cipta. Saya rasa, pasti ada yang kedua.

"Saya kira ada beberapa lagu popular yang akan saya nyanyikan. Mungkin Awan Nano, Srikandi Cintaku dan Fantasia Bulan Madu. Ada juga peminat yang mahukan saya menyanyikan lagu lama yang saya rakamkan," katanya.

Ditanya mengenai kelainan kandungan konsert dan durasi, Nasir berkata, dia cuba menampilkan kelainan.

M Nasir bakal sekali lagi gegarkan pentas Axiata Arena menerusi Konsert Datuk M N45ir: Cipta 2.

"Mungkin dari sudut visual dan mungkin saya menari. Siapa tahu. Dua jam lebih, tapi selalunya tak berlaku begitu. Di antara lagu selalu ada 'benda' yang spontan dilakukan. Jadi, itu membuatkan masa bertambah. Tapi, kita rancang supaya jangan sampai tiga jam," katanya.

Ditanya mengenai konsert berskala besar dan bagaimana menarik perhatian peminat supaya membeli tiket dan hadir, Nasir berpendapat, rangka promosi adalah keutamaan.

"Banyak jawapannya, bukan satu. Saya rasa potensi orang menonton itu sentiasa ada, tapi ia dua hala. Mesti ada artis dan peminat. Jadi, kalau kita tengok 'trend', konsert-konsert ini fokus kepada artis tertentu.

"Cara pemasaran pun sangat penting. Begitu juga media sosial. Ia menghayun orang punya 'mood' dengan cara tersendiri.

"Kalau dulu, orang tak ada cara mengekspresikan diri. Sekarang dengan media sosial, mereka boleh mengekspresikan dan ia berlaku serentak. Semua orang buat dalam masa sama dan semua orang baca, maka semua orang tahu," katanya.

Berkongsi mengenai perbezaan konsert hari ini dan dulu, Nasir berkata, semuanya adalah impak daripada media sosial.

"Penonton sentiasa ada, cuma cara bagaimana kita tarik mereka. Saya berada di posisi sekarang pada 1994 ketika saya buat persembahan besar iaitu Konsert Canggung Mendonan. Lebih ramai dari konsert baru-baru ini.

"Suasananya berbeza. Itu agak 'raw' dan dianjurkan oleh Ali Bakar. Penontonnya pula kebanyakan pelajar kolej yang tak ada media sosial atau telefon pintar waktu itu.

"Jadi, mereka adalah peminat saya waktu itu. Mereka sedang mendengar apa yang popular dan menjadi pemikiran baharu pada waktu itu.

"Tetapi, hari ini dah ada macam-macam. Dengan media sosial, kita letakkan sesuatu dan tunggu apa reaksi orang. Alhamdulillah, reaksinya sangat positif," katanya.

Sebagai pembikin karya, Nasir juga sering menyuntik elemen yang tidak akan lapok dalam karyanya.

"Apabila kita hasilkan karya, buatkan ia menjadi berunsur universal. Kita cuba hasilkan lagu yang takkan terperangkap dalam satu masa saja. Itu yang cuba disuntik dalam karya saya. Alhamdulillah, itu membuahkan hasil.

"Banyak eksperimen yang kita buat dalam konsert ini, contohnya lagu Jamal Abdillah yang saya nyanyikan. Orang mungkin jarang dengar saya menyanyi lagu itu. Mungkin boleh jadi Aduh Saliha dengan cara baru," katanya.

Ramai yang tidak pernah tahu, adakah penyanyi yang digelar 'sifu' ini pernah merasa gemuruh setiap kali berpanggung.

Menurut Nasir, fasa gemuruh sudah berlalu, namun ada langkah yang diambil sekiranya perasaan itu muncul.

"Bercakap mengenai gemuruh sebelum persembahan, saya dah tak gemuruh lagi. Dulu mungkin ada. Tapi, sekarang saya gemuruh juga apabila ada orang lain yang gemuruh. Gemuruh mereka mengganggu saya.

"Sebab itu selalunya saya tak bagi ramai orang di belakang pentas. Orang ingat tak boleh dan cakap sombong. Tapi, sebenarnya bukan begitu.

"Ia mengganggu fokus dan tumpuan orang yang nak buat persembahan. Itu yang saya cuba buat, untuk dapatkan keadaan tenang. Mana nak ingat lirik dan melodi lagi," katanya.

Cintakan pentas dan panggung, Nasir sentiasa ingin tampilkan sesuatu yang berbeza dalam pementasannya. Namun, semua itu juga bergantung kepada 'tenaga' penonton.

"Saya suka persembahan secara langsung, yang mana orang yang tidak buat sama dengan versi rakaman. Kita nak tunggu sesuatu yang magis atas pentas dan bukan seperti dalam rakaman.

"Kita cuba nak buat satu pengalaman baharu apabila buat persembahan secara langsung. Kadang kita tak sampai apabila menyanyi dalam rakaman, tetapi secara langsung, dapat sampai.

"Sebabnya ada tenaga dan kuasa yang dah diberikan penonton kepada kita. Suasananya rasa berbeza. Jadi, kebanyakan penyanyi gemuruh nak buat rakaman sebab bagi penyanyi, rakaman itu dirasakan susah. Memang takut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan