Halaman

Isnin, Jun 10, 2024

Isu royalti P Ramlee rumit sebab ada perjanjian antarabangsa - M Nasir

petikan Berita Harian 10 Jun 2024

Oleh Norhayati Nordin  norhayati_nordin@hmetro.com.my

M Nasir pada pameran Sesat di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu di Galeri Puteh di ibu negara. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir menyifatkan isu royalti karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sudah tamat 50 tahun sebelum ini agak rumit untuk diselesaikan kerana wujud perjanjian antarabangsa.

M Nasir, 67, berkata, isu royalti karya P Ramlee yang tamat tahun lalu selepas lima dekad kematian Seniman Agung itu lantas berstatus 'domain awam', bagaimanapun, masih layak diterima beberapa penulis lirik lain yang bekerjasama dengan arwah.

"Pembayaran royalti P Ramlee untuk waris-warisnya memang sudah tamat pada tahun lalu, tetapi ada antara penulis lirik lain yang pernah bekerjasama dengan arwah masih layak untuk waris mereka menerima royalti itu.

"Royalti P Ramlee sudah melepasi tarikh tamatnya selama 50 tahun selepas kematian arwah agak rumit diselesaikan kerana ada perjanjian antarabangsa yang memerlukan diteliti daripada pelbagai aspek.

"Jadi, tempoh untuk selesaikan isu royalti P Ramlee yang warisnya (arwah) mohon berpanjangan selama beberapa tahun lagi perlu ambil masa diuruskan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga sama ada dalam setahun atau dua tahun isu royalti P Ramlee selesai, M Nasir tiada jawapan untuk itu. Sebaliknya, bergantung masa berikutan prosesnya agak rumit.

Terdahulu, M Nasir hadir pada majlis perasmian pameran lukisan Sesat Di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu... M Nasir yang disempurnakan oleh anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izzah Anwar di Galeri Puteh di sini, semalam.

Mengulas juga isu hak harta intelek Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma yang nama arwah diguna pakai dalam pelbagai acara tanpa pengetahuan warisnya, M Nasir berkata tindakan undang-undang wajar diambil.

"Bagi Saloma pula, tindakan waris untuk menggunakan saluran undang-undang adalah tepat. Cuma, kalau isu royalti sebagaimana P Ramlee itu, setahu saya Saloma adalah seorang penyanyi.

"Allahyarham Saloma tidak mencipta lagu dan kebanyakan karya nyanyiannya hasil ciptaan P Ramlee. Apapun, diharapkan agar pihak luar yang ingin menggunakan 'jenama' artis ambil tahu berhubung harta intelek," katanya.

Pameran lukisan Sesat Di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu...M Nasir yang berlangsung dari 10 Jun hingga 30 Jun ini membabitkan lebih 60 lukisan.

Difahamkan, semua karya lukisan itu adalah diilhamkan pelukis daripada lagu ciptaan M Nasir dengan gabungan elemen seni visual, fotografi dan persembahan yang menarik serta terbaik.

Antara pelukis yang menyertai pameran lukisan ini adalah M Nasir sendiri; Rafiee Ghani; Ahmad Fuad Osman; Masnoor Ramli; Abdullah Jones; Samsuddin Wahab; Stephen Menon; Najib Bamadhaj; Shafiq Nordin; Hisyamuddin Abdullah; Kide Baharudin dan Ika Sharom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan