Halaman

Isnin, Mei 20, 2024

M Nasir 'sukar' bersara, ada nikmat orang lain tak rasa

 petikan Berita Harian 20 Mei 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud  farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penghibur tersohor, Datuk M Nasir belum berhasrat untuk bersara meskipun industri hiburan didominasi artis generasi muda.

Bagaimanapun, satu perkara yang membuatkannya rasa kekok adalah apabila terpaksa bersaing dengan artis baharu setiap kali karyanya terpilih beraksi di pentas pertandingan.

Justeru, Nasir, 67, berkata, peluang itu membuatkannya sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

"Sekarang kalau masuk pertandingan, saya sudah jadi orang yang paling tua dalam kalangan peserta. Yang bertanding, budak-budak lagi.

"Tapi, muzik yang saya buat itu, muzik orang muda. Jadi, saya ada sedikit rasa macam mana nak sesuaikan," katanya kepada BH Online.

Mengulas tempoh diberikan untuk bergiat aktif dalam dunia seni, pelakon filem Imam itu tidak meletakkan tanda noktah kepada kerjaya diceburinya sejak 45 tahun lalu.

"Selagi rasa saya boleh berkarya dan itu juga sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.

"Tapi, saya suka dengan bidang penciptaan lagu. Kita buat daripada ia tak ada, kemudian ada bentuk dan orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat.

"Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau bersara. Selagi dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti," ungkap pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini

Nasir ditemui pada majlis sidang media Konsert Datuk M Nasir Cipta anjuran Icon Entertainment di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjmahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.


M Nasir tidak meletakkan tempoh kepada kerjaya muzik diceburinya sejak 45 tahun lalu. - NSTP/Rohanis Shukri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan