Halaman

Sabtu, Mei 25, 2024

Lagu-lagu M.Nasir divisualkan

petikan SENI MALAYA 25 Mei 2024

Oleh: Irwan Muhammad Zain

Pameran SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir ini bukan sekadar pameran, tetapi sebuah pengalaman artistik yang mendalam.

DALAM meraikan perjalanan seni yang penuh inspirasi Datuk M.Nasir selama 45 tahun, Galeri Puteh akan menganjurkan sebuah pameran seni yang berjudul SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir.

Menurut Pengarah Galeri Puteh, Nizam Rahmat, pameran ini merupakan penghormatan luar biasa kepada perjalanan seni M.Nasir.

Nizam berkata pameran ini menampilkan lebih dari 30 pengkarya seni tampak, fotografi, dan persembahan yang terinspirasi oleh karya muzik M.Nasir. 

Katanya, setiap karya seni yang dipamerkan adalah interpretasi unik yang membawa pengunjung menyelami dunia M. Nasir melalui lensa visual yang kaya dan berlapis.

“Galeri Puteh menganjurkan pameran karya berdasarkan lagu-lagu ciptaan M.Nasir kerana kami ingin memberi penghormatan kepada sumbangan besar beliau dalam dunia seni muzik Malaysia. 

“Lagu-lagu M.Nasir yang penuh makna dan kaya dengan elemen seni dan budaya boleh menjadi inspirasi bagi pelbagai bentuk seni tampak.

“Keistimewaan M.Nasir yang membuatkan Galeri Puteh memilih untuk menganjurkan pameran ini adalah kerana beliau bukan sahaja seorang tokoh muzik tetapi juga seorang seniman yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia seni dan budaya Malaysia. 

“Karya-karyanya yang mendalam dan pelbagai mempengaruhi bukan sahaja dunia muzik tetapi juga seni tampak Melayu. ,” katanya kepada Senimalaya.

Nizam berkata M. Nasir, yang terkenal sebagai penyanyi, pencipta lagu, penulisan lirik, pelukis, pelakon dan pengarah, telah menjadi ikon seni yang mempengaruhi banyak generasi. 

“Pameran SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir ini bukan sekadar pameran, tetapi sebuah pengalaman artistik yang mendalam, di mana setiap lukisan, foto, dan persembahan memberikan nyawa baru kepada lagu-lagu dan kisah-kisah yang dicipta oleh beliau,” katanya lagi.

Antara pengkarya yang menyertai pameran ini adalah Rafiee Ghani, Ahmad Fuad Osman, Abdullah Jones, Samsuddin Wahab, Najib Bamadhaj, Kide Baharudin, Ika Sharom dan ramai lagi.

Galeri Puteh menjemput semua pihak untuk menikmati keindahan setiap karya seni yang dipamerkan, merasai keajaiban bagaimana muzik dan seni visual dapat bergabung dalam harmoni dan mempesonakan. 

Pameran bakal berlangsung pada 8 hingga 30 Jun ini menjanjikan pengalaman yang bukan sahaja merangsang pemikiran tetapi juga menggerakkan emosi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan