Halaman

Sabtu, Februari 03, 2024

Salam terakhir Hattan buat sifu

petikan Berita Harian 3 Februari 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud -farihad@bh.com.my


Hattan dan M Nasir buat persiapan konsert yang bakal menggegarkan SICC, Kota Kinabalu, malam ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Permulaan kerjaya seni Datuk Hattan banyak dibantu oleh komposer dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir dengan menghasilkan lagu hits untuknya.

Antara lagu ciptaan M Nasir yang membuatkan nama Hattan meledak hingga menjadi talian hayat untuknya terus bertahan hingga hari ini adalah Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Dari Kekasih Kepada Kekasih dan banyak lagi.

Daripada anak murid dan guru, hubungan Hattan dan komposer yang berasal dari Singapura itu bertukar menjadi sahabat baik yang saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan jasa komposer yang mendapat jolokan sifu itu terhadap perkembangan karier nyanyiannya, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 60, pernah menghasilkan album berjudul Mentor sekitar tiga dekad lalu yang menyaksikannya menyanyikan semula lagu-lagu ciptaan M Nasir.

Sanjungan Hattan terhadap M Nasir terus diperkukuhkan dengan penganjuran Konsert Sifu dan Aku yang menjadi konsert kemuncak kepada kerjaya seninya yang bakal bernoktah, Jun ini.

"Ketika mula-mula menceburi bidang seni, saya banyak belajar dengan M Nasir.

"Bila dapat berkongsi pentas dengannya melalui Konsert Sifu dan Aku ini, saya anggap ini adalah kemuncak kepada kerjaya nyanyian saya kerana apa yang diimpikan selama ini sudah tercapai," katanya kepada BH Online.

Berkongsi persiapan konsert yang bakal menggegarkan Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu, malam ini, penyanyi yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mengakui sudah untuk menghiburkan peminat di sana.

"Sekarang ini kami dalam peringkat persiapan terakhir iaitu untuk membuat penambahbaikan mana-mana bahagian yang kami rasakan ada kekurangan. Dari segi logistik, ada pasukan yang sudah pun pergi ke Sabah sebelum kami menyusul pada hari ini (semalam).

"Dari segi keserasian, saya rasa tiada masalah kerana kami kenal lama. Lagipun perkara berkaitan keserasian tak boleh nak dirancang. Mujur kami sudah kenal lama ketika zaman di Bangsar dahulu.

"Cuma, buat masa ini, kami kena jaga kesihatan supaya persembahan akan berjalan lancar," kata Hattan.

Hattan anggap Konsert Sifu dan Aku sebagai kemuncak kerjayanya, M Nasir pula mahu cipta kejutan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Hattan anggap Konsert Sifu dan Aku sebagai kemuncak kerjayanya, M Nasir pula mahu cipta kejutan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, mengenai apakah konsert bakal di bawa ke Kuala Lumpur, Hattan berkata, ia bergantung kepada sambutan dan permintaan peminat.

"Kalau sambutan bagus dan rezeki, kita tengok macam mana. Tapi, saya ada konsert yang bakal menunggu pada Jun depan.

"Cuma, buat masa ini, saya tak boleh nak dedahkan butirannya. Konsert itu nanti bakal menjadi konsert terakhir saya sebelum saya bersara," ungkap Hattan.

Mengulas pertanyaan apakah konsert akan mempunyai elemen tempatan seperti dari segi gubahan lirik, M Nasir berkata, kebanyakan lagunya memang mendapat inspirasi dari Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Kebanyakan lagu saya memang mendapat inspirasi dari Sabah. Jadi elemen tempatan memang sudah ada. Mungkin ada perubahan dari segi susunan muzik.

"Kalau nak tahu kena datang konsert. Buat masa ini, anggap sahaja itu satu kejutan daripada kami," kata penyanyi Mentera Semerah Padi ini ditemui pada sesi latihan yang diadakan di studio di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Pada sesi itu, media yang hadir dapat menyaksikan dinamik duo itu mendendangkan himpunan lagu bakal dipersembahkan pada konsert.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu terbahagi kepada tiga segmen iaitu persembahan solo dua seniman, manakala segmen duet menjadi penutup tirai.

Konsert anjuran Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading turut mendapat kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan