Halaman

Jumaat, Disember 15, 2023

SFMM 38 : M Nasir percaya peluang sama rata semua calon

petikan Berita Harian 15 Disember 2023

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR : Kembali bersaing pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 selepas 12 tahun tidak mempertaruhkan karya di pentas pencarian lagu terbaik itu, Datuk M Nasir, 66, percaya semua pengkarya bertanding memiliki peluang sama rata.

Menyangkal dakwaan mampu menepis pesaing dengan mudah atas reputasi dibina, M Nasir yang bolos dengan lagu ciptaan Menyantun Kasih dendangan Siti Nordiana dan lirik dihasilkan Keon, terkejut tatkala dikhabarkan menjadi antara calon SFMM 38.

"Saya ingat tidak perlu bertanding lagi, tetapi lagu itu (Menyantun Kasih) untuk Siti Nordiana," katanya ditemui pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 di ibu negara, baru-baru ini.

Saingan SFMM 38 yang dibawakan khas penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile, bermula hari ini hingga lusa, mempertaruhkan 30 lagu.

Ditanya apakah calon lain perlu gentar berdepan dengannya yang dianggap 'gergasi' industri muzik tempatan, M Nasir berkata, semua calon SFMM 38 tidak perlu takut.

"Semua orang ada peluang menang. Sekarang banyak karya dan komposer yang bagus-bagus," katanya.

M Nasir berkata, sejak tidak bersaing di pentas SFMM, beliau banyak mencipta lagu baharu, namun belum bersedia memberikan ciptaannya itu kepada penyanyi lain.

"Ramai penyanyi minta lagu saya seperti Naqiu, Hazama dan beberapa orang lain. Saya sedang usahakan dan sebenarnya, saya tidak berhenti menulis.

"Mereka yang minta lagu semuanya bagus-bagus. Cuma saya belum sedia 'lepaskan' lagu-lagu dihasilkan," katanya.

Menafikan dirinya selektif dalam menyerahkan lagu ciptaan kepada penyanyi lain, M Nasir sentiasa mengharapkan yang terbaik.

"Saya bukanlah selektif. Saya mahu penyanyi yang mendendangkan lagu saya berjaya. Saya mahu orang suka apabila mereka dengar lagu ciptaan saya.

"Berdasarkan pengalaman, saya tahu lagu macam mana orang suka. Tetapi, apa yang saya jangka tidak semestinya betul. Ada kalanya telahan saya silap.

"Kalau boleh, saya mahukan lagu dihasilkan berbeza daripada karya sebelum ini. Saya tidak mahu lagu saya dikatakan sama dan tiada perubahan," katanya.

Sepanjang kariernya, M Nasir menjulang trofi Juara Lagu sebanyak empat kali menerusi lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud pada 1994, Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan Awan Nano (2011).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan