Halaman

Rabu, Disember 13, 2023

M. Nasir tak setuju penyanyi wajib ada album sebelum buat konsert

petikan KOSMO! 13 Disember 2023

Oleh Mohd Haikal  Isa

SIFU M. Nasir kurang bersetuju dengan idealogi seseorang penyanyi itu perlu hadir dengan album penuh sebelum melaksanakan sesebuah konsert mega atau solo.

KOTA KINABALU – Penghibur tersohor tanah air, Datuk M. Nasir menolak ideologi sebilangan pelaku muzik yang ‘pukul rata’ menyifatkan penghasilan diskografi atau album studio penuh sebagai sebagai ‘tiket’ wajib sebelum layak menjayakan sesebuah persembahan berstatus konsert.

M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, 66, berkata, tanggapan sebegitu tidak 100 peratus benar dan perlu diperbetulkan.

“Tanggapan itu sebenarnya tidak benar. Idea sebegitu tidak benar dan tidak semestinya.

“Bikin konsert itu adalah persembahan. Daya persembahan penghibur (yang buat konsert) kena kuatlah.

“Kalau ada personaliti atau pesona yang menarik membuatkan orang suka padanya, sudah cukup untuk seseorang itu buat konsert,” katanya kepada Kosmo! Online usai sidang media konsert Sifu Dan Aku di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, semalam.

Bagaimanapun, jelas pemuzik yang diberi julukan Sifu itu lagi, kayu ukur kejayaan sesebuah konsert terletak pada impak yang ditinggalkan si penyanyi kepada penonton.

“Seseorang itu boleh menyanyi lagu orang lain. Kalau hendak bikin konsert, mengapa tidak.

“Kesan yang ditinggalkan buat penonton, itu yang menjadi persoalan. Misalnya, seseorang penyanyi itu bagus tetapi tiada lagu popular, saya tak rasa itu menjadi satu kesalahan kalau orang nak tengok dia mengadakan persembahan atau konsert,” katanya lagi.

Terdahulu, maestro muzik, Datuk Ramli MS pernah memberi teguran buat penyanyi Aina Abdul tentang keperluan pembikinan album penuh untuk kelestariannya dalam industri muzik terutama sebelum mengadakan konsert berskala besar.

Penganjur, Mubarak Akhtar (kiri sekali) dan penganjur bersama, Umair Mahadi  bersama dua legenda muzik tanah air, M. Nasir dan Hattan yang bakal berpadu menerusi konsert Sifu Dan Aku di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari tahun hadapan.

Dalam perkembangan terkini, M. Nasir yang baru selesai menjayakan konsert solonya di Kuala Lumpur baru-baru ini, bakal berkongsi pentas dengan Datuk Hattan, sekali gus menggegarkan Sabah pada konsert Sifu Dan Aku di Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari 2024.

Konsert anjuran Ochee Purnama Sdn. Bhd. dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group itu adalah gabungan sulung menampilkan penyatuan penyanyi bertaraf guru kepada anak muridnya, Hattan itu sejak lebih 38 tahun berada dalam industri muzik.

Tiket konsert boleh didapati menerusi pautan https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas). – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan