Halaman

Jumaat, Disember 01, 2023

Dari ‘Pulau Kencana’ sampai Jawa, irama genius M. Nasir tiada tara

 petikan KOSMO! 1 Disember 2023

Oleh TENGKU SUZANA RAJA MAMAT

PADA usia 66 tahun dan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang muzik, M Nasir menampilkan energi luar biasa seperti resamnya menerusi Konsert Gendang Pati di Kuala Lumpur.

Maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir sebetulnya tidak perlu memerah otak memikirkan apa lagi yang hendak dibuktikan kepada khalayak dalam apa juga lagu mahupun konsertnya.

Begitulah juga dengan Konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir Live In Kuala Lumpur, baru-baru ini. Berebut hujung minggu bulan November yang padat dengan banyak acara besar, konsert artis yang lebih muda dan meriah agenda promosi dan ketika suasana semasa yang seperti tidak menggalakkan orang keluar berparti, Gendang Pati terzahir dalam emosi yang penuh sorak, namun bermakna.


M. Nasir sebetul tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Menyanyilah. menarilah, itu sahaja cukup untuk semua peminat menikmati seluruh makna karya muziknya.

Seperti membawa kalimah dan memarakkan api semangat perjuangan dalam diri semua orang, sifu muzik itu membuka pentas gelanggang dengan Phoenix Bangkit.

Beliau memalu halwa telinga untuk hidup seperti lirik yang berbunyi, ‘jangan kau gentar dengan bayang-bayang sendiri, di sebalik pahit getir kemenangan menanti, bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu, bangkit membina semula satu keindahan baru’.

M. Nasir sebenarnya hanya perlu mengepakkan sedikit tangan, berdiri dengan kuda-kuda dan menyanyi ikut rentak dengan perincian muzik serta lirik yang dipaterikannya sendiri.

Selebihnya segala mengalir membius rata-rata pemujanya selama tiga jam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

Dengan lagu-lagu yang muziknya sarat aroma Nusantara, konsert yang dibawakan MND Sport & Event Sdn. Bhd. dan Roman Abadi Sdn. Bhd. tersebut diraikan hampir 3,000 peminat yang datang daripada lapisan usia, ada yang seusia M. Nasir, malah ada lebih muda daripada anak-anaknya.

IBARAT sebuah pesta rakyat, konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir ini boleh dianggap satu penanda aras sebuah konsert sejati buat semua penyanyi jika mahu mengadakan sebuah persembahan berjiwa Melayu.

Sesekali lelaki bermisai dan berjanggut nipis itu bercanda. Sempat pula beliau mengusik penonton, apa benar mereka membuat pilihan tepat tidak menyesal melepaskan konsert Aina Abdul di Bukit Jalil dan memilih menyaksikan konsertnya.

“Saya pun ada prepare (merujuk persalinan ‘gaya M. Nasir’ rona hijau yang dipakainya),” ujar suami Datin Marlia Musa itu mencuba menjadi kelakar.

Menikmati Gendang Pati, kita seumpama melewati daerah demi daerah, dari ‘Pulau Kencana’ sehinggalah ke Pulau Jawa, diiringi 16 pemuzik hebat diketuai pengarah muzik dan pemain gitar tersohor, Nan Alias, M. Nasir mengajak penonton mengembara bersama muziknya.

Lalu asyiklah semua dalam dakap asyik muzik moden dan tradisi bersulam paluan gendang, gambus, serunai, gesekan rebab, perkusi, gitar, bas, drum dan ‘keyboard’. Ada juga pandero, sejenis alat muzik dari Brazil dimainkan ketika Langgam Pak Dogo didendangkan.

Pada usia 66 tahun, M. Nasir menyembunyikan lelah dengan lagu-lagu seperti Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Bila Rumi Menari, Tanya Sama Hud Hud, Dah Lagu Tu dan Melawan Arus.

Dendang konsert semakin memanas saat seleksi mekar sepanjang zaman, Kias Fansuri, Raikan Cinta dan Hijab Kekasih memasuki ruang jiwa.

PADA usia 66 tahun, M. Nasir masih mampu berdiri selama tiga jam dalam sebuah konsert.

Selain lagu-lagu seperti Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa yang dimedleykan, M. Nasir menarik ingatan ramai dengan judul-judul popular ciptaannya yang telah menjadi ikonik buat penyanyi lain seperti Gadisku, Fantasia Bulan Madu dan Pawana (Search), Setahun Sudah Berlalu (Alleycat), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kriss) serta Hukum Karma (Wings).

Betapa geliganya lelaki Temasik itu, bukan hanya nyanyian sendiri, karya ciptaannya membentuk satu identiti unik si pelantun gubahannya.

Tidak habis di situ, seleksi Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada menjadi sebuah momen yang akan terus terngiang-ngiang dan dirindui untuk kembali semula ke gelanggang lelaki itu.

Sebagai solidaritinya kepada rakyat Palestin, memang selayaknya M. Nasir tidak meninggalkan Masirah, lagu untuk anak Pelastin yang mati akibat ditembak tentera Israel.

Memaksimumkan ruang sebuah malam yang tidak sekadar ajakan menari dan berdendang, minit-minit terakhir konser turut dimurnikan dengan bacaan doa Qunut Nazilah dan deklamasi puisi Usman Awang, Thaurah Palestin oleh pelakon Ameerul Affendi.

Memaknakan lagi malam konsert, ratib ‘Beroh Bedam Nafdiq Ya Syahid’ dipilih M. Nasir sebagai paluan berundur, sekali gus satu ingatan bahawa apa pun yang berlaku, baik bencana mahupun bahagia, semua berbalik kepada Yang Esa.

PHOENIX Bangkit sebagai pembuka tirai simbolik meniup semangat hidup buat semua.


Tambahan : Setlist Gendang Pati KL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan