petikan Majoriti 23 September 2023
Oleh AMNAN HIBRAHIM
Hasil buah tangan M Nasir sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat muzik tanah air. — Instagram/MNasirMohamedBAGI peminat seni muzik tanah air, karya ciptaan penyanyi dan komposer legenda tanah air, Datuk M Nasir merupakan sesuatu yang sememangnya ditunggu-tunggu.
Mana tidaknya, di tangan seniman yang sudah mencecah usia 66 tahun ini, pelbagai lagu malar segar yang dihasilkan dan dinyanyikannya terus mewarnai industri muzik negara sejak hampir lebih 40 tahun lalu.
Namun, sejak lebih kira-kira 17 tahun lalu, beliau yang turut diberi gelaran sebagai Sifu dilihat lebih aktif dalam kerja di belakang tabir sebagai komposer dan juga pemilik kepada syarikat rakamannya, Luncai Emas.
Kali terakhir beliau menghasilkan album adalah pada 2006 hasil buah tangannya yang bertajuk Sang Pencinta.
Bagaimanapun, ada berita baik buat peminatnya yang masih setia menunggu-nunggu karya terkini daripada penyanyi kelahiran Singapura ini.
Ia selepas M Nasir memaklumkan beliau kini sedang dalam proses untuk menyiapkan albumnya yang sudah lama berada dalam proses pembikinan.
"Saya tengah buat album, tapi belum lagi siap," katanya ketika ditemui Majoriti.
Ditanya mengenai jangkaan waktu album tersebut dapat mula dinikmati oleh peminatnya, M Nasir berkata, beliau berharap agar ia dapat disiapkan pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sentuhan Listrikmu itu mengakui kekangan inspirasi dan kesibukan kerja turut menjadi antara faktor menyebabkan proses pembikinan album berkenaan memakan masa yang lama.
Selain daripada itu, M Nasir berkata, beliau turut berhadapan dengan cabaran untuk memastikan karya baharu dihasilkan itu dapat memuaskan hati peminat dan penggemar muzik tanah air sama seperti lagu-lagunya sebelum ini.
"Itulah dia punya serba salah apabila kita buat sesuatu yang baharu, tapi orang lama, atau orang yang biasa dengan muzik kita akan tidak begitu gemar dengan pembaharuan kita. Itu yang berlaku pada Sang Pencinta (album).
"Orang yang dah biasa dengan muzik kita, dia tak suka, dia lihat kita macam lari daripada (bunyi sebelum ini) dan cuba nak rasa relevan dengan sekarang ini. Itu yang buat kita selalu rasa perlu ada album ke tidak.
"Tapi saya selalu buat dan kadang-kadang bila kita buat itu benda itu lagi baru daripada apa yang ada, lagi susah (pendengar nak terima). Itu yang buat benda itu susah nak disiapkan," ujarnya yang mengakui ramai peminatnya lebih gemar dengan karyanya yang terdahulu.
"Dia harapkan (kita) akan keluarkan lagu-lagu yang sedap macam dulu. Tapi yang dulu itu dah habis dah, time itu dah habis," kata beliau.
Sepanjang lebih 40 tahun berkarya, M Nasir menghasilkan kira-kira tujuh album solo antaranya Solo pada 1989, Saudagar Mimpi (1992), Canggung Mendonan (1993), Phoenix Bangkit (2001) dan terakhir Sang Pencinta (2006).
Mengulas mengenai pembaharuan mungkin ditampilkan dalam album terbaharu itu, M Nasir berkata, perkara tersebut bukanlah satu-satunya elemen yang akan diberikan penekanan dalam pembikinan karya tersebut.
Sepanjang lebih 40 tahun berkarya, M Nasir menghasilkan kira-kira tujuh album solo.
Menurutnya, ini kerana aspek itu bukan satu-satunya elemen yang boleh menyebabkan sesuatu muzik itu boleh menjadi relevan mendapat penerimaan baik dalam kalangan pendengar, lebih-lebih lagi jika ia dihasilkan oleh pemuzik yang lama.
"Tidak ada artis yang umur 66 tahun dalam dunia ini bawa pembaharuan. Paul McCartney (anggota kumpulan The Beatles) pun nyanyi lagu dia sahaja. Dia tidak ada buat lagu baharu orang boleh terima sangat," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan elemen pembaharuan tidak semestinya bermakna sesebuah karya itu bakal sukar diterima pendengar.
"Semua bergantung kepada lagu. Saya ingat dulu masa (Allahyarham Tan Sri) SM Salim popular, umur dia dah berapa.
"Dia kembali popular dengan lagu-lagu yang stail lama tapi orang terima dia dan lagunya menjadi hits sehingga dalam tempoh tiga ke lima tahun orang bercakap pasal lagu itu sahaja," katanya.
Hidupkan semula gendang dalam muzik Malaysia
Pada 18 November depan, M Nasir bakal kembali menyapa peminat muzik tanah air apabila tampil dengan konsert terbaharunya yang dinamakan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur.
Menurut M Nasir, berbeza dengan konsertnya sebelum ini, persembahan bakal ditampilkan pada persembahan tersebut akan memberikan penekanan kepada gubahan gendang khusus dari Nusantara.
"Kali ini kita beri penekanan kepada gubahan gendang dalam muzik yang saya dah ciptakan yang kebanyakannya mempunyai irama yang boleh ditarikan. Antaranya lagu seperti Mentera Semerah Padi, Ada dan pelbagai lagu.
"Semuanya lagu-lagu dengan irama yang boleh ditarikan dan dinyanyikan ramai-ramai serta akan ada unsur dramatik yang akan kita gubah dalam persembahan kali ini," ujarnya.
Gendang Pati sebelum ini terlebih dahulu dipersembahkan di Singapura dengan ia mendapat reaksi yang begitu positif daripada peminatnya.
M Nasir berkata, bagi versi konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), beliau bakal mempersembahkan sebanyak kira-kira 20 lagu.
Persembahannya turut diiringi barisan pemuzik hebat yang sekian lama menjadi tulang belakang kepada karier muziknya iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias; gitar rhythm, Rafi Mohd; bass, Norman; keyboard, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam; dram, Ujang Exists.
Pada masa sama, konsert kali ini diserikan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama, Paang; perkusi tradisional, Mat Din; pemain perkusi, Che Long dan Anas serta pemain perkusi, rebab dan serunai, Awe.
Dalam pada itu, M Nasir berkata, idea untuk mengadakan konsert dengan konsep sedemikian timbul selepas beliau merasakan kurangnya penggunaan gendang tradisi dalam muzik terkini yang dihasilkan pada waktu ini.
"Saya ingat gendang ini dia dah makin menghilang sebenarnya terutamanya dalam muzik pop. Dari segi populariti, dia tidak lagi menjadi satu yang utama.
"Jadi kerana saya sendiri mulakan karier muzik dengan irama-irama Nusantara semua ini, saya seperti ada rasa tanggungjawab mempopularkannya kembali.
"Ini supaya kita generasi baharu dan generasi lama dapat rasa, oh, ini kita punya muzik," ujarnya yang berpandangan bahawa penggunaan gendang dalam muzik sememangnya boleh terus kekal relevan merentas zaman.
"Bukan sahaja zaman-zaman tradisi dulu, tetapi boleh dijadikan satu bentuk muzik di zaman ini dan orang-orang muda pun boleh menggunakan bunyi itu di dalam muzik mereka yang baharu," kata beliau. — Majoriti
I am so curious as to who is behind this blog. Nevertheless, good job 👍🏼
BalasPadam