Halaman

Selasa, Julai 25, 2023

‘Sifu’ M. Nasir lincah bawa penonton belayar ke Dunia Melayu

petikan Berita Harian Singapura 25 Julai 2023

Haryani Ismail

Bintang mapan saji ‘hiburan berisi’ tentang jati diri, budaya dan ketuhanan, diiring alat muzik warisan

Pada malam itu, beliau berfungsi bak pahlawan yang mengajak ribuan penonton hadir dalam satu pelayaran panjang melebihi dua jam untuk menikmati pelbagai irama kepulauan Melayu. Kali ini, bukan sahaja suara Nasir dan bait-bait lirik dengan maksud tersirat dan sejarah zaman-berzaman yang menjadi tumpuan.

SINERGI BERTENAGA: Datuk M. Nasir pada usia 66 tahun menampakkan tenaga positif apabila membawa penonton menyusuri kisah-kisah tentang jati diri, warisan dan budaya dalam lagu-lagunya, dibantu pemuzik berkaliber. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebaliknya, telinga ini dapat mendengar kuasa setiap alat muzik yang dibawa masuk ke gelanggang persembahan pada hari itu seperti alat genderang, seruling, gitar, bes, papan nada dan sebagainya. Konsert ini memberi sanjungan buat ahli muzik yang kebanyakan masanya diabaikan penonton yang lebih tertumpu pada artis yang membuat persembahan.

Sekurang-kurangnya, Nasir sebagai bintang mapan dan komposer dengan sentuhan emas menjana banyak lagu ‘hit’ tidak lupakan mereka yang menjayakan konsertnya daripada pemuzik hinggalah penyanyi latar yang diperkenalkan satu-persatu.

Nama seperti pemain genderang Singapura, Riduan Zalani, penggerak Nadi Singapura, disebut-sebut pada malam itu. Bersama rakan-rakan Nadi Singapura yang tersenyum ceria dan penuh nyala rasa memalu alat genderang mereka, terasa jiwa seni yang membara dan tenaga positif yang dicurah dan dikongsi bersama penonton.

Begitu juga dengan peniup seruling ‘genius’ dari seberang, Mohar, yang mencetus kesyahduan pada dewan The Star dalam lagu-lagu balada seperti Suatu Masa atau lagu rancak skala keramaian, Raikan Cinta.

Walaupun pada awalnya tidak ramai yang begitu mengenali lagu yang dibawakan (kecuali anda peminat tegar) kerana jarang benar disajikan dalam konsert terdahulu seperti Semakin Nyata, Perang Yang Lagi Satu dan Secangkir Kopi Semanis Puan, lama-kelamaan mudah untuk diajak berhibur dengan lagu yang ‘melekat’ di fikiran seperti Inang Pulau Kencana, Sahabat Gua, Mustika, Kias Fansuri dan Raikan Cinta.

JIWA ANAK SENI: Datuk M. Nasir penuh emosi dan nyala rasa menghiburkan penonton dalam konsert ‘Gendang Pati’ selama lebih dua jam di The Star Theatre. - Foto BH oleh KHALID BABA

Nasir yang baru menyambut ulang tahun ke-66 pada 4 Julai lalu pula kelihatan awet muda dan bertenaga di pentas. Seakan tidak terkesan bahawa beliau dimamah usia dengan keupayaannya menari dan menggalak penonton bangkit dari kerusi untuk menari sama cukup menghiburkan.

“66 macam 26-lah Datuk!” kedengaran ada yang menulis di Instagram mengenai kelincahan pelantun lagu Dedaun Masa dan sebahagian daripada kumpulan Kembara yang mempopularkan lagu Gerhana, Bas No. 13 dan Hati Emas itu.

Meskipun ada yang nampak tersipu-sipu malu untuk memberi respon positif pada permintaan ‘sifu’ agar ikut rentak dan gerakkan tangan dan kaki ketika irama rancak berkumandang, satu-persatu bangun dan menari dengan sebilangan besar akur pada permintaan penganjur konsert Muse+ untuk berpakaian Melayu atau tradisional untuk mewarnai acara itu.

Terasa bagaikan nak Raya atau berada dalam pesta kemelayuan yang kembalikan kita pada soal jati diri, kesinambungan adat zaman-berzaman mahupun usaha meraikan kebudayaan Melayu agar tidak pupus ditelan era kecerdasan buatan (AI).

Nasir juga tidak lupakan mahakarya yang pernah beliau cipta untuk penyanyi lain yang dirangkaikan dalam satu medley panjang yang tidak menjenuhkan seperti Awan Nano (dendangan asal Hafiz Suip); Nafas Cahaya (Misha Omar); Mahligai Syahdu (Hattan); Gadisku dan Pawana (Search) serta Tiara (Kris).

Apabila ditanya mengapa lagu-lagu ini dipilih dalam arkib lautan karyanya yang bernilai dan bermutu tinggi, Nasir, yang ditemui Berita Harian selepas konsert diadakan, berkata:

“Setiap lagu ada ceritanya. Saya menyanyikan lagu Hafiz Suip, Awan Nano, kerana ia pemenang Anugerah Juara Lagu dan tidak pernah saya persembahkan. Ia istimewa. Kemudian lagu Misha itu dicipta untuk vokalis wanita... maka saya beri versi lelaki. Lagu ini juga duduki Carta RTM.

“Mahligai Syahdu pula dicipta khusus untuk Hattan dan membawa kerjaya seni saya ke satu tahap berbeza. Gadisku bermakna kerana dirakam Search di Lion Studios, Singapura. Tiara pula adalah karya 1991 yang kembali popular semula, daripada lagu dendangan kumpulan Kris, ia menjadi ‘viral’ selepas penyanyi Indonesia, Raffa Affar, mendendangkannya di YouTube.

“Versi Tiara ala-ala P. Ramlee oleh P. Radhi pun turut dirakam dan mendapat sambutan.”

Di sebalik segalanya, konsert ini bukan untuk berhibur dan ketawa sepanjang masa semata-mata.

M. Nasir mampu menyentuh hati sesiapa yang pernah melalui kehilangan orang tercinta dalam hidupnya seperti ibu, bapa, suami atau isteri. Melalui lagu Suatu Masa yang cukup nostalgik, kerinduan mula mengisi ruang hati sehingga menitiskan air mata.

Penulis yang kehilangan ibu yang meninggal dunia pada 19 April lalu di ambang sambutan Hari Raya Aidilfitri sebak mendengar cerita Nasir tentang arwah ayah dan ibunya dengan kededuanya tidak mengetahui apa sebenarnya yang beliau usahakan dalam kerjayanya sebagai komposer dan anak seni.

“Bapa saya tak pernah tonton persembahan saya tetapi dia datang pada satu acara di mana saya menyanyikan lagu Suatu Masa di hadapannya yang menggunakan alat pembantu pendengaran. Ibu pula tak pernah datang... walau dia tak tahu apa yang M. Nasir buat, tetapi sekurang-kurangnya dia tahu saya buat kerja bermanfaat,” jelas Nasir dengan nada sebak.

Nasir juga berkongsi dengan penulis pihaknya melalui satu tempoh yang mencabar merancang konsert ini kerana krisis kesihatan yang melanda pemuzik dari pembedahan yang perlu dilalui ketua pengarah muzik dan kemalangan yang menyebabkan besi perlu dipasang pada kaki seorang pemuzik lain. Selebihnya, memang tiada masalah sebab konsert menjadi satu kebiasaan buatnya.

Warna emosi bertukar ganti. Sedang malam semakin larut, tidak sah kalau lagu berjiwa kepahlawanan Mentera Semerah Padi tidak dilantunkan. Lagu penutup konsert pula adalah Ada yang mengesahkan konsert ini untuk semua lapisan penonton, dari yang muda pada yang matang, baik kaum Adam atau Hawa, mengamati tentang situasi dunia yang masih belum beres dek penderitaan dan kesengsaraan sesetengah kaum dengan hak asasi diperjuangkan itu perlu.

Teras lagu ini, pada akhirnya, Tuhan sahaja yang menentukan segalanya... walau berkuasa dan berjawatan, kekuasaan Allah tidak dapat dilawan. Syabas buat Muse+ kerana meninggalkan penonton dengan kesan positif khususnya yang dapat hadir di sesi eksklusif VIP untuk mendengar cerita silam Nasir bersama Lion Studios, tempat segalanya bermula untuknya terus berkarya dan menebar sayap.

Moga lebih banyak konsert yang dapat juga menyebar ilmu dan membawa penonton memikirkan jati diri sebagai anak Melayu dapat disajikan pada masa hadapan, apa yang boleh dianggap sebagai hiburan ‘berisi’ dan bukan setakat ‘happy-happy’.

Set List Konsert Gendang Pati Singapura:

Semakin Nyata

Perang yg Satu Lagi Inang Pulau Kencana Secangkir Kopi Semanis Puan

Bila Rumi Menari

Melawan Arus

Yang Bertahta Akhirnya

Sentuhan Listrik mu

Mustika

Dah Lagu tu!

Sahabat Gua

Phoenix Bangkit dari Abu

Langgam Pak Dogo

Kias Fansuri

Raikan Cinta

Medley: Awan Nano, Nafas Cinta, Mahligai

Syahdu, Gadisku, Tiara, Pawana

(hits M Nasir wrote for other artiste)

Intermission

Suatu Masa

Mentari Semerah Sepadi

Ada


Bacaan lain mengenai Konsert Gendang Pati Singapura.

- Manisnya Gendang Pati, Nuansa Rakyat Rasa Premiun


Tiada ulasan:

Catat Ulasan