Halaman

Ahad, April 30, 2023

Suara yang tiada bandingan – Datuk M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 30 April 2023


DUNIA hiburan tanah air malam Jumaat lalu dikejutkan dengan pemergian legenda rock yang juga vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael XPDC.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas Maghrib ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar selepas mengalami sesak nafas.

Pemergian Allahyarham tentunya dirasai bukan sahaja peminat, malah rakan artis lebih-lebih lagi mereka yang sama-sama berjuang dalam arena muzik rock tanah air.

Hangat Seminggu kali ini berkongsi reaksi rakan industri berkenaan kehilangan permata seni yang cukup disegani ini.

Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyifatkan pemergian Mael sebagai satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

Kata beliau, Allahyarham bukan sahaja seorang legenda disegani, malah banyak berjasa buat dunia muzik Rock.

“Dalam arena muzik Rock tempatan, arwah antara yang unik dan tersendiri. Kita tak boleh nafikan kelebihannya. Disebabkan itu, peminatnya sangat ramai.

“Mael tiada galang gantinya. Dia adalah dia, letaklah mana-mana vokalis untuk menggantikan tempatnya sekalipun, tidak akan sama,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Satu Hari Di Hari Raya itu juga tidak menafikan impak dibawakan Allahyarham terlalu besar untuk dunia seni tanah air.

“Dia bertaraf legenda. Kami tak pernah berbual, tetapi adalah bertegur sapa.

“Allah kurniakan Mael satu kelebihan yang tiada pada Rockers lain, iaitu suaranya yang tersendiri. Suaranya tiada bandingan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan